Search This Blog

Boleh tak Non Muslim masuk Syurga?



Non Muslim yang ada orang memberikan beberapa gambaran. Ada yang menggambarkan non Muslim itu sebagai tidak beragama Islam, dan ada memberikan gambaran bahawa mereka belum beragama Islam.

Ada pula mengatakan bahawa non Muslim itu semestinya kafir, sedangkan dalam pihak lain pula menyatakan bahawa non Muslim tidak semestinya kafir. Bahkan terdapat non Muslim yang tidak kafir, dan ada kafir yang dari kalangan muslim.

Persoalan lain juga timbul, bagaimana pula wujud non Muslim yang adil, tidak rasuah, melaksanakan amanah, baik dan sebagainya? Apakah mereka ini ke neraka, ataupun mereka ada harapan untuk ke syurga? Yang juga berbangkit soalan, muslim yang melakukan kejahatan sebanyak mana pun, tetap akhirnya ke syurga. Apakah ini benar?

Persoalan-persoalan sebegini, sering bermain dalam pemikiran ramai manusia, terutama rakyat Malaysia. Walaupun kadangkala tidak diluahkan, tetapi sedikit sebanyak ia bermain dalam pemikiran manusia ramai.

MELIHAT KAFIR

Dari sudut bahasa, kalimah kafir ini bermakna menutup (al-Satr). Dalam terminologi arab, Tukang kebun itu disebut sebagai “kafir” kerana, tukang keban itu menutup benih tumbuhan dengan tanah.

Dalam aliran Sunni, kalimah Kafir dari sudut al-Quran dan Hadis pula dilihat pada dua maksud, iaitu al-Khuruj min al-Millah (melayu : keluar dari agama) dan al-Kufr Dun al-Kufr (melayu : kafir yang tidak terkeluar agama), atau disebut dalam bahasa mudah sebagai kufur nikmat.

Kebiasaannya, apabila disebut kufur, difahami bahawa ia adalah terkeluar dari islam. Orang hindu, buddha, kristian, Aties dan sebagainya disebut sebagai kafir. Ini difahami dari al-Quran dan hadis dalam banyak ayat.

Namun, mungkin agak baru dalam masyarakat Malaysia melihat makna kufur di sini merujuk kepada orang beragama islam yang melakukan dosa besar. Ia disebut dalam istilah athar sahabat sebagai “al-Kufr Dun al-Kufr”.

Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggunakan kalimah kufur yang merujuk kepada melakukan dosa besar, bukan bermaksud terkeluar dari agama.

Contohnya, dalam Surah al-Maidah, ayat 44 bahawa Allah nyatakan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah kafir.

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksud kufur dalam ayat ini, ulama berbeda pendapat. Ibn Kathir mendatangkan bahawa daripada Taus berkata bahawa Ibn Abbas ditanya berkenaan dengan ayat ini. Ibn Abbas menyatakan bahawa maksud kufur dalam ayat ini adalah dosa besar (bukan bermaksud kafir keluar agama). Ibn Taus menyatakan, bukan maksudnya adalah kufur dalam maksud ingkari Allah, Malaikat, kitab-kitab dan Rasulnya.

حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ أَبِي الرَّبِيعِ ثنا عَبْدُ الرزاق، ثنا معمر عن بن طَاوُسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: سُئِلَ ابْنُ عَبَّاسٍ فِي قَوْلِهِ: وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ قَالَ: هِيَ كَبِيرَةٌ قَالَ ابْنُ طَاوُسٍ: وَلَيْسَ كَمَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ. وَرُوِيَ عَنْ عَطَاءٍ أَنَّهُ قَالَ: كُفْرٌ دُونَ كُفُرٍ

Al-Qurtubi ada menukilkan perkataan Sya’bi dengan menyatakan bahawa ayat ini hanya dikhususkan kepada perbuatan orang yahudi sahaja. Pendapat Sya’bi ini dipilih oleh al-Nuhhas. Pendapat ini diasaskan kepada beberapa dalil, iaitu dalam ayat ini disebut di awalnya “mereka yang yahudi”, dan selepas ayat ini (iaitu : ayat 45) menyatakan bahawa kewajipan melaksanakan hukuman Qisas terhadap orang yahudi.

