Search This Blog

Part 7: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (dharuriyat al-khamsah - hifz al-a’ql)





Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-6-memahami-hukum-syariat-dalam.html



3. Pemeliharaan akal

a) - Islam memerintah umatnya untuk menjadi Muslim yang benar-benar memahami syariat Islam dan ini tidak mungkin tercapai, jika tidak mempunyai akal yang sempurna. Akal fikiran merupakan syarat terpenting dalam mempelajari semua ilmu, ia juga syarat untuk menjadikan semua amalan itu baik dan sempurna. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan rahmat Allah) bagi kaum yang mendengar (memikir dan memahaminya)." (QS 16:65)

Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk dipelajari, difahami dan seterusnya untuk diamali. Ilmu pengetahuan ini hanya dapat dimanfaatkan oleh manusia jika mereka mempunyai akal fikiran yang waras. Oleh itu, para ulama telah menjadikan syarat pemeliharaan akal sebagai salah satu daripada taklif dharuriyat.

b) - Pemeliharaan akal boleh dibahagikan kepada 3 peringkat, iaitu:

i) Memelihara akal pada peringkat dharuriyat, seperti diharamkan minum minuman keras dan benda2 yang memabukkan kerana ia akan menjejaskan akal fikiran. Contohnya, apabila seorang telah mabuk, dia memporak-perandakan rumahtangga dan masyarakat sehingga menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan." (Kitab Sunan Ibnu Majah jilid 3, kitab memabukkan, Bab 30, Hadis no. 3371)

ii) Memelihara akal pada peringkat hajiyat, seperti dianjurkan untuk menuntuk ilmu pengetahuan. Jika seseorang tidak akal fikiran yang waras untuk mempelajari ilmu, dia akan terjerumus ke dalam alam kemaksiatan dan jahilia. Perkara yang salah akan diingat betul, orang yang baik akan dianggap jahat.

Tanpa ilmu pengetahuan, manusia tidak akan dapat membezakan kebenaran dari kebathilan. Mereka akan menafikan kebenaran sebagaimana puak kafir menafikan kewujudan Allah SWT. Inilah sebabnya Islam mewajibkan umatnya untuk belajar dan menuntut ilmu. Malah, menuntut ilmu agama Islam adalah fardhu-ain bagi setiap Muslim. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya”. (HR. Bukhari)

iii) Memelihara akal pada peringkat tahsiniyat, seperti menghindarkan diri dari kegiatan yang menghayalkan sehingga melupakan peringatan dari Allah SWT. Begitu juga dengan melihat dan mendengar sesuatu yang tidak berfaedah atau perkara yang berunsurkan kemaksiatan. Kegiatan seperti ini dapat merosakkan minda dan akal fikiran. Contohnya, merempit, skodeng atau menonton pornography.

Islam adalah agama yang memberi pedoman hidup kepada manusia secara menyeluruh, meliputi segala aspek kehidupannya menuju tercapainya kebahagiaan dan kesejahteraan hidup rohani dan jasmani, baik dalam kehidupan individu, ataupun dalam kehidupan bermasyarakat. Semua ini tidak akan tercapai jika manusia tidak mempunyai akal fikiran yang sihat dan waras.

(bersambung...)

4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.