Search This Blog

Pendidikan seks dalam Islam



Di zaman Rasulullah SAW, umat Islam lelaki ataupun wanita tidak pernah rasa malu untuk tanya Nabi SAW tentang semua urusan, ini termasuklah urusan peribadi seperti kehidupan rumahtangga dan masalah seksual untuk mengetahui ajaran dan hukumnya dalam agama.

Aisha ra pernah berkata: "Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshar, mereka tidaklah terhalang oleh rasa malu untuk mendalami urusan agama. (HR. Muslim)

Mereka bertanya kepada Nabi SAW secara langsung atau melalui isteri-isteri baginda tentang perkara-perkara seksual tanpa rasa malu dan ia dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

"Malu adalah sebahagian daripada iman" sabda Nabi SAW, tetapi dia juga mengajar "Tidak ada rasa malu dalam urusan agama" walaupun telah melibatkan aspek halus kehidupan seksual. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan" (QS 17:32)

Kalau kanak-kanak tidak mempunyai ilmu pendidikan seks dan tidak tahu ia adalah zina, bagaimanakah mereka dapat menjauhkan diri darinya?

Ilmu fa-al (fisiology) adalah salah satu ilmu Islam dari cabang-cabang biologi yang perlu dipelajari oleh umat Islam. Ilmu tentang seks dan fakta-fakta tentang kehamilan serta kelahiran bayi perlu diajar kepada kanak-kanak dengan cara yang setimpal dengan umur mereka oleh sekolah dan ibubapa mereka sendiri dalam konteks yang sealiran dengan ajaran Islam.

Pendidikan seks bukanlah ajar cara-cara bagaimana nak lakukan seks. Pendidikan seks akan mengajar kanak-kanak memahami perubahan tumbesaran badan dan cara-cara mengawal perasaan shalwat dalam diri remaja tersebut.

Pendidikan seks juga mengajar faktor-faktor yang menyebabkan timbulnya masalah-masalah gejala kemaksiatan dan bagaimana nak elakkan diri dari terjerumus ke dalamnya. Ia juga mengajar kanak-kanak bagaimana nak elak dari pencabul dan pedophile.

Pendidikan seks bukanlah mengajar kanak-kanak cara-cara jimak atau nikmat jimak tetapi risiko dan bahaya jika melakukannya zina di luar nikah.

Umat Islam perlu pelajari dan memahami sepenuhnya fungsi pendidikan seks dan kesucian perhubungan seksual dalam Islam. Tidak ada alasan atau sebab untuk umat Islam menjauhi pendidikan seks kerana ia adalah sebahagian dari kehidupan kita.

Malangnya, pemikiran kolot sesetengah pemimpin agama dan politik telah menyebabkan segelintir umat Islam menjauhkan diri dan meninggalkan ilmu ini. Mereka menganggap pendidikan seks akan merosakkan minda kanak-kanak dan menjadi dorongan kepada mereka untuk melakukan maksiat.

Mereka anggap ilmu pendidikan seks adalah ilmu orang kafir. Mereka percaya tanpa ilmu ini (dan terus jadi jahil dalam cabang ilmu ini) akan menyelamatkan kanak-kanak dari gejala seksual. Ini adalah pemikiran yang kolot dan salah.

Hakikatnya adalah, ramai kanak-kanak dan pelajar sekarang terdedah kepada video lucah dalam telefon bimbit dan CD video lucah yang berlambak di pasar malam.

Umat Islam perlu diberi pengajaran seksual yang betul agar dapat hindarkan diri dari kelakuan maksiat. Janganlah biarkan anak-anak kita mempelajarinya kegiatan seks dari sumber-sumber yang tidak betul seperti yang banyak terdapat dalam internet. Jangan biarkan mereka terdedah kepada bahaya perhubungan seks tanpa pengetahuan.

Pendidikan seks perlu diajar kepada kanak-kanak dalam kurikulum sekolah-sekolah dalam perspektif Islam. Pencegahan awal melalui pendidikan seks adalah lebih baik dari rawatan perubatan dikemudian hari yang berpunca dari kejahilan diri sendiri.

Oleh itu, ia adalah suatu kewajipan bagi umat Islam untuk mempelajari dan mengajar ilmu ini kepada semua lapisan orang dalam masyarakat kita. Pendidikan seksual dapat menyediakan remaja untuk cegah masalah social dan maksiat secara awal dalam masyarakat kita.

Mereka perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan ini untuk menentang dan hindar dari terjerumus dalam gejala social dan maksiat yang dilarang dalam Islam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.