Search This Blog

Perbezaan diantara Buddhism dan Islam



Sebelum saya memeluk agama Islam, saya adalah seorang pelajar Zen Buddhism. Saya telah mempelajari ilmu ini lebih dari 20 tahun. Saya suka kaji semua jenis agama dan saya dapati Islam adalah satu-satunya agama yang kekal mempunyai keasliannya yang terpelihara melalui sistem sanadnya.

Oleh itu, ia telah mendorong saya untuk mempelajari al-Quran. Dalam al-Quran, saya dapati banyak ayat-ayat 'zen' yang membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Contohnya, Surah al-Maidah ayat 32, "...sesiapa yang membunuh seorang manusia (tanpa sebab), maka dia seolah-olah telah membunuh manusia semuanya".

Ayat ini sungguh luas, kerana dalam fahaman Zen Buddhism, tiada beza nyawa anda dengan nyawa saya. Ibubapa anda adalah ibubapa saya, anak anda adalah anak saya. Semua sama. Oleh itu, jika kita membunuh seorang tanpa sebab, maka ia seolah-olah kita telah membunuh seluruh manusia.

Dalam Buddhism, penganutnya mengamalkan pancasila (five precepts) dalam kehidupan harian mereka, iaitu 5 prinsip utama yang terdiri dari:

1) Dilarang membunuh
2) Dilarang mencuri
3) Dilarang berzina
4) Dilarang cakap bohong/dusta
5) Dilarang minum minuman yang memabukkan.

Kelima-lima prinsip ini banyak terkandung dalam al-Quran. Malah, al-Quran mengajar lebih dari itu dengan penjelasan dan pengamalannya yang lebih detail. Contohnya, dalam Buddhism ternyata prinsip utamanya adalah larangan membunuh. Oleh itu, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh penganutnya jika nyawanya diancam musuh atau negaranya diserang?

Saya pernah tanya soalan ini kepada seorang guru Buddhism, dia kata sebagai seorang penganut Buddhist, kita harus berkorban jika diserang tanpa mempertahankan diri kerana ia akan membawa kita ke satu tahap yang lebih dekat kepada nirwana.

Pastu saya tanya dia, jika musuh datang serang dan bunuh semua penganut Buddhist, siapakah yang akan kembangkan ajaran Buddhism? Dia terus senyap...

Di dalam ajaran Islam pula, Muslim diajar untuk buat baik kepada semua orang termasuk orang-orang kafir. Tetapi, jika mereka menyerang, maka umat Islam wajib mempertahankan diri. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (QS 60:8-9)

Oleh itu, bagi saya ilmu Buddhism adalah baik tetapi ia tidak menyeluruh. Ia tidak mengajar penganutnya bagaimana menyelamatkan diri ketika dalam bahaya atau darurat. Islam adalah agama yang lebih menyeluruh dari segi fahaman dan pengamalannya. Inilah faktor utama yang telah mendorong saya untuk memeluk agama Islam.

Setelah memeluk agama Islam, saya dapati banyak pencemaran yang telah berlaku terhadap agama Islam dalam masyarakat kita. Banyak tersebar hadis-hadis palsu dan amalan-amalan khurafat dari moyang kita. Malah, agama suci ini telah diperalatkan oleh golongan berkuasa untuk mendapat habuan dunia demi kepentingan diri sendiri.

Ini telah mendorong saya untuk berusaha mencari ilmu-ilmu Islam yang benar. Alhamdulillah, Allah SWT telah membuka pintu ilmuNya kepada saya dan saya berpeluang mempelajari ilmu Usul al-Fiqh dan Maqasid Syariah. Dengan ilmu ini, saya dapat hindarkan diri dari pencemaran-pencemaran yang telah berlaku dalam agama Islam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.