Search This Blog

Ulama Su'



Dalam masyarakat kita, gelaran ulama yang diberikan kepada seseorang itu amat disanjung tinggi lagi dihormati. Gelaran-gelaran seperti tok guru, ustaz, maulana dan sebagainya merupakan simbol penghormatan masyarakat terhadap golongan ini, yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pengetahuan Islam.

Istilah ulama (plural - alim), bermaksud orang yang berpengetahuan atau ahli ilmu. Kata su’ adalah masdar dari sa’a–yasu’u–saw’an ; ertinya jelek, buruk atau jahat. Dengan demikian, maksud al-ulama as-su’ adalah orang yang berpengetahuan atau berilmu tetapi buruk dan jahat.

Islam mengklasifikasikan ulama kepada tiga golongan:

Pertama, ulama yang takut kepada Allah SWT dan mengetahui hukum-hukum-Nya. Itulah ulama alim yang sempurna.

Kedua, ulama yang takut kepada Allah tetapi tidak mengetahui hukum-hukum-Nya.

Ketiga, ulama yang mengetahui hukum-hukum Allah, tetapi tidak takut kepada-Nya; dialah ulama yang jahat (al-alim al-fajir).

Dalam sejarah Islam, hampir setiap zaman dapat ditemui ulama su'. Ulama yang tidak beramal sesuai dengan apa yang mereka ketahui tetapi mengikuti hawa nafsunya digelar ulama su' (fajir).

Ulama su' adalah ulama yang mempercantik kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa dan memutar-balikan kebatilan menjadi kebenaran demi kepentingan diri. Mereka adalah ulama yang menjadikan ilmunya sebagai alat untuk memperoleh kekayaan.

Ulama-us su’ ini tidak hanya terdapat di dalam agama Islam, malah ulama seperti ini telah wujud dan telah merosakkan masyarakat Yahudi serta Nasrani seperti yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat nabi bernama Ady bin Hatim.

“Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w., dan pada leherku tergantung sebuah salib yang diperbuat daripada emas, Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku “Wahai `Ady lemparkanlah berhala ini (salib).” Kemudian baginda membaca ayat ini: “Mereka menjadikan orang-orang alim (ulama-ulama atau ketua-ketua agama) dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” (At-Taubah: 31). 

Maka Ady bin Hatim bertanya: “Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah ulama-ulama dan pendeta-pendeta mereka itu.” Nabi pun bertanya: “Bukankah para ketua agama dan para pendeta itu menghalalkan bagi mereka terhadap barang yang diharamkan oleh Allah, maka kemudian mereka (pengikut) ikut menganggap halal, dan para ketua agama dan para pendeta itu mengharamkan bagi mereka terhadap barang yang dihalalkan oleh Allah, maka kemudian mereka ikut menganggap haram?” 

Saya menjawab “Betul ya Rasulullah.” Maka baginda pun menjawab: “Demikian itulah yang dinamakan ibadah ( menyembah ) kepada mereka.”
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian dari Al Kitab, padahal ia bukan dari Al Kitab. Dan mereka mengatakan ia (yang dibacanya itu datang) dari sisi Allah, padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui.” (QS 3:78).

Dua ciri ulama su’ yang paling berbahaya di dalam masyarakat kita pada hari ini ialah ulama su’ yang menyesatkan orang ramai dengan ajaran sesat dan kedua, ulama su’ yang menjadi tukang sebar fitnah.

Golongan pertama ini menyesatkan orang ramai dengan ajaran dan fatwa-fatwa mereka yang salah. Ulama-ulama demikian suka mentafsir ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis nabi mengikut nafsu sendiri. Apa yang sebenarnya `haram’ menurut Allah swt dikatakan `halal’, dan sebaliknya.

Ulama su' jenis kedua adalah ulama yang menjadi penyebar fitnah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Ulama jenis ini merupakan golongan ulama yang paling berbahaya sekali. Ini kerana ia bukan hanya memporak-perandakan masyarakat tetapi ia juga menjejaskan nama baik agama. Masyarakat akan hilang hormat serta memandang rendah kepada ulama-ulama lain yang ikhlas di dalam perjuangan mereka.

Pesanan dari Mu`az bin Jabal: “Hendaklah kamu berhati-hati dan takut terhadap tergelincirnya seorang alim kerana kedudukannya yang agung di sisi orang ramai. Kemudian orang ramai itu ikut sama tergelincir dengannya.”

Ini adalah kerana golongan ulama lebih mudah dipercayai oleh orang ramai, kerana mereka berselindung di sebalik jubah dan serban serta ucapan-ucapan mereka juga di campurkan adukkan dengan ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis nabi.

Walau bagaimanapun, Islam telah memberi garis panduan untuk menghadapi golongan macam ini. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: ayat 6 ).

Islam juga mengajar kita agar sentiasa bertanya jika berada dalam keraguan: “Maka bertanyalah kamu semua kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: ayat 43)
"Ingatlah, sejelek-jelek keburukan adalah keburukan ulama dan sebaik-baik kebaikan adalah kebaikan ulama." (HR ad-Darimi)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.