Search This Blog

Maksud kafir dalam Islam




Kafir secara istilah bererti orang-orang yang menyembunyikan (mengingkari) kebenaran. Perkataan kafir telah digunakan sebagai gelaran untuk beberapa jenis keadaan yang berbeza-beza dalam al-Quran. Contohnya:

1) "...samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan petani (kuffar) suka dan tertarik hati kepada kesuburannya..." (QS 57:20)

- Maksud kuffar disini adalah para petani yang sedang menanam benih (menyembunyikan benih dalam tanah) di ladang, menutup/mengubur dengan tanah.

2) “Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.” (QS 2:6)

- Ayat ini ditujukan kepada mereka yang belum Islam yang degil tidak mahu beriman walaupun telah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW. Orang-orang yang belum diberi peringatan tidak boleh digelar kafir. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” (QS. Al Isra: 15)

3) "Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?" (QS 2:68)

- Perkataan kafir dalam ayat ini pula diberi kepada orang-orang yang mereka-reka dan mendustakan kebenaran dari Allah SWT setelah kebenaran itu sampai kepadanya.

4) "Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu." (QS 2:89)

- Perkataan kafir dalam ayat ini pula diberi kepada orang-orang yang ingkar kepada kebenaran Allah SWT setelah kebenaran itu sampai kepadanya.

5) "Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir." (QS 9:125)

- Perkataan kafir dalam ayat ini pula diberi kepada orang-orang munafik yang ada penyakit hati seperti penyakit wahan (cintakan dunia dan takut mati).

6) "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)." (QS 2:152)

- Maksud perkataan kufur disini ditujukan kepada orang-orang yang tidak bersyukur dengan perberian dan kurnia Allah SWT yang berbagai-bagai (kufur nikmat).

7) "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu..." (QS 60:4)

- Maksud perkataan kufur dalam ayat ini pula bermaksud ingkar kepada sembahan selain dari Allah SWT. Perkataan kufur ini ditujukan kepada umat Islam.

8) "Oleh itu, sesiapa yang kufur kepada Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus." (QS 2:256)

- Perkataan kufur dalam ayat ini pula diberi kepada umat Islam yang ingkar kepada thaghut, iaitu sembahan selain dari Allah SWT.

Hakikatnya adalah al-Quran telah menggunakan perkataan kafir (plural kuffar, jamak kafirun, verb kufur, root word kafara) sebanyak 134 kali dan perkataan kufur (verb/kata kerja) sebanyak 37 kali dan kita boleh lihat disini perkataan ini mempunyai pelbagai maksud.

Oleh itu, mengapa kita perlu memilih dan menggunakan perkataan kafir ini keatas non Muslim dan menyinggung perasaan mereka. Perbuatan sedemikian hanya akan buat mereka menjauhkan diri dari Islam dan benci Muslim. Islam mengajar kita agar berdakwah dengan hikmah dan bukan dengan hawa nafsu yang penuh kebencian.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak yang lain, kerana puak yang dicemuhkan itu mungkin lebih baik daripada kamu..." (QS 49:11)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.