Search This Blog

Memahami konsep matlamat tidak menghalalkan cara



"PAS berpegang teguh dengan ajaran Islam yang menyatakan "matlamat tidak menghalalkan cara" kerana PAS takut akan dilaknati Allah...bla...bla...bla..."

Apabila seorang penyokong PAS keluarkan hujah ini, saya pun tanya dia, "Apa yang dimaksudkan dengan matlamat tidak menghalalkan cara?" Dia menjawab, "Dalam Islam, semua halal haram sudah ditentukan oleh Allah. Kita dilarang menggunakan kaedah yang dilarang syarak walaupun untuk mencapai matlamat yang baik."

Pastu saya tanya dia, "Ketika awak sedang berjalan-jalan dan tetiba seorang wanita bukan mahram dilanggar motosikal lalu terjatuh dihadapan awak, adakah awak akan menolong dia?" Atau, "Awak sedang makan dan tetiba tercekik, disekeliling kamu tidak ada air kecuali sebotol arak, adakah awak akan meminumnya untuk menyelamatkan diri anda?"

Kawan saya yang menyokong PAS itu faham apa yang saya ingin sampaikan, lalu dia diam. Lalu saya kata, "Benar ungkapan awak yang menyatakan matlamat tidak menghalalkan cara tetapi ia melibatkan pemahaman ilmu pengsyariatan dan ilmu usul al-fiqh yang mendalam jika nak berhujah dengannya."

Contohnya, boleh tak umat Islam hari ini merompak dari yang kaya dan berikan kepada yang miskin seperti apa yang dilakukan oleh Robin Hood. Sudah tentulah tidak boleh kerana kaya dan miskin adalah ujian dari Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (QS An Nahl: 16:71)

Inilah yang dimaksudkan dengan matlamat tidak menghalalkan cara. Akan tetapi, Islam membenarkan hukum Qisas. Maksudnya, jika seseorang telah membunuh, maka ahli keluarga mangsa dibolehkan untuk menuntut nyawa si pembunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (QS Al-Baqarah, 2:178)

Bukankah membunuh adalah dilarang disisi syarak. Bukankah kaedah ini terang-terang melanggar konsep matlamat tidak menghalalkan cara? Bahkan, ketika umat Islam berada dalam keadaan darurat, segala yang haram boleh tukar menjadi halal. Babi yang haram pun diharuskan makan ketika darurat (QS 2:173).

Malah, kalimah kufur pun boleh diucap ketika nyawa diancam musuh (QS 16:106). Inilah keindahan Islam yang mengutamakan kesejahteraan umatNya. Ilmu Islam itu indah dan luas, oleh itu janganlah sesuka hati menyempitkannya dengan kejahilan kita.

>
<

Ringkasan untuk memahami kaedah matlamat tidak menghalalkan cara...

Konsep matlamat tidak menghalalkan cara hanya akan berlaku ketika umat Islam berada dalam maslahah dharuriyyat. Maksudnya, apabila nyawa, agama, akal, nasab dan harta terpelihara, konsep matlamat tidak menghalalkan cara boleh diamalkan...

Akan tetapi, apabila umat Islam berada dalam keadaan maslahah hajiyyat dan darurat, maka konsep matlamat tidak menghalalkan cara tidak lagi terpakai. Ini adalah kerana terdapat kelonggaran (rukhsah) tertentu bagi keadaan sebegini dan Islam tidak membebani umatnya melainkan sesuai dengan kemampuannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." (QS23:62)

"Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya..." (QS 7:42)

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.