أَنَّ الشَّعْبِيَّ قَالَ: هِيَ فِي الْيَهُودِ خَاصَّةً، وَاخْتَارَهُ النَّحَّاسُ، قَالَ: وَيَدُلُّ عَلَى ذَلِكَ ثَلَاثَةُ أَشْيَاءَ، مِنْهَا أَنَّ الْيَهُودَ قَدْ ذُكِرُوا قَبْلَ هَذَا فِي قَوْلِهِ:" لِلَّذِينَ هادُوا"، فَعَادَ الضَّمِيرُ عَلَيْهِمْ، وَمِنْهَا أَنَّ سِيَاقَ الْكَلَامِ يَدُلُّ عَلَى ذَلِكَ، أَلَا تَرَى أَنَّ بَعْدَهُ" وَكَتَبْنا عَلَيْهِمْ" فَهَذَا الضَّمِيرُ لِلْيَهُودِ بِإِجْمَاعٍ، وَأَيْضًا فَإِنَّ الْيَهُودَ هُمُ الَّذِينَ أَنْكَرُوا الرَّجْمَ وَالْقِصَاصَ

Dalam ayat lain, seperti firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 7 bahawa Allah menyatakan jika kamu syukuri, aku tambah nikmat yang lain. Jika kamu kufur, sesungguhnya azab aku adalah pedih.
 
لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Kalimah kufur dalam ayat ini tidak bermaksud kufur keluar agama, tetapi merujuk kepada kufur yang melawani syukur. 

وَأما قوله: وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذابِي لَشَدِيدٌ فَالْمُرَادُ مِنْهُ الْكُفْرَانُ، لَا الْكُفْرُ، لِأَنَّ الْكُفْرَ الْمَذْكُورَ فِي مُقَابَلَةِ الشُّكْرِ لَيْسَ إِلَّا الْكُفْرَانَ

Begitujuga ayat 97 dari surah ali-Imran, bahawa Allah menyatakan tanggungjawab manusia terhadap Allah adalah menunaikan ibadat haji ke kaabah bagi mereka yang mampu ke sana. Namun, sambungan ayat Allah menyatakan mereka yang tidak pergi pada saat mampu, bahawa mereka yang kufur, maka sesunggunya Allah itu maha kaya dari alam.

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Tidak menunaikan ibadat haji bagi mereka yang mampu tidak menyebabkan terkeluar dari islam.

Dalam hadis juga ada menyebut bahawa perbedaan antara muslim dan orang kafir adalah solat. Sesiapa yang tidak menunaikan solat, maka dia kafir.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ»

Dalam hadis ini, nabi saw menyatakan bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah kafir. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyatakan bahawa, tanpa khilaf ulama bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah berdosa besar.

لا يختلف المسلمون أن ترك الصلاة المفروضة عمدا من اعظم الذنوب وأكبر الكبائر وأن اثمه ثم الله أعظم من إثم قتل النفس وأخذ الأموال ومن إثم الزنا والسرقة وشرب الخمر وأنه متعرض لعقوبة الله وسخطه وخزيه في الدنيا والآخر

Dalam hadis juga ada menyatakan bahawa celaan sesama muslim adalah fasiq, sedangkan saling bunuh membunuh sesama muslim adalah kekufuran.

حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «سِبَابُ المُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ»

Perkara yang diketahui umum bahawa berlaku peperangan yang membawa bunuh membunuh antara sesama sahabat, seperti Saidina Muawiyyah dengan Saidina Ali dalam peperangan Siffin dan antara Saidatina Aisyah dengan Saidina Ali dalam peperangan Jamal. Mereka tidak kufur, sebaliknya peperangan tercetus dengan pelbagai kajian ilmuan sehingga ada yang menyatakan berlaku salah faham. Walaubagamana pun, peperangan tercetus sesama mereka tidak menjadikan mereka kufur.

