Search This Blog

Kisah Suhaib Ar-Rumi



Ini adalah kisah seorang budak Arab yang bernama Suhaib yang telah diculik dan dibawa ke Romawi (Byzantine Empire) untuk dijadikan sebagai seorang hamba abdi. Suhaib adalah anak kepada seorang hakim Parsi dari suku Numair di sebuah wilayah dekat Bashrah dan ibunya dari suku Tamim.

Diriwayatkan bahwa pada suatu hari, ibu Suhaib telah membawa beliau ke sebuah desa yang bernama At-Taniya dan ketika itu, desa itu diserang oleh orang Romawi dan Suhaib telah diculik dan dibawa ke Romawi untuk dijual sebagai hamba abdi.

Maka, berubahlah nasib Suhaib yang telah dijual di pasar hamba abdi budak di Romawi. Silih berganti tangan yang menguasainya, berpindah dari satu tuan ke tuan yang lain. Dengan itu, Suhaib pun membesar di Kota Romawi dan fasih berbahasa Yunani.

Beliau tinggal di Romawi lebih kurang 20 tahun. Ini memberi peluang kepada beliau untuk melihat kezaliman dan korupsi kerajaan Romawi dalam istana-istana mereka. Beliau amat benci dengan cara hidup orang Romawi dan pernah terlintas dalam fikiran beliau bahwa hanya bala sahajalah yang dapat menyucikan orang-orang Romawi.

Suhaib amat merindui kampung halamannya di Arab dan dengan izin Allah SWT, pada suatu hari, beliau berpeluang melepaskan diri dari Romawi dan pun terus lari menuju ke Mekah. Di Mekah, beliau digelar sebagai Suhaib Ar-Rumi (Suhaib yang berasal dari Romawi) kerana pelatnya berbahasa Arab dan ketampilannya yang menyerupai orang Romawi.

Di Mekah, Suhaib bekerja sebagai seorang wakil perniagaan kepada tuan barunya, iaitu seorang bangsawan yang bernama Abdullah bin Jad’an. Suhaib amat rajin dan tulus dalam perniagaan tuannya sehingga beliau menjadi seorang pedagang yang berjaya dan kaya di Ummul Qura'.

Dikisahkan bahwa, pada suatu hari ketika beliau pulang dari perdagangannya, dia terdengar kisah seorang yang bernama Muhammad, anak kepada Abdullah telah diutuskan menjadi Rasulullah. Beliau telah diberitahu bahwa orang yang bernama Muhammad ini melarang orang dari buat maksiat dan menyuruh orang menyembah Allah yang satu.

Suhaib amat terpegun dengan khabar ini lalu pergi menyiasat siapakah orang itu. Suhaib telah diberitahu bahwa orang yang bernama Muhammad itu tinggal di rumah al-Arqam ibn Abi al-Arqam. Beliau juga telah diberi amaran agar berhati-hati jika nak berjumpa dengan Muhammad kerana Suhaib adalah pendatang yang tidak mempunyai perlindungan dari kabilah-kabilah atau saudara mara (untuk menolongnya) jika terjadi apa-apa yang tidak diingini.

Ammar bin Yasir telah mengisahkan bahwa Suhaib telah berjumpa dengannya di rumah al-Arqam ketika Rasulullah SAW berada dalam rumah itu. Lalu Suhaib dan Ammar pun memasuki rumah itu setelah diberi izin oleh Rasulullah SAW untuk mendengar penyampaian baginda SAW. Setelah menyakini apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, mereka berdua pun menyatakan keislaman mereka.

Mereka berdua mendengar penyampaian baginda SAW sehingga malam dan pulang ke rumah masing-masing dengan kemanisan iman baru mereka. Walau bagaimanapun, mereka berdua menerima nasib yang sama seperti Bilal bin Rabah, Khabbab dan orang-orang yang terlebih dahulu menerima Islam. Mereka telah disiksa dengan zalimnya oleh orang-orang Quraisy.

Suhaib disiksa oleh orang-orang Quraisy kerana enggan melafazkan kalimah kufur mempertuhankan Al-Laat and al-Uzza, begitu juga dengan Ammar bin Yasir, dimana keluarganya telah dibunuh dengan kejam.

