Search This Blog

Boleh tak Hadits Ahad dipakai dalam bab Akidah



Ulama ASWJ berbeza pendapat terhadap pendalilan hadis ahad dalam usul akidah. Pendapat pertama daripada jumhur ulama ialah tidak harus berhujah dengan hadis ahad dalam perkara akidah kerana ia tidak bersifat qat’iyyah al-thubut, sedangkan akidah didasari oleh keyakinan yang jazm (Qati - putus dari sangkaan atau keraguan).

Antara ulama yang menolak pendalilan hadis ahad tersebut ialah; al-Nawawi, al-Haramain, al-Taftazani, al-Ghazali, Abu Mansur al- Baghdadi, Ibn al-Athir, Safi al-Din al-Baghdadi al-Hanbali, Ibn Qudamah, al-Razi, ‘Abd al-‘Aziz al-Bukhari, al-Subki, al-Mahdi, al-San’ani, Ibn ‘Abd al-Shukur, al-Shanqiti dan lain-lain.

Antara hujah yang diberikan oleh jumhur ulama bagi menolak penggunaan hadis ahad dalam akidah ialah:

1. Sekiranya sesuatu khabar atau berita yang disampaikan daripada seorang sahaja dapat memberikan keyakinan, maka kita juga perlu mempercayai semua perkhabaran yang dibawa oleh seseorang.

Tetapi hakikatnya kita tidak melakukan perkara tersebut iaitu tidak mempercayai sepenuhnya perkhabaran yang disampaikan oleh hanya seorang penyampai walaupun orang tersebut dalam kalangan orang dipercayai.

2. Sekiranya sesuatu khabar yang disampaikan oleh seorang sahaja dapat memberi keyakinan, maka diharuskan untuk nasakh nas-nas al-Quran dan sunnah yang mutawatir dengan hadis ahad memandangkan kedudukan hadis ahad telah menjadi setaraf dengan kedudukan al-Quran dan sunnah yang mutawatir.

3. Sekiranya sesuatu perkhabaran yang disampaikan oleh seorang sahaja dapat memberi keyakinan, maka diharuskan berhukum dengan seorang saksi sahaja. Namun penyaksian seorang saksi tidak diterima sebagai bukti dalam hukum sekiranya tidak diiringi dengan sumpah oleh saksi tersebut ketika ketiadaan saksi yang kedua.

4. Dilaporkan pada zaman para sahabat bahawa mereka menolak hadis-hadis ahad yang bertentangan dengan pengertian al-Quran dan riwayat mutawatir lain. Sekiranya hadis ahad memberi keyakinan, sudah tentu para sahabat tidak menolaknya sebagai hujah dalam menetapkan sesuatu perkara.

Pendirian jumhur ulama tentang ketidakharusan menggunakan hadis ahad dalam akidah ini turut dikuatkan dengan pendapat keempat-empat imam mazhab terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Imam al-Shafi’i dan Imam Ahmad.

Manakala pendapat kedua ialah harus berhujah dengan hadis ahad kerana ia turut bersifat qat’iyyah al-thubut yang meyakinkan. Antara ulama yang menerima pendalilan hadis ahad ini ialah; al-Isfarayini, Ibn Furak, Qadi ‘Abd al- Wahab al-Maliki, Qadi Abu Tayyib al-Tabari, Ibn Hazm, Ibn ‘Abd al-Bar, Abu Ishaq al-Shayrazi dan lain-lain.

Namun Ibn Salah mensyaratkan hadis ahad yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ataupun salah seorang daripada mereka sahaja yang diterima untuk dijadikan hujah dalam akidah. Hujah yang dikemukakan oleh kumpulan ulama ini antaranya ialah:

1. Rasulullah SAW pernah bertemu dengan para jemaah haji sama ada secara individu atau kumpulan untuk menyebarkan ajaran Islam. Apabila para jamaah tersebut pulang ke tempat tinggal mereka, segala ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW telah disebarkan oleh mereka. Hal ini menunjukkan bahawa hadis ahad boleh digunakan sebagai hujah dalam akidah dan fikah.

2. Masyarakat Quba’ menggunakan hadis ahad dalam masalah pertukaran arah kiblat solat. Setelah perkara tersebut sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW, Baginda mengiktiraf pertukaran kiblat itu.

Walau bagaimanapun, hujah ini dijelaskan oleh jumhur ulama dengan menyatakan bahawa dalam prinsip usul akidah hanya disampaikan dengan mutawatir secara qat’i sahaja kerana ia melibatkan tunjang agama Islam yang memerlukan keyakinan.

Jumhur ulama berpendapat bahwa hadis ahad yang bersifat zann ghalib (sangkaan yang kuat bahwa ia adalah benar tetapi tak sampai tahap ilmu) boleh digunakan dalam masalah furu' akidah. Martabat khabar dalam hadith ahad dibahagi kepada 5, iaitu:


1) Ilmu (100% yakin)
2) Zann Ghalib (75% - 99% yakin)
3) Zann (50% - 75% yakin)
4) Syak (50% - 50% yakin)
5) Waham (kurang dari 50% yakin)


Wallahu'alam












No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.