Search This Blog

Memahami Perayaan Maulid Nabi SAW melalui Maqasid Syariah



Hukum perayaan maulid telah menjadi topik perdebatan para ulama silam dan juga ulama pada zaman ini, iaitu diantara kalangan ulama yang memperbolehkan dengan mereka yang melarangnya kerana dianggap bid’ah.

Sebagaimana yang pernah diperjelaskan dahulu, para ulama menggunakan istilah bida'ah dalam perbahasan ilmiah mereka untuk menggambarkan sesuatu amalan baru yang bukan sunnah dan ia tiada kaitan langsung dengan ungkapan 'bida'ah itu adalah sesat dan segala yang sesat itu neraka tempatnya'.

(ruj: http://kurauking.blogspot.my/…/part-19-memahami-hukum-syari…)

Boleh dikatakan hampir separuh dari umat Islam dalam dunia ini menyambut perayaan maulid Nabi. Dianggarkan bahwa dalam dunia ini, populasi umat Islam adalah 1.6 Billion orang, maka lebih kurang 800 juta orang Muslim dalam dunia ini menyambut perayaan maulid Nabi. Manakala, 800 juta orang lagi tidak menyambutnya.

Oleh itu, jika mereka yang menyambut perayaan maulid Nabi di label sesat dan mereka yang tidak menyambutnya pula dipanggil wahabi, ia akan menjadi satu penyebab utama perpecahan perpaduan ummat. Kalau macam itu, sampai bila umat Islam boleh bersatu dan menjadi kuat? Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..." (QS 8:46)

Hakikatnya adalah, umat Islam pada hari ini ditindas dan dizalimi di serata dunia kerana kita lemah dan tidak bersatu hati. Umat Islam dipandang rendah dan mundur. Ini merupakan satu realiti yang sangat sedih dan memalukan.

Perkara remeh seperti Perayaan Maulid dijadikan isu pertelingkahan dan perbalahan dari dulu hingga sekarang tanpa penyelesaian. Kenapa umat Islam tidak boleh berlapang dada dalam perkara khilaf ini?

Menyambut perayaan hari lahir adalah perkara muamalat dalam Islam. Perkara muamalat merupakan semua tatacara, pensyariatan dan interaksi manusia sesama manusia dalam hal urusan dunia. Hukum amalan Muamalat adalah harus selagi tiada dalil yang membuktikan larangannya.

Menyambut perayaan maulid Nabi adalah satu perkara muamalat yang tiada dalil khusus yang melarangnya. Oleh itu, hukum menyambut maulid Nabi dalam Islam adalah harus selagi perkara atau amalan yang dilakukan sempena menyambut maulid Nabi itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Telah diriwayatkan oleh Abu Qatada ra, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin. Maka Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.” (Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mensyukuri nikmat Allah SWT atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri, maka begitu juga bagi umatnya yang mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW dengan berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”. (Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Maulid al-Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.

Selain itu, antara hujahnya adalah fatwa ulama seperti berikut:

Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya.

Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.” (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)

Imam al-Suyuti pula menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”

Walau bagaimanapun, sehingga sekarang, saya hanya pernah sambut sekali sahaja perayaan maulid Nabi, iaitu pada tahun pertama saya memeluk Islam. Selepas itu, saya tidak pernah lagi menyambut perayaan ini kerana telah diberitahu bahwa Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya.

Demikian juga, saya terasa malu untuk menyambut hari lahir saya sendiri dan juga hari lahir ahli keluarga saya kerana saya tidak menyambut hari lahir Nabi SAW, iaitu manusia yang teragung dalam Islam. Sila tanya bini saya kalau tak percaya. Anak saya yang dah dekat 6 tahun, apa maksud 'hari lahir' (atau birthday) pun dia tak tahu kerana kita tidak pernah meraikannya.

Jika perayaan hari lahir manusia yang teragung dalam Islam pun saya boleh tidak sambut, apatah lagi hari lahir sendiri dan ahli keluarga saya? Saya malu, saya terasa tersangat malu jika menyambut hari lahir sendiri dan ahli keluarga saya tetapi tidak pula menyambut hari lahir Rasulullah SAW. (bab malu ni hanya pendapat peribadi yang tiada kena-mengena dengan Islam)

Oleh itu, kepada sesiapa yang ingin menyambut maulid Nabi, dipersilakan dan tolong jangan berbalah dengan mereka yang tidak menyambutnya. Kepada mereka yang tidak menyambutnya pula, sila jangan mempertikaikan mereka yang menyambut maulid Nabi. Jagalah perpaduan ummah kerana ini adalah satu maqasid yang lebih utama dalam Pensyariatan Islam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.