Search This Blog

Bagaimana nak jadi seorang wali Allah?




Semua orang tahu kehebatan seorang wali Allah. Semua orang tahu Wali Allah adalah orang-orang mukmin yang bertaqwa kepada Allah. Ramai yang ingin cari wali Allah agar dapat berguru dengannya. Tetapi, pernah tak kamu bercita-cita nak jadi seorang wali Allah?

Perkataan 'wali' datang daripada perkataan 'awliya' (plural) yang bermaksud sahabat atau kawan rapat. Dari sudut ilmu fiqh pula, perkataan wali (plural awliya) bermaksud penolong, pelindung atau seseorang yang mempunyai kuasa 'Walayah' (guardianship) ke atas seseorang. (wali - saint or friend of God)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Wali kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)." (QS 5:55)

Jelas dari ayat ini bahwa selain dari Allah SWT dan RasulNya, Wali Allah adalah orang2 yang beriman, yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan menjunjung perintah Allah SWT. Dan salah satu daripada sunnah utama Rasulullah SAW dan para Wali Allah silam adalah kewajipan berdakwah.

Maksud dakwah adalah menyeru manusia supaya menerima Islam. Dari segi bahasa dakwah bermaksud 'menyeru', 'memanggil', 'mengajak' atau 'menjemput' manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Salah satu daripada tugas utama seorang Wali Allah adalah mengajak manusia kepada Islam.

Pernah dengan Wali Songo? Inilah tugas utama Wali Songo, iaitu 9 orang Wali-Wali yang telah dihantar oleh Khalifah Uthmaniyah ke Indonesia untuk kembangkan syiar Islam di Nusantara ini. Walaupun Islam telah sampai ke nusantara sebelum kedatangan para Wali Songo, agama ini tidak berkembang.

Tetapi Islam telah berkembang ke seluruh pelusuk nusantara ini setelah kedatangan para Wali Songo. Ini adalah kerana kaedah dakwah yang telah digunakan oleh para Wali Songo, iaitu mengajar Islam melalui pendekatan uruf tempatan. Mereka mencari titik persamaan diantara uruf atau adat dan budaya nusantara dengan Islam.

Para Wali Songo telah mengabungkan tatabahasa kaum tempatan dengan fahaman Islam. Contohnya perkataan 'ngalah' (NgAllah) yang bermaksud tidak mahu bergaduh (mengalah - bukan datang dari perkataan kalah). Pada asalnya, perkataan ini bermaksud 'ngalah kepada Allah (tawakal atau 'surrender to God's Will').

Perkataan 'Sembahyang' pula berasal daripada perkataan Sang Hyang Taya dari kaum Kapitayan di Indonesia. Perkataan sembahyang bermaksud sembah Sang Hyang Taya. Oleh kerana penduduk Kapitayan mempunyai fahaman tauhid yang sama dengan Islam, para Wali Songo telah gunakan perkataan sembahyang untuk memperkenalkan solat kepada penduduk tempatan.

Perkataan 'Puasa' pula datang dari perkataan Upawasa (Poso Dino Pitu). Ritual upawasa penduduk Kapitayan adalah sama dengan ibadah Siyam (fasting) dalam Islam. Oleh itu, para Wali Songo telah gunakan perkataan 'Puasa' untuk mengajar ibadah siyam kepada penduduk tempatan.

Para Wali Songo juga telah membina masjid, pondok pengajian, pusat perubatan, pembukaan jalan2 baru, jambatan dll demi kemaslahatan penduduk tempatan. Inilah diantara kaedah-kaedah yang telah digunakan oleh para Wali Songo untuk berdakwah dan mengembangkan syiar Islam.

Kewajipan berdakwah adalah fardhu kifayah kepada umat Islam. Apabila fardhu kifayah diabaikan, kehidupan masyarakat setempat akan sensara dan jatuh ke tahap darurat. Lain kata, tugas seorang Wali Allah adalah fardhu kifayah dalam Islam. Muslim wajib menjadi seorang Wali Allah seperti para Wali Songo untuk kembangkan syiar Islam dengan mangajak manusia menjadi Muslim.

(ruj: https://www.facebook.com/KURAUKING/posts/10154484290472488)


Menjadi Wali Allah bukanlah suatu pilihan tetapi ia adalah suatu kewajipan kepada semua Muslim yang mukalaf. Berdosa besar jika kewajipan ini diabaikan dalam sesebuah masyarakat. Kewajipan ini bukan terhad kepada penduduk tempatan sahaja, bahkan kita wajib menjadi mubaligh untuk dihantar ke negara non Muslim jika mereka tiada orang untuk menunaikan kewajipan dakwah.

Tetapi malangnya, nenurut laporan Bancian Penduduk dan Perumahan 2010, Malaysia yang mempunyai 30 juta penduduk hanya mempunyai 223120 orang muallaf (termasuk anak2 yang lahir dalam keluarga muallaf). Ini bermaksud orang yang telah memeluk Islam sejak tahun 1957 (Merdeka) adalah kurang dari 250 ribu orang.

Mustahil jika Muslim di Malaysia telah menunaikan kewajipan berdakwah mendapat angka sebegini. Islam akan jadi lemah jika Muslim abaikan tanggunjawab berdakwah. Oleh itu, bertaubatlah dan tunaikanlah hak Allah SWT dengan menyeru manusia kepada Islam dan beriman kepadaNya.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.