Search This Blog

Memahami konsep al-tasyabbuh melalui Maqasid Syariah - Part 1




Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari golongan mereka”. (Hadits Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Secara literalnya, perkataan al-tasyabbuh (imitation) berasal dari bahasa Arab, akar katanya 'sya-ba-ha'. Ia merujuk kepada penyerupaan kepada sesuatu objek dari segi bentuk, warna atau sifat, iaitu sesuatu objek itu menyerupai atau menyamai dengan sesuatu yang lain.

Dari segi istilah feqah pula, menurut Imam al-Ghazali; al-tasyabbuh (ikut atau meniru) adalah ungkapan yang menunjukkan usaha manusia untuk menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang diinginkan dirinya serupa dengan sesuatu tersebut sama ada dalam hal tingkah laku, pakaian atau sifat-sifatnya.

Al-Luwayhiq menjelaskan al-tasyabbuh sebagai seseorang yang membebani diri untuk menyerupai selainnya berkenaan dengan segala sifat atau sebagainya. Perkataan 'membebani diri' menunjukkan bahawa maksud berkeinginan dan sengaja.

Dengan demikian tidak termasuklah segala sesuatu yang tidak sengaja, seperti serupanya seorang lelaki dengan wanita dalam tingkah-laku dan suara kerana tabiat yang tercipta tanpa adanya niat dan keinginan.

Begitu juga apabila seseorang Muslim menyerupai bukan Islam dalam segala bentuk dan sifatnya, sama ada dari sudut kepercayaan, amalan, kebudayaan atau tingkah laku. Ini kerana menyerupai mereka bererti menunjukkan rasa cinta dan cenderung kepada mereka.

Perkara ini juga turut ditegaskan oleh Barqa‘an dalam beliau memberi takrifan terhadap al-tasyabbuh. Beliau menyatakan bahawa takrifan yang lebih tepat mengenai ‘al-tasyabbuh' adalah:

"Penyerupaan orang Muslim terhadap orang kafir pada sesuatu perkara yang tidak termasuk dalam kategori maslahah yang muktabar."

Keunikan yang terdapat di dalam takrif ini adalah pendekatan untuk mengeluarkan perkara-perkara yang merupakan ‘maslahah al-mu‘tabarah’ iaitu kemaslahatan yang diiktiraf oleh nas-nas Syarak daripada kategori al-tasyabbuh yang dilarang atau diharamkan tadi. Ini bertepatan dengan konsep al-tasyabbuh pada perkara yang mendatangkan manfaat.

Oleh yang demikian, setiap perkara sama ada dari segi ilmu, teknologi, kemahiran atau penemuan-penemuan saintifik baharu yang bermanfaat dan merupakan maslahah yang diiktiraf oleh Syarak mengenai manfaatnya, maka ia terkeluar daripada kategori al-tasyabbuh yang dilarang walaupun ia berasal daripada orang bukan Islam.

Prinsip ini diambil daripada peristiwa Rasulullah SAW mengaplikasikan teknologi mengorek parit ketika perang Khandaq yang pada hakikatnya berasal daripada amalan orang bukan Islam di Parsi.

Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum.

Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

Dalam satu riwayat hadis; “Sesungguhnya Nabi SAW memakai jubah Rom – dalam sebahagian hadis lain pula disebut jubah syamiah (negeri Syam) - yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi SAW memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Menurut Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):
“Rasululah SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. 

Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, ini bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

Walau bagaimanapun, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti menyembah patung dan seumpamanya adalah perbuatan yang dilarang dan haram dalam Islam.


Wallahu'alam

footnote:
ruj: Using the Islamic Legal Maxim in Respect of the Imitation (al-Tasyabbuh) Issue among the Muslim Society in Malaysia 

ruj: Maksud Hadis ‘Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..’ oleh Dr Maza

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.