Search This Blog

Ahlul Rayi vs Ahlul Hadis



Ahlul Ra’yi merupakan sebutan yang digunakan bagi kelompok yang dalam menetapkan fiqh lebih banyak menggunakan sumber ra’yu atau ijtihad daripada menggunakan hadis. Kelompok ini muncul lebih banyak di wilayah Iraq, khususnya di Bashrah dan Kufah.

Kemunculan aliran ini sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

1) Banyak dipengaruhi oleh Umar bin Khattab dan Abdullah bin Mas’ud yang sering menggunakan ijtihad.

2) Munculnya pemalsu-pemalsu hadis pada zaman itu.

3) Munculnya berbagai masalah baru yang memerlukan ijtihad kerana tiada penjelasan yang kukuh dalah nash.

Di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh kelompok Ahl Rayi adalah:

Ahl Rayi banyak mengeluarkan fatwa untuk masalah-masalah furu’iyah yang bersifat kemungkinan sebab masalahnya belum muncul ketika itu. Mereka melahirkan ketentuan-ketentuan hukum terhadap masalah yang belum terjadi, contohnya seperti fatwa tawaf di atas kaabah.

Ahli Rayi tidak hanya memakai makna tekstual saja dalam pembentukkan hukum, tetapi mereka juga akan memperhatikan apa yang menjadi sebab (illat), hikmah dan maqasid syariatnya kerana mereka berpendapat bahwa hukum syarak diturunkan bersesuaian dengan fahaman akal (ma’qul ma’na) kerana ia diturunkan untuk memberikan kemaslahatan dan kebaikan kepada manusia.

Beberapa tokoh yang termasuk dalam kelompok ahl ra’yu adalah sebagai berikut:

1. Alqamah bin Qais an-Nakha’I (w. 62 H)
2. Masruq bin Hajda al-Hamadzani (w. 63)
3. al-Qadi Syuraih bin Haris bin Qais (w. 78)
4. Sa’id bin Jubair (w. 95 H)
5. al-Sya’bi Abu Amr bin Syarhil al-Hamadzani (w. 114)

Urutan sumber hukum yang dipakai oleh Ahl Rayi adalah:

1) Al-Quran,
2) Hadis Mutawatir
3) Ijma’
4) Ijtihad (Qiyas, Istihsan, Maslahah dan sebagainya)

Ahlul Hadis pula merupakan kelompok di masa tabi’in yang mengeluarkan hukum Islam dengan menggunakan hadis daripada menggunakan sumber ra’yu atau ijtihad. Kelompok ini berkembang di Hijaz (Mekkah, Madinah dan Thaif) dan memperolehi fiqh dari Zaid bin Tsabit, Aisyah, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar.

Menurut para ulama, munculnya kelompok Ahlul Hadis ini di wilayah Hijaz kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor, diantaranya:

1) Mengikut metode yang digunakan guru-guru mereka terutama Abdullah bin Umar yang sangat kuat berpegang pada hadis.

2) Banyaknya hadis yang mereka perolehi dari para sahabat yang hidup pada zaman Nabi SAW yang ramai tinggal di Hijaz terutama di Mekkah dan Madinah.

3) Gaya hidup orang Hijaz yang berbeza dengan penduduk di wilayah Iraq.

4) Tidak banyak masalah-masalah baru yang memerlukan fatwa pada masa itu.

Di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh kelompok ahl hadis adalah:

Sangat kuat berpegang kepada hadis dan tidak memberikan kriteria yang sangat ketat dalam penukilan hadis, sebab mereka berpandangan bahwa riwayat yang berasal dari penduduk Hijaz adalah tsiqat (dipercayai).

Tidak suka mempersoalkan masalah-masalah yang belum muncul kerana ia akan mendorong kepada penggunaan ijtihad. Sangat memegang kepada zahir nash dan tidak membahaskan lebih lanjut tentang alasan dan hikmah yang terkandung di dalam nash tersebut. Ahl Hadis tidak akan menggunakan ijtihad kecuali pada saat terpaksa.

Di antara tokoh-tokoh terkemuka dari kelompok ahl al-hadis adalah:

1. Abu Bakar bin Abd al-Rahman bin Haris (w. 94 H)
2. al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar (w. 107 H)
3. Urwah bin Zubeir bin Awwam (w. 94 H)
4. Sa’id bin al-Musayyab (w. 94 H)
5. Sulaiman bin Yasar (w. 107 H)
6. Kharij bin Zaid bin Tsabit (w. 100 H)
7. Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud (w. 98 H)

Urutan sumber hukum yang dipakai oleh Ahl Hadis adalah:

1. Alquran.
2. Hadis Mutawatir
3. Ijma’
4. Hadis Ahad
5. Ijtihad (Qiyas, Istihsan, Maslahah dan sebagainya jika perlu)
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.