Search This Blog

Hukum non muslim masuk ke dalam masjid



Hukum non muslim masuk ke dalam masjid khilaf dikalangan para fuqaha. Mazhab Syafie dan Hanafi menyatakan bahawa non-muslim boleh masuk ke dalam semua masjid kecuali masjidil Haram jika diizinkan oleh orang Islam.

Imam as-Syafie berpendapat bahawa non Muslim dihalang dari masuk ke dalam masjidil Haram sahaja dan tidak pada masjid-masjid yang lain. Namun, terdapat satu riwayat menyatakan bahawa Imam as-Syafie pernah membenarkan non muslim masuk ke dalam masjidil Haram.

Menurut mazhab Syafie, tidak semestinya darurat baru boleh masuk ke dalam masjid. Yang penting ianya mendapat izin dari orang Islam. Non muslim dibenarkan masuk ke semua masjid (selain masjidil Haram - QS 9:28) dan tidur malam di dalamnya dengan izin orang islam (orang yang bertanggungjawab ke atas masjid itu), walaupun tiada darurat.

Walau bagaimanapun, Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, menyatakan bahawa non Muslim adalah dilarang dari masuk ke dalam semua masjid. Al-Sawi dari mazhab Maliki juga menyatakan orang kafir tidak dibenarkan masuk ke dalam semua masjid, walaupun diizinkan oleh muslim kecuali jika ada keperluan seperti ketika darurat.

Namun, dalam kitab fath al-Qadir, Ibn al-Himam dari mazhab Maliki menyatakan bahawa tidak mengapa non muslim masuk ke dalam masjidil Haram. Bahkan, beliau menulilkan perkataan al-Syafie bahawa larangan non muslim masuk ke masjidil haram itu hanya larangan makruh sahaja. (Ibn al-Himam al-Hanafi, Fath al-Qadir, jld 10, hlmn 62)

Ibn Quddamah (al-Mughni, jilid 9, ms 359) dari mazhab Hanbali dan Imam An-Nawawi (al-Majmu, juz19, ms 437) berkata non Muslim dibenarkan masuk ke dalam semua masjid selain masjidil haram dengan syarat mendapat keizinan dari orang Islam. Maksudnya, non Muslim dibolehkan masuk ke semua masjid kecuali masjidil Haram dengan izin orang islam.

Non muslim adalah dilarang dari memasuki tanah Haram kerana dalam surah al-Taubah ayat 28, Allah SWT berfirman;

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haram sesudah tahun ini..." (QS 9:28)

Walau bagaimanapun, selain dari masjidil Haram, terdapat riwayat yang menyatakan bahwa Rasulullah SWT membawa seramai 60 orang Nasrani (Kristian) masuk ke dalam masjid an-Nabawi untuk berdebat. Malah, mereka dibenarkan oleh Nabi SAW untuk bersembahyang cara mereka di dalam masjid itu. (tafsir Ibnu Katsir, tafsir Ali Imran ayat 59-62)

- Kisah ini juga dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, jld 1, hlmn 397 dan Zad al-Ma’ad, jlld 3, hlmn 550.

- Juga terdapat riwayat-riwayat lain yang menyatakan bahwa non muslim pernah dibawa masuk ke dalam masjid pada zaman Rasulullah SAW, diantaranya adalah;

i) seorang badwi masuk ke dalam masjid dan kencing di dalamnya (hadis riwayat Muslim 2/133, no 429)

ii) Pasukan tentera Tsumamah bin Utsal (non muslim) diikat dalam masjid an-Nawawi (hadis riwayat Bukhari no 4372)

iii) membawa seorang gadis yang tidak diketahui agamanya ke dalam masjid dan ditanya, "Di mana Allah dan siapa rasulNya." (hadis riwayat Muslim no 1094)

Agama Islam adalah dibina atas dasar menjaga kebaikan (maslahah) dan mencegah keburukan (mafsadah). Syariat Islam adalah dibina atas prinsip membuka ruang manfaat dan mencegah kemudaratan. Kebaikan yang dimaksudkan adalah kepentingan awam atau kebaikan umum yang berfaedah kepada manusia sejagat.

Oleh itu, apabila dalam keadaan darurat seperti ketika dilanda bencana alam, Islam melonggarkan larangannya agar kemaslahatan manusia tercapai (qawaid al-fiqhiyyah - al-Dararu yuzal).

Maksudnya, apabila seseorang berada dalam keadaan darurat, maka perkara-perkara yang dilarang atau haram adalah diharuskan.

Contohnya, demi menjaga maslahah manusia, Islam memberi ruang yang cukup luas kepada umatnya sehingga membenarkan ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam, asalkan hatinya tetap dalam keimanan (rujuk QS 16:106).

Contoh lain adalah seperti harus memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan (rujuk QS 2:173 dan QS 5:3).

Oleh itu, apabila berlakunya khilaf dalam masalah Fiqh, janganlah memilih pendapat yang sempit sehingga menjelekkan agama yang suci ini dan menjauhkan manusia dari Islam.

Jika mengucap kalimah kufur dan makan makanan yang haram pun diharuskan ketika darurat, apatah lagi membenarkan non Muslim masuk ke dalam masjid untuk berteduh dan menyelamatkan nyawa mereka ketika berlakunya bencana alam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.