Dari penjelasan ini, jelas bahawa apabila disebut kalimah kufur dalam al-Quran dan hadis, tidak semata-mata bermaksud keluar dari islam, seperti hindu, buddha, kristian dan sebagainya.

KAFIR MASUK NERAKA?

Dalam al-Quran, Allah ada menyatakan bahawa konsep ahli syurga adalah menerima islam setelah diberikan penjelasan yang jelas. Ini berdasarkan kepada Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112. Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang yahudi dan nasrani itu mendakwa bahawa sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali mereka itu yahudi dan nasrani. Allah nyatakan bahawa itu hanya andaian-andaian mereka sahaja. Bahkan, Allah mencabar mereka agar datang hujah, jika mereka yakin mereka kalangan yang benar. 

Dalam ayat ke 112 pula, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang “as-la-ma” dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (melayu : kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih. 

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَى تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (111) بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (112)

Dalam ayat 111, Allah menjelaskan bahawa penentuan syurga itu bukan berasaskan kepada dakwaan mereka dari aliran apa, sepertimana Yahudi dan nasrani mendakwa bahawa mereka adalah sebenar-benar ahli syurga. Namun, dijelaskan dalam ayat ini bahawa syurga itu berasaskan kepada burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas.

Lalu, pada ayat 112, Allah menjelaskan bahawa kalangan yang masuk syurga adalah kalangan yang “as-la-ma” dirinya kepada Allah.

Apa maksud “as-la-ma”?

Dalam kalangan ulama islam memberikan beberapa penjelasan terhadap maksud tersebut. Al-Qurtubi menyatakan, maknanya adalah penyerahan diri dan tunduk. Dinukilkan juga makna lain adalah melakukan amalan secara ikhlas.

وَمَعْنَى" أَسْلَمَ" اسْتَسْلَمَ وَخَضَعَ. وَقِيلَ: أَخْلَصَ عَمَلَهُ

Dalam Mafatih al-Ghaib, al-Razi menyatakan antara maksudnya adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (melayu : hujah yang kukuh). 

الثَّانِي: أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا نَفَى أَنْ يَكُونَ لَهُمْ بُرْهَانٌ أَثْبَتَ أَنَّ لِمَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ بُرْهَانًا

Dari pemahaman ini, jelas bahawa yang dikatakan ahli syurga di sini adalah;

a. Penjelasan ilmu berbentuk hujah yang kuat.
b. Setelah penjelasan yang kuat, baru mereka menerimanya.

Dengan ada dua faktor ini, baru kalangan yang menolak itu disebut sebagai kafir dan masuk ke neraka. Namun, jika tidak ada penjelasan langsung, ataupun ada penjelasan tetapi tidak kukuh, atau memberikan penjelasan yang salah, ataupun orang islam sendiri menampilkan watak yang tidak benar terhadap maksud islam, maka penolakan itu tidak boleh dianggap sebagai kafir dan masuk neraka.

KUPASAN AL-IMAM AL-GHAZALI


Kupasan ini amat bertepatan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam al-Ghazali dalam Faisal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zanadiqah. Yang mana, dalam membahaskan ayat al-Quran yang Allah ada menyatakan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul. (Surah al-Isra’, ayat 15)

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Dalam mengomentari ayat ini, kitab tafsir al-Manar mendefinisikan bahawa terdapat satu kalangan manusia yang hidup sebelum Nabi Muhammad saw menjadi Nabi, yang disebut sebagai Ahl al-Fatrah. Ia didefinisikan sebagai mereka yang tidak sampai dakwah yang benar yang boleh menggerakkan pemerhatian mereka terhadap islam. 

Termasuk juga ahli Fatrah adalah kalangan yang duduk satu zaman dengan para Nabi, tetapi syariah para nabi itu tidak sampai kepada mereka sedikit pun. Mereka ini percaya dengan para nabi tersebut secara ijmal seperti kalangan agama Hanif dalam kalangan orang arab, yang mereka percaya dengan Nabi Ibrahim dan ismail tanpa mengetahui berkenaan ajaran nabi itu secara terperinci.