Badan Khabbab telah dilecur dengan bara besi yang panas membakar dan Bilal pula dihempap dengan batu besar di padang pasir yang panas. Beginilah nasib mereka yang memula memeluk agama Islam sehingga Allah SWT berfirman (maksudnya):

"Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS 16:110)

Dipendekkan cerita, pada hari Rasulullah menerima Wahyu untuk berhijrah ke Medinah, Suhaib, Abu Bakar dan baginda SAW telah merancang untuk melarikan diri dari Mekah ke Medinah. Malangnya rancangan Suhaib telah gagal dan beliau dikejar dan ditangkap oleh orang-orang Quraisy. Walau bagaimanapun, pada malam harinya, Suhaib berjaya melepaskan diri dari pengawal-pengawal Quraisy.

Suhaib pun melarikan diri menuju ke Medinah tetapi telah dikejar oleh orang-orang Quraish. Suhaib lari ke arah bukit dan bertahan disana. Lalu Suhaib pun menjerit kepada orang-orang Quraisy itu, “Anda tahu saya adalah seorang pemanah yang terbaik. Jika anda datang dekat saya, demi Allah, aku akan membunuh kamu dengan anak panah yang ada pada ku dan cantas kamu dengan pedang yang ada di tangan ku."

Mereka pun berkata, "Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu melarikan diri dengan nyawa dan kekayaan kamu." Suhaib pun kata, “Apakah kalian akan membebaskan aku jika aku memberikan kekayaan ku kepada kamu?”

“Ya,” jawab mereka. Suhaib pun mengatakan kepada mereka tempat di mana dia menyimpan harta kekayaannya dan mereka pun membebaskan Suhaib. Maka Suhaib pun terus lari menuju ke Medinah dengan harapan nak berjumpa dengan Rasulullah SAW tanpa kuda, tanpa harta, tanpa sehelai sepinggan.

Walaupun Suhaib telah kehilangan segala hartanya, beliau terasa amat teruja dan gembira kerana akhirnya dia berpeluang menyembah Tuhan yang satu dan dapat hidup bersama Rasulullah SAW sebagai seorang Muslim yang merdeka.

Setelah sampai di Medinah, Suhaib telah disambut oleh Rasulullah SAW dengan ungkapan, “Rabiha al-bay` Aba Yahya !” (Ya Abu Yahya, sungguh beruntung perniagaan kamu). Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud:

"Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." (QS 2:207)

Rasulullah SAW menyifatkan tindakan beliau sebagai tindakan yang menguntungkan, iaitu menjualkan hartanya dan berhijrah sehelai sepinggang demi menyelamatkan agamanya.

Selepas Hijrah, Suhaib turut serta menyertai kesemua kempen-kempen jihad fisabilillah anjuran Rasulullah SAW sehinggalah kewafatan baginda SAW. Suhaib al-Rumi r.a dinukilkan berkata:

“Tidak ada peperangan yang dilakukan Rasulullah SAW kecuali aku ikut bersamanya. Tidak ada bai’ah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kecuali aku juga ikut di dalamnya. Tidak ada sirriyah (ekspedisi) kecuali saya ada didalamnya. Tidak ada penaklukan kecuali aku ada di sebelah kiri atau kanannya Rasulullah saw."

Ketika Khalifah Umar Al-Khattab sakit akibat cedera ditikam yang membawa kepada ajal, Umar sempat berpesan supaya Suhaib solatkan jenazahnya dan menggantikannya sebagai imam solat yang secara tidak langsung menjadi ketua negara buat sementara waktu.

Hal ini jelas menunjukkan betapa besarnya penghormatan yang diberikan oleh Umar al-Khattab kepada beliau dan juga menunjukkan bahawa Suhaib tergolong dalam tokoh sahabat yang istimewa. Suhaib meneruskan kehidupannya dengan membantu Khalifah-Khalifah al-Rasyidin sekiranya diminta.

Suhaib juga memiliki akhlak yang baik dan merupakan seorang dermawan yang amat pemurah, yang suka belanja orang makan, terutamanya anak-anak yatim dan fakir miskin. Inilah kisah Suhaib ar-Rumi, seorang anak hakim, pastu jadi seorang hamba abdi dan selepas itu jadi seorang pedagang dan akhirnya menjadi seorang Muslim yang berjaya.

Beliau wafat pada tahun 38 H pada usia 73 tahun, dan dimakamkan di Baqi ketika pemerintahan Khalifah Ali Bin Abi Talib r.a. Kisah ini mengajar kita bahwa pengorbanan harta benda demi agama adalah suatu dagangan yang amat menguntungkan dan sabarlah apabila mengharungi ujianNya kerana Allah SWT pasti akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.