Search This Blog

Benarkah syaitan dirantai di bulan Ramadhan?



“Apabila datangnya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dirantai syaitan-syaitan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan Ramadhan, Muslim diperintah oleh Allah SWT agar berjihad dengan melawan hawa nafsu dan berjaga diri dari segala kejahatan. Oleh itu, sifat keji syaitan tidak dapat berfungsi dalam bulan mulia ini, seolah-olah ia dikurung atau dirantai, seperti yang disebut dalam hadith diatas.

Syaitan yang dimaksudkan di atas bukanlah dari jenis yang seekor-seekor yang bertanduk dan yang buruk rupanya tetapi syaitan yang dimaksudkan disini adalah 'sifat buruk' yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam Islam, syaitan merupakan kata sifat bagi merujuk kepada sesuatu perkara yang jahat dan buruk. Syaitan merupakan sesiapa yang menghalang dan menyesatkan orang dari kebenaran. Syaitan dalam bahasa arab bermaksud 'penuduh (accuser) atau penghasut.

Syaitan merupakan golongan penghasut yang suka memecah-belahkan perpaduan ummah. Ia suka menggoda manusia agar berbuat dosa dan maksiat. Syaitan pandai menimbulkan was-was dalam hati manusia. Tugas utama syaitan adalah menjauhkan seseorang dari kebenaran Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah:"Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik dan penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan hasutannya ke dalam hati manusia, dari kalangan jin dan manusia." (QS 114:1-6)

Syaitan terbahagi kepada dua jenis, iaitu jenis syaitan jin dan syaitan manusia. Tujuan Allah SWT menciptakan syaitan adalah untuk menguji tahap keimanan dan keyakinan seseorang. Sesiapa yang terpedaya dengan dakyah-dakyah syaitan, maka Allah SWT akan membalasnya dengan azab yang perit di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Syaitan adalah musuh bagi kamu, jadikan dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.” (QS 35:6)

Umat Islam perlu kenali orang-orang yang suka menghasut dan memfitnah (atau suka melontarkan tuduhan fitnah ke atas orang yang bercakap benar), penyokong kemunkaran, pentaksub dan pengamal bida'ah (dalam perkara ibadah). Kelakuan mereka ini menghalang dan menjauhkan manusia dari ajaran Islam.

Jauhilah mereka agar iman kita terpelihara. Kita tidak dapat melihat rupa syaitan dalam diri mereka tetapi kita boleh kenal kelakuan dan sifat-sifat kejinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman"

Syukur alhamdulillah, umat Islam diperintah oleh Allah SWT untuk melawan hawa nafsu dan berbuat baik dalam bulan Ramadhan. Hasutan-hasutan dan bisikan syaitan tidak dapat menembusi hati manusia yang sentiasa mengingati Allah SWT.




Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.