عَلِمْنَا أَنَّ أَهْلَ الْفَتْرَةِ: هُمُ الَّذِينَ لَمْ تَبْلُغْهُمْ دَعْوَةٌ صَحِيحَةٌ تُحَرِّكُ إِلَى النَّظَرِ، أَوْ بَلَغَهُمْ أَنَّ بَعْضَ الْأَنْبِيَاءِ بُعِثُوا، وَلَكِنْ لَمْ يَصِلْ إِلَيْهِمْ شَيْءٌ صَحِيحٌ مِنْ شَرَائِعِهِمْ، فَهُمْ يُؤْمِنُونَ بِهِمْ إِيمَانًا إِجْمَالِيًّا، كَالْحُنَفَاءِ مِنَ الْعَرَبِ الَّذِينَ كَانُوا يُؤْمِنُونَ بِإِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ، وَلَا يَعْرِفُونَ مِنْ دِينِهِمَا شَيْئًا خَالِصًا كَمَا تَقَدَّمَ آنِفًا. وَحُجَّةُ الْأَشَاعِرَةِ عَلَى عَدَمِ مُؤَاخَذَتِهِمْ آيَاتٌ كَقَوْلِهِ - تَعَالَى -: (وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا) (17: 15) وَقَوْلِهِ: (لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ

Dalam kitab tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur ini terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu;

a. Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima islam.
b. Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.
c. Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

Dalam kupasan al-Imam al-Ghazali itu, dipamerkan kalangan yang pertama ini terselamat dari neraka. Sedangkan, kalangan yang kedua, iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga, maka ia adalah ahli neraka. Menariknya, pada kalangan ketiga, itu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran. Al-Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas dari azab neraka.

وَعَنِ الْإِمَامِ الْغَزَالِيِّ: أَنَّ النَّاسَ فِي شَأْنِ بَعْثَةِ النَّبِيِّ - صَلَّى الله عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ - أَصْنَافٌ ثَلَاثَةٌ: مَنْ لَمْ يَعْلَمْ بِهَا بِالْمَرَّةِ - أَيْ كَأَهْلِ أَمْرِيكَا لِذَلِكَ الْعَهْدِ - هَؤُلَاءِ نَاجُونَ حَتْمًا (أَيْ إِنْ لَمْ تَكُنْ بَلَغَتْهُمْ دَعْوَةٌ أُخْرَى صَحِيحَةٌ) . وَمَنْ بَلَغَتْهُ الدَّعْوَةُ عَلَى وَجْهِهَا وَلَمْ يَنْظُرْ فِي أَدِلَّتِهَا إِهْمَالًا أَوْ عِنَادًا أَوِ اسْتِكْبَارًا وَهَؤُلَاءِ مُؤَاخَذُونَ حَتْمًا. وَمَنْ بَلَغَتْهُ عَلَى غَيْرِ وَجْهِهَا أَوْ مَعَ فَقْدِ شَرْطِهَا، وَهُوَ أَنْ تَكُونَ عَلَى وَجْهٍ يُحَرِّكُ دَاعِيَةَ النَّظَرِ، وَهَؤُلَاءِ فِي مَعْنَى الصِّنْفِ الْأَوَّلِ. هَذَا مَعْنَى عِبَارَتِهِ الْمُطَابِقَةِ لِأُصُولِ الْكَلَامِ

Dari perbahasan ini, Kitab Tafsir al-Manar menyimpulkan bahawa yang dimaksudkan orang beragama adalah mereka yang sampai dakwah nabi dengan wajahnya sebenar dan dengan syarat-syaratnya sebenar.

وَأَقُولُ فِي حَلِّ مَعْنَى الْآيَةِ عَلَى هَذَا: إِنَّ أَهْلَ الْأَدْيَانِ الْإِلَهِيَّةِ - وَهُمُ الَّذِينَ بَلَغَتْهُمْ دَعْوَةُ نَبِيٍّ عَلَى وَجْهِهَا وَبِشَرْطِهَا

Justeru, maksud kafir adalah mereka yang telah didatangkan hujah yang sebenar, tetapi menolak juga. Bermakna, jika pada hari ini terdapat sudut pandang Islam yang salah, sepertimana kita melihat Islam dalam tafsiran perkauman melayu, Islam dalam penafsiran jabatan agama Islam, Islam dalam penafsiran sentimen politik, tidak hairan ada kalangan non Muslim yang tidak menerima islam. Mereka ini tidak wajar disebut sebagai kafir, kerana maksud keingkaran sebenar tidak wujud sama sekali.

