Search This Blog

Hadith Musalsal



Musalsal dari sudut bahasa ialah sesuatu yang bersambung (berantai/chain) antara satu sama lain. Manakala dari sudut istilah pula ialah satu turutan rangkaian perawi pada sesuatu sanad dalam sifat atau hal keadaan tertentu bagi setiap perawi dan kadang-kadang ia juga berlaku pada periwayatan.

Para ulama’ telah membahagikan hadith musalsal ini kepada beberapa bahagian :

i) Persamaan yang terdapat pada perawi contohnya pada namanya, nasabnya atau sifatnya. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal fuqaha’ al-Syafi’eyyah.

ii) Persamaan pada perkataan atau perbuatan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal dengan bersalam.

iii) Persamaan pada sifat atau cara periwayatan atau hal keadaan ketika diriwayatkan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal al-Awwaliyyah.

Kadang-kadang hadith musalsal adalah sahih dan kadang-kadang juga hukumnya adalah dhaif tetapi secara umumnya sanad yang terdapat pada hadith musalsal adalah dhaif.

Imam al-Zahabi telah menyebut : “Kebanyakan hadith musalsal ini adalah terlalu lemah, terutamanya yang melibatkan perkataan dan perbuatan yang datang tanpa cara periwayatan. Adapun musasal yang berkaitan dengan sifat perawi atau cara periwayatan, kebanyakkannya adalah sahih dan hanya sebahagian daripadanya adalah lemah”.

Telah berkata Ibnu Taymiyyah : “Musalsal yang paling baik di dunia ini adalah musalsal surah al-Saf”. Walaupun sanad hadith musalsal lemah, tetapi kebanyakan matan hadith-hadith musalsal adalah sahih kecuali hadith al-Musalsal bi al-Musafahah.

Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah (MBAM) adalah hadith yang mempunyai sambungan (rantai) perawi yang pernah salam dengan gurunya. Perawi yang salam dengan gurunya pula dijamin masuk syurga. Terdapat 14 jenis Hadith al-Musalsal bil al-Musafahah. Nama-nama berkenaan adalah disandarkan kepada perawi tertinggi yang bersalaman dengan Nabi SAW.

Nama atau jenis hadith MBAM adalah;

a) Al-Anasiyyah: Teksnya adalah sahih. Riwayat secara musalsal mendapat kritikan sama ada lemah (riwayat Thabit) dan palsu (riwayat Abu Hurmuz), iaitu seorang pendusta.

b) Al-Mu’ammariyyah: Abu al-‘Abbas al-Mulaththam dikatakan hidup 400 tahun, mendakwa pernah bersahabat dengan Nabi SAW. Dia juga dituduh pendusta.

c) Al-Khidriyyah: Dakwaan Khidir AS pernah berjabat tangan dengan Nabi SAW dan masih hidup. Abu ‘Abdillah al-Harmizi, Abu al-Hasan ‘Ali Kardawiyyah, Abu Faris ‘Abdul Aziz al-Dabbagh dan al-Sanusi adalah perawi-perawi daripada Khidir AS.

d) Al- Habashiyyah: Abu Sa’id al-Habashi, seorang yang tidak dikenali mendakwa menjadi sahabat Nabi SAW. Biodatanya tiada dalam buku sejarah.

e) Al-Shamahrushiyyah: Shmahrush adalah kadi daripada kalangan jin dan mendakwa bersahabat dan berjabat tangan dengan Nabi SAW.

f) Al- ‘Alawiyyah: ‘Ali bin Abi Talib RA berjabat tangan dengan Nabi SAW.

g) Shaykh Ba ‘Abud: Mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

h) Habib Ahmad Bin Hasan Al-‘Attas: Mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

i) Mu’miniyyah al-Nasiriyyah/ Abdul Mu’min Al-Jinni: Jin yang mendakwa berjabat tangan dengan Nabi SAW.

j) Muhammad Bin ‘Al-‘Arabi Al-Hatimi: Mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

k) Uthman Al-Fayshuri: Mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

l) Abu Madin Al-Tilmisani: Mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

m) Al-Makkiyyah: ‘Abd ‘Aziz al-Makki mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah (sedar) dan berjabat tangan dengan baginda SAW.

n) Al-Mubaya’ah: Bahr al-‘Ulum mendakwa berjumpa Nabi SAW secara yaqazah dan baginda memintanya untuk berbai’ah.

Terdapat 3 hadith MBAM yang menyebut fadilat bahawa “sesiapa yang berjabat tangan dengan Rasulullah SAW, dan sesiapa yang berjabat tangan dengan orang berjabat tangan dengan baginda SAW hingga hari Kiamat akan masuk syurga.” Iaitu al-Khidriyyah, al-Mu’ammariyyah dan al-Shamahrushiyyah.

Hadith MBAM yang lain hanya menyebut bahawa perawi tertinggi bersalaman dengan Rasulullah SAW sahaja. Semua jenis hadith MBAM tidak terlepas daripada kritikan dan kelemahan.

Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah telah disebut oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bahwa ia adalah hadith yang batil, dusta dan tidak ada asal baginya dan ia tidak pernah wujud. Begitu juga dengan para ulama hadith silam seperti al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Imam al-Suyuti dan lain-lain.

Wallahu'alam

footnote
ruj: IRSYAD AL-HADITH Mufti Wilayah - Definisi Hadith Musalsal dan hukum berkaitan dengannya?

ruj: Pseudo Hadis - 14 Jenis Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.