Search This Blog

Memahami konsep reincarnation (mati hidup semula) dalam Islam




Orang Arab purba percaya bahwa orang yang telah mati boleh hidup kembali dalam dunia ini. Oleh kerana itu, Firaun telah dikebumikan dengan semua harta dan kekayaannya agar ia dapat dituntut olehnya selepas dia dihidupkan semula.

Orang Buddhist dan Hindu pula percaya bahwa orang yang telah mati akan dilahirkan semula dalam dunia ini tetapi bukan sebagai orang yang sama tetapi sebagai orang lain atau makhluk lain mengikut amalan seseorang itu semasa dia hidup (sebelum dia mati).

Umat Islam pula percaya bahwa orang yang telah mati tidak dapat dihidupkan kembali dalam dunia ini. Betul ke?

Sebenarnya dalam Islam, orang yang telah mati juga boleh dihidupkan kembali tetapi dengan izin Allah SWT. Bahkan, kita boleh dihidupkan semula selepas mati dalam dunia ini dan juga ke alam lain, semua dengan izin dan kehendak Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud;

(Penghuni neraka tanya) "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?"

Menurut ayat ini, kehidupan kita dalam dunia ini adalah kehidupan kedua selepas kematian pertama. Ini bermaksud konsep 'hidup semula selepas mati' telahpun berlaku kepada kita tetapi ia berlaku di alam lain dan dihidupkan semula dalam dunia ini.

Alam lain yang dimaksudkan itu adalah alam ruh, dimana perjanjian kita dengan Allah SWT dimaktubkan. Disana, kita telah berjanji bahwa kita akan dengar dan taat kepada segala perintah-perintah Allah dan RasulNya. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat..." (QS 5:7)

Adakah kita telah memegang pada janji-janji kita kepada Allah SWT? Tepuk dada tanya iman. Hakikatnya adalah kita telah berjanji kepada Allah dalam hidup pertama kita semasa di alam ruh. Selepas perjanjian itu, kita telah dimatikan disana dan dihidupkan semula dalam dunia ini.

Dalam dunia ini, Allah SWT juga pernah hidupkan semula dan kembalikan orang yang telah mati. Firman Allah SWT yang bermaksud;

Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari".

Allah berfirman:" Tidak benar, bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minuman mu, masih tidak berubah keadaannya.

Dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ".

Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (QS 2:259)

Menurut tafsir ibnu katsir, orang yang dihidupkan semula itu adalah Uzair, iaitu orang yang pernah diangkat sebagai tuhan oleh orang Yahudi. Peristiwa ini berlaku selepas kewafatan Nabi Musa as.

Inilah diantara konsep-konsep reincarnation atau kepercayaan penjelmaan semula dalam Islam. Umat Islam juga percaya bahwa para Nabi dan Rasul juga dapat hidupkan semula dan kembalikan mereka yang telah mati dalam dunia ini dengan izin Allah SWT.

Menghidupkan semula orang yang telah mati adalah salah satu dari mukjizat kurnian Allah SWT kepada para Nabi dan Rasul. Walau bagaimanapun, mukjizat atau lebih dikenali sebagai 'miracles' dalam bahasa English, hanya dapat digunakan oleh para Nabi dan Rasul dengan keizinan dari Allah SWT.

Dan akhir sekali, konsep reincarnation yang paling utama yang wajib dipercayai oleh semua umat Islam ialah kelahiran semula pada hari pembalasan (Yawm al-Qiyamah) selepas dunia ini kiamat. Kita akan dihidupkan semua pada hari itu untuk diadili dan menerima pembalasan mengikut amalan kita dalam dunia ini. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (QS 9:7-8)

Sebenarnya, bandingan kepercayaan konsep mati hidup semula dalam Islam dengan agama lain tidaklah begitu jauh. Ia hanya dipisahkan oleh bahasa dan istilah yang digunakan. Inilah diantara titik-titik persamaan (common ground) yang dapat digunakan semasa kita berdakwah kepada mereka yang belum Islam.

Secara ringkas, inilah 5 alam yang perlu dilalui oleh seorang manusia:

1) Alam Roh - 
Di alam roh, semua roh bersumpah taat setia pada Allah, akan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Allah SWT berfirman:
“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya(tulang sulbi), dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu”(Surah Al-A’raaf ayat 172)

2) Alam Rahim -
Berlakunya penggabungan roh dan jasad pada usia empat bulan di dalam kandungan (iaitu setelah sempurna jasad manusia).

Allah SWT berfirman:
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya, roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.(Surah as-Sajdah ayat 9)

3) Alam Dunia -
1. Masa kanak-kanak: iaitu dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.
2. Masa muda: iaitu dari peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).
3. Masa dewasa: iaitu dari peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.
4. Masa tua: iaitu dari peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.
5. Masa tua Bangka, iaitu dari peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Diriwayatkan oleh Jabir ra. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalnya kepada Allah."(Hadis Riwayat al Hakim)

Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila matinya anak adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

4) Alam Barzakh -
Alam pemisah antara kehidupan di dunia dan di akhirat, tempat menunggu sebelum tibanya kiamat.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

5) Alam Akhirat -
- Didahului dengan terjadinya Kiamat, berupa kerosakan seluruh alam semesta. Kemudian diikuti dengan Hari Kebangkitan, iaitu seluruh manusia, bermula dari nabi Adam as. sampai manusia terakhir dibangkitkan dan dikumpulkan dalam satu tempat di panggil padang mahsyar.
- Peristiwa berikutnya adalah Hari Penghisaban(perhitungan amal) dan Mizan (timbangan amal) bagi manusia.
- Akan ditanya 5 hal kepada manusia : tentang umurnya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa digunakan, tentang hartanya dari mana mencarinya, dan ke mana menginfakkannya, dan apa yang diamalkan dari ilmunya.
- Peristiwa seterusnya adalah Hari Pembalasan iaitu balasan syurga atau neraka.

Rasulullah SAW bersabda:
"Dunia ini hanyalah persinggahan, akhirat yang menanti kekal abadi. Perjalanan hidup manusia di dunia akan berakhir dengan kematian." (Hadis Riwayat Muslim)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.