Search This Blog

Memahami Politik Negara melalui Maqasid Syariah



Tujuan utama Islam dalam pentadbiran negara adalah memelihara kemaslahatan negara. Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, tetapi menjaga kemaslahatan umum.


Pengurusan pentadbiran negara dalam Islam berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun 'efficiency and accountability'. Bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap adalah adil, tidak zalim dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam.


Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam ertikata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam. Firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas:26)


Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampong, pejabat ditukar kepada istilah-istilah arab.


Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka dilantik. Apa yang al-Quran tegaskan (maksudnya) :


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa' ayat 58)


Umat Islam perlu tahu membezakan antara hakikat dan hiasan. Bukan hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan asal Islam yang Allah SWT kehendaki.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.