Terutama pada hari ini, kita tidak mendapat Islam dalam maksud yang sebenar. Ini kerana, Islam cara penghujahan Nabi saw itu amat bertepatan dengan hakikat hujah. Ini kerana, para nabi itu mempunyai beberapa syarat-syarat Nabi, antaranya adalah Fatanah (melayu : kebijaksanaan), sedangkan pada hari ini kupasan islam datang dari ulama-ulama, ustaz-ustaz yang mempunyai banyak kelemahan dan kadangkala penafsiran agama mereka terpengaruh secara langsung dan tidak langsung dengan bias-bias kehidupan, seperti perkauman, kekaguman kepada guru, kepolitikan dan banyak lagi.

AYAH NABI?

Persoalan berkenaan dengan ayah Nabi Muhammad saw. Apakah dia ahli syurga atau tidak?

Persoalan timbul berkenaan anak kecil yang ibu bapa mereka tidak beragama islam, seperti beragama hindu, buddha, kristian atau apa agama sekalipun. Apakah status anak tersebut?

Dalam hadis, Nabi saw ada menyatakan bahawa setiap anak adam itu dilahirkan dalam fitrah. 

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ

Dengan itu, kanak-kanak bagi ibu bapa yang tidak beragama islam tetap diurus jenazahnya sebagai orang tidak beragama Islam, tetapi anak-kanak itu ahli syurga, walaupun ibu bapa mereka tidak beragama Islam sekalipun.

Dalam hadis, diceritakan bahawa Nabi saw ditanya berkenaan kanak-kanak yang belum baligh yang meninggal dunia sedangkan ibu bapanya tidak beragama Islam. Nabi saw menyatakan, Allah lebih mengetahui apa yang mereka lakukan. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، وَيُنَصِّرَانِهِ، كَمَا تُنْتِجُونَ البَهِيمَةَ، هَلْ تَجِدُونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ، حَتَّى تَكُونُوا أَنْتُمْ تَجْدَعُونَهَا؟» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ: أَفَرَأَيْتَ مَنْ يَمُوتُ وَهُوَ صَغِيرٌ؟ قَالَ: «اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ»

Bagi memudahkan pemahaman ini, disimpulkan seperti berikut;

a. Ada orang itu muslim di sisi Allah, kafir di sisi manusia. Iaitu, berlaku pada orang munafiq.
b. Ada orang itu muslim di sisi Allah, kafir di sisi Allah. Ini berlaku kepada kanak-kanak yang mati ketika kecil sedangkan ibu bapa mereka tidak beragama islam dan Ahli Fatrah.

Dalam keadaan begitu, tidak hairan ada perdebatan berkenaan ayah Nabi saw yang meninggal dunia semasa nabi saw belum lagi dilahirkan, apakah dia sebagai ahli syurga ataupun ahli neraka?

Dalam kalangan ulama ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, kebiasaannya menyatakan bahawa ayah Nabi saw adalah ahli neraka. Ini mereka kepada satu Hadis bahawa Nabi saw ada menyatakan, “bapa aku dan bapa kamu dalam neraka” . 

عَنْ ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: «فِي النَّارِ»، فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ، فَقَالَ: «إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ»

Pandangan ini, tidak disepakati. Terdapat sebilangan ulama-ulama sunni yang menolak. Ini kerana, sesuatu hadis itu perlu tidak bertembung dengan al-Quran. Yang pasti, terdapat ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul. (Surah al-Isra’, ayat 15)

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Ekoran itu, Syaikh Muhammad al-Ghazali ada menyatakan bahawa ayah Nabi saw adalah ahli syurga berdasarkan ayat 15 Surah al-Isra’ ini. Sedangkan hadis ini dita’wil dengan menyatakan bahawa bapa dalