Search This Blog

Salah faham konsep menjadikan maqasid syariah untuk meninggalkan syariat



Petikan kuliah jumaat Masjid Rusila - 19 Ogos 2016


Firman Allah SWT:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya."
[Al-Baqarah:11&12]


Ayat ini memberitahu tentang ciri-ciri orang munafik. Mereka adalah golongan yang berpura-pura percaya kepada Islam tetapi hatinya tidak. Sifat yang dinyatakan adalah menganggap kerosakan yang dilakukan di bumi sebenarnya satu kebaikan. Mereka tidak sedar, apa yang mereka fikir baik itu sebenarnya menuju kerosakan. Ini akibat tidak percaya dengan ajaran Islam.

Ditafsirkan di dalam ayat yang lain, Antara kerosakan yang mereka lakukan adalah menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong. Mereka menganggap tanpa bantuan orang kafir, kebaikan tidak akan dapat dicapai. Berwala' kepada orang bukan Islam pula boleh menyebabkan kemajuan.

Firman Allah SWT:
"Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar."
[Al-Anfal:73]

Tidak salah meminta tolong dengan orang kafir. Tetapi mestilah dengan niat untuk menunjukkan Islam kepada mereka. Jika kita tidak berhubungan dengan mereka, bagaimana mereka mahu melihat Islam?

Nabi sendiri berurusan dengan orang kafir. Nabi pernah meminjam baju besi dengan seorang Yahudi walaupun boleh saja Nabi meminjam dengan orang Islam. Nabi juga berurus niaga dengan golongan ahli kitab. Tujuannya adalah untuk menunjukkan akhlak Islam yang sebenar kepada mereka.

Walaubagaimanapun, hubungan ini mesti ada batas. Jika mereka meminta kita mengikut undang-undang mereka, sedangkan Islam sudah mempunyai undang-undang sendiri, maka ini tidak boleh. Adapun golongan yang disebutkan di dalam al-Quran ini memberikan wala' sepenuhnya kepada orang bukan Islam.

Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?
[Al-Nisa:144]

Mereka menganggap cara mereka itu boleh membawa kebaikan. Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itulah membawa kerosakan. Sesetengah mereka pula menggunakan hujah Maqasid Syariah. Apa dia maqasid syariah ini? Ia sebenarnya bermaksud tujuan-tujuan hukum syarak. Tujuan segala syariat Allah adalah untuk mencapai maslahah iaitu kebaikan di dunia dan akhirat.

Maslahah pula dibahagikan kepada tiga iaitu maslahah muktabarah, maslahah mulghah dan maslahah mursalah. Maslahah muktabar adalah maslahah yang ditetapkan syarak. Contohnya Islam mengsyariatkan puasa untuk memberi kebaikan kepada manusia. Firman Allah SWT:

Dan kamu berpuasa maka itu adalah yang lebih baik bagi kamu.
[Al-Baqarah:184]

Maka tidak boleh menghapuskan puasa dengan alasan menjaga maslahah ekonomi, bimbangkan produktiviti terjejas akibat umat Islam berpuasa seperti yang ditetapkan oleh pemerintah Tunisia, Habib Borguiba satu ketika dahulu.

Kedua maslahah mulghah iaitu maslahah yang dibatalkan oleh syarak. Walaupun mencuri itu memberi kebaikan iaitu mendatangkan harta kepada si pencuri, tetapi ia dihapuskan oleh syarak kerana keburukannya yang lebih besar terhadap umat.

Ketiga maslahah mursalah. Maslahah yang tidak ditetapkan oleh syarak dan tidak dibatalkannya. Di sini sahajalah ruang yang boleh dibincangkan berdasarkan maqasid syariah selagi tidak bertentangan dengan syarak.


_________________________________
________________________________________________________





Terdapat dua perkara yang amat mengelirukan (misleading) dalam penjelasan kuliah jumaat Masjid Rusila tentang maqasid syariah...

1) Title : Menjadikan maqasid syariah untuk meninggalkan syariat

- Tidak mungkin maqasid syariah dijadikan sebagai alasan untuk meninggalkan syariat kerana itu bukan kehendak Tuhan. Jika ia bukan kehendak Tuhan, maka ia bukan maqasid syariah.


- Akan tetapi, jika meninggalkan sesuatu syariat demi untuk mencapai atau menunaikan satu lagi syariat yang lain yang lebih besar kemaslahatannya atau untuk menutup sesuatu mafsadah, maka ini adalah dibolehkan (Qawaid al-Fiqhiyyah - al-Dararu yuzal). Contoh dari umpamaan yg diberi diatas:

Islam mengsyariatkan puasa untuk memberi kebaikan kepada manusia. Firman Allah SWT:

Dan kamu berpuasa maka itu adalah yang lebih baik bagi kamu.
[Al-Baqarah:184]

Maka tidak boleh menghapuskan puasa dengan alasan menjaga maslahah ekonomi, bimbangkan produktiviti terjejas akibat umat Islam berpuasa seperti yang ditetapkan oleh pemerintah Tunisia, Habib Borguiba satu ketika dahulu.

- Jika maslahah ekonomi sesuatu tempat itu terjejas sehingga boleh mengancam nyawa umat Islam atau kerana sesuatu wabak penyakit yang membawa maut (tambah buruk disebabkan berpuasa) atau berlakunya sesuatu sehingga menyebabkan keadaan setempat (uruf) itu jatuh ke dalam keadaan darurat (dalam bulan puasa), maka puasa wajib ditinggalkan sebagaimana firman Allah SWT yg bermaksud:

“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185)

- Walaupun scenario ini susah dan jarang berlaku, tetapi jika ia benar2 berlaku, maka puasa wajib ditinggalkan. Mungkin inilah apa yg berlaku di Tunisia satu ketika dulu, wallahu'alam. Sebenarnya masalah ini tiada kaitan dengan maqasid syariah, tetapi ia adalah kaedah penetapan hukum dalam bab usul al-fiqh.

2) Siapakah orang kafir yang dimaksudkan itu? Jika yang dimaksudkan itu adalah Non-Muslim, maka itu adalah satu anggapan yang salah kerana bukan semua non Muslim itu orang kafir. Orang yang belum disampaikan syariat Islam dengan fahaman yang sebenar-benar faham adalah ahlul fatrah. Orang kafir ialah orang yang telah memahami syariat Islam dan selepas itu menafikan kebenaran itu, barulah boleh digelar orang kafir...



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.