Search This Blog

Kisah Khabbab bin al-Arat




Khabbab merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang telah menanggung siksa dan aniaya yang teramat perit dan kejam dari golongan musyrikin Quraisy. Beliau adalah seorang sahabat yang termasuk dalam golongan As-Sabiqun al-Awwalun (orang yang pertama memeluk Islam).

Khabbab lahir di Najd dan merupakan seorang hamba abdi yang berasal dari Bani Tamim. Beliau bekerja sebagai tukang besi (blacksmith) dan beliau pandai membuat alat-alat senjata, terutama pedang. Senjata dan pedang buatannya dijualnya kepada penduduk Makkah.

Pada suatu hari, Khabbab telah pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW selepas beliau mengetahui dakwah baginda SAW adalah menghapuskan kezaliman dan penindasan dari golongan bangsawan dan pihak berkuasa keatas golongan yang lemah. Rasulullah SAW juga menyeru agar beriman dengan Tuhan yang satu.

Selepas mendengar dakwah Rasulullah SAW, Khabbab menghulurkan tangan beliau kepada baginda SAW dan menyatakan kalimah syahadah, 'La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah'. Dan beliau dengan bangganya mengistiharkan keislaman beliau kepada sesiapa sahaja tanpa segan-silu atau takut.

Khabbab, Bilal bin Rabah, Suhaib Ar-Rumi, Ammar bin Yasir, Sumayyah binti Khayyath (ibu Ammar bin Yasir) adalah diantara sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak menyembunyikan keimanan dan keislaman mereka. Mereka bangga dengan agama mereka walaupun diancam dengan siksaan dan bunuh.

Diriwayatkan bahwa selepas Khabbab menerima Islam, beliau telah disiksa dengan teruk oleh majikannya Ummi Anmaar dan penduduk kafir Quraisy. Demi untuk mematahkan keimanannya kepada Allah SWT dan RasulNya, badan beliau telah dilecur dengan bara besi yang membakar.

Dikisahkan bahwa Ummi Anmaar, abangnya Sibaa'ah ibn 'Abd al-'Uzza dan beberapa orang dari Bani Khuza'a pergi berjumpa dengan Khabbab. Mereka menyoal Khabbab tentang keimanannya terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tanpa getar, Khabbab berkata, "Saya telah beriman kepada Allah yang satu dan Muhammad itu utusanNya."

Golongan kafir musyrik itu pun memukul Khabbab dan membakar rantai besi sehingga membara dan dililitkannya keatas tubuh badan Khabbab. Demikianlah, Khabbab menanggung siksaan dan penderitaan dengan sabar, tabah dan tawakkal.

Siksaan dan kesakitan yang amat perit ini telah mendorong Khabbab bersama beberapa orang sahabat pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Mereka tanya, "Wahai Rasulullah, tidakkah anda memintakan pertolongan Allah bagi kami?" Ketika itu Nabi SAW sedang berbaring di depan Kaa'bah, lalu baginda SAW pun bangun dan berkata,

"Dahulu sebelum kalian, ada seorang yang disiksa, tubuhnya dikubur kecuali leher ke atas. Lalu diambil sebuah gergaji untuk menggergaji kepalanya, tetapi siksaan demikian itu tidak sedikit pun dapat memalingkannya dari agamanya. Ada pula yang disikat antara daging dan tulang-tulangnya dengan sikat besi, juga tidak dapat menggoyahkan keimanannya. Sesungguhnya, Allah akan menyempurnakan hal tersebut, sehingga setiap pengembara yang pergi dari Shana’a ke Hadramaut, tiada takut kecuali pada Allah Azza wa Jalla."

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW, semangat mereka menjadi lebih kuat dan bertambahlah keimanan dan keteguhan hati mereka. Dengan itu, mereka serta merta berikrar untuk membuktikan ketabahan, kesabaran dan pengorbanan mereka kepada Allah SWT dan RasulNya.

Umar bin Kattab pernah menyuruh Khabbab ceritakan pasal siksa yang pernah dialaminya, beliau hanya perlu membuka baju dan menunjukkan kesan-kesan parut di atas badan tubuhnya tanpa perlu berkata apa-apa. Sesiapa yang melihat parut-parut di tubuh badannya akan serta merta merasa kesakitan dan keperitan yang pernah dialaminya.

Pada masa Umar Bin Khattab menjadi Khalifah hingga Ustman Bin Affan, Khabbab termasuk kaum muhajirin yang mendapat gaji besar. Walaupun gajinya lumayan, tetapi gaji itu tidak pernah diambil semuanya. Beliau buat satu tabung kebajikan di hadapan rumahnya untuk sesiapa yang memerlukannya pergi ambil. Gaji besar itu juga disedekahkan kepada sesiapa yang memerlukannya.

Beliau sangat zuhud dan teguh memegang prinsip hidup sederhana di masa awal Islam. Kemewahan yang diperolehinya diakhir hayatnya telah menyebabkannya khawatir dan risau kerana para sahabat dan sanak saudara yang telah pergi mendahuluinya sebelum mereka mendapat sebarang ganjaran dunia. Sedangkan dia masih hidup dan beroleh kekayaan dunia.

"Demi Allah, tak pernah saya menutupnya walau dengan sehelai benang, dan tak pernah saya menghalangi siapa pun yang meminta (harta bendanya)," ujarnya. Di akhir hayatnya, ketika dilihatnya kain kafan yang diberikan kepadanya, air matanya mengalir. Beliau berkata;

"Lihatlah ini kain kafanku. Bukankah kain kafan Hamzah paman Rasulullah SAW ketika gugur sebagai salah seorang syuhada, hanyalah burdah berwarna abu-abu, yang jika ditutupkan ke kepalanya terbukalah kedua ujung kakinya. Sebaliknya bila ditutupkan ke ujung kakinya, terbukalah kepalanya?" Khabbab wafat pada tahun 37 H.

Inilah kisah Khabbab bin al-Arat, beliau juga merupakan pakar al-Quran dan dia adalah guru al Quran kepada Fatimah binti Khattab dan suaminya Sa’id bin Zaid. Dengan bacaan al Quran Fatimah binti Khattab inilah, Umar bin Khattab mendapat hidayah dan terus menerima Islam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.