Search This Blog

Pengertian Ilmu Laduni dalam Islam



Perkataan ilmu ladunni itu diambil dari ungkapan al-Quran dalam kisah tersebut pada ayat 65 dari Surah al-Kahf, Allah berfirman: (maksudnya):

“Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya’ bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami”.

Oleh kerana ayat ini (dalam teks asal al-Quran) menyebut min ladunna ilma (ilmu dari sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga mempunyai ilmu ladunni oleh itu mereka tidak terikat atau bergantung dengan syariat zahir seperti Khidir tidak bergantung kepada syariat Musa a.s.

Seorang tokoh tafsir terkenal yang juga merupakan guru saya iaitu al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Solah al-Khalidi menyebut:

“Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran” (Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran 2/186. Syria: Dar al-Qalam).

Ertinya, tindakan- tindakan Khidir dalam kisah tersebut adalah atas arahan wahyu daripada Allah. Beliau itu nabi. Nabi Musa a.s. diutuskan kepada Bani Israil, tidak diutuskan kepada Khidir. Khidir menerima arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu.

Segala tindakan Khidir adalah perintah Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan hanya untuk Bani Israil.

Adapun Nabi Muhammad S.A.W. adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya. Semua kita bergantung kepada syariat baginda dan sudah tiada nabi lagi selepas baginda. Nabi s.a.w bersabda:

“Dahulu nabi diutuskan khusus untuk kaumnya, aku diutuskan untuk manusia keseluruhannya”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Maka, kita semua terikat dengan syariat nabi kita Muhammad s.a.w. Tiada sesiapa yang boleh memandai-mandai membuat syariat sendiri atau mendakwa dia mendapat syariat baru secara langsung wahyu dari Allah.

Jika ini dibenarkan, bererti setiap orang berpotensi untuk mencetuskan ajaran baru atas nama Allah. Maka ajaran Nabi Muhammad tiada lagi nilainya. Justeru, al-Imam Ibn Abi al-`Izz (792H) dalam kitab akidah yang masyhur iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah menyebut:

“Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindak (munafik).

Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: “Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!” (Riwayat al-Bukhari).

Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad.

Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) hal ini boleh berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya.

Hendaklah dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali al-Rahman (Allah) sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan”. (Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, m.s. 511. Beirut al-Maktab al-Islami).

Kenyataan-kenyataan para ulama seperti al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika menyanggah golongan yang memutar belitkan maksud ilmu ladunni ini, begitu tegas dan keras. Ini disebab dakwaan ini boleh menyebabkan ditolak ajaran Nabi s.a.w dan wujudnya syariat baru selain Islam.

Maka dakwaan ilmu ladunni dalam bentuk syariat yang berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah sesat dan boleh membawa kufur.

Sumber: Dr Asri Mufti Perlis


Wallahu'alam



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.