Search This Blog

Ihsan



Ihsan bukan tertakluk pada ibadah solat sahaja tetapi ia adalah meliputi dan merangkumi seluruh aspek kehidupan seorang Muslim. Islam suruh kita ihsan pada keluarga, terutamanya ibubapa, ihsan kepada orang2 tua, kepada guru, kepada anak yatim dan fakir miskin, ihsan kepada kerabat, jiran dan kawan, ihsan pada binatang, ihsan semasa berperang, malah ihsan semasa membunuh ketika peperangan dll.

Ihsan adalah puncak prestasi dalam Islam. Ihsan bermaksud melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dengan ikhlas dan sempurna pada kadar yang terbaik semampu kita. Islam melarang kita meninggikan suara kepada ibubapa. Islam suruh kita berbuat baik pada orang tua dan guru2 yang pernah mengajar kita.

Islam suruh kita jaga hubungan silaturahim dengan kerabat dan kawan kita. Islam suruh kita jaga hubungan baik kita dengan jiran tetanga kita. Islam melarang kita melakukan kezaliman terhadap binatang. Islam melarang kita bunuh orang tua dan perempuan semasa perang. Islam melarang kita sembelih binatang dan mengasah pisau di hadapan binatang lain dll.

Daripada Abu Ya’la Syaddad b. Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku Ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh, jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan." (Hadits Riwayat Muslim - hadits no 17 dalam hadits 40 Imam Nawawi)

Dalam Islam, hanya sekadar beriman sahaja adalah tidak cukup. Islam mengajar kita agar berihsan dalam amalan kita. Beriman hanya sekadar ucapan dari mulut sahaja adalah sia-sia jika tidak dizahirkan dalam amalan dan kelakuan kita.

Ihsan adalah puncak prestasi yang tertinggi dalam Islam. Ihsan bermaksud melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya dengan ikhlas dan terbaik semampu kita.

Seseorang hanya akan mencapai tingkatan ihsan apabila dia melakukan sesuatu seperti dilihat Allah SWT di depannya. Ini bukan perkara olok-olok tetapi Allah SWT itu Maha Melihat dan kita sememangnya sentiasa dilihat olehNya.


Contohnya:

1) Solat fardhu adalah wajib, solat sunat rawatib atau tahajud dengan ikhlas dan tawaduk adalah ihsan.

2) Membazar zakat adalah wajib, bersedekah setelah bayar zakat adalah ihsan.

3) Menjaga hubungan baik dengan keluarga dan jiran tetangga adalah wajib, beri hadiah buah tangan dan saling ziarah-menziarahi adalah ihsan.

4) Belajar ilmu adalah wajib, mengajar dan menyebarkan ilmu tanpa meminta balasan adalah ihsan.

5) Memberi nafkah kepada anak/isteri adalah wajib, bawa mereka cuti-cuti makan angin walaupun sibuk adalah ihsan.

6) Berakhlak mulia sesama manusia adalah wajib, berakhlak mulia sambil menyebarkan ajaran Islam (dakwah) kepada mereka yang lemah atau belum beriman adalah ihsan.

7) Berusaha bersungguh-sungguh agar dapat syurga Allah SWT adalah wajib bagi kita, tetapi menghalang orang di sekeliling kita dari api neraka dengan hikmah adalah ihsan.

8) Menolong kawan dalam kesusahan adalah wajib, mencegah mereka dari jatuh ke dalam kesusahan dengan sedikit pengorbanan diri (masa, tenaga atau harta) adalah ihsan.

9) Berlaku adil adalah wajib, memaafkan musuh atau orang yang pernah melakukan kesalahan terhadap kita tanpa sebarang balasan adalah ihsan.

10) Mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan ikhlas adalah wajib, bersyukur dan menzahirkan kesyukuran kita kepada orang lain adalah ihsan.

Kesimpulannya, ihsan adalah puncak prestasi dalam amalan ibadah, muamalah dan akhlak. Oleh itu, berusahalah bersungguh-sungguh semampu kita mencapai tingkatan ini.

Ingatlah, kalau kita berjalan mendekati Allah SWT, maka Dia akan mendatangi kita dengan berlari.” (HR Bukhari, #7405 dan Muslim #2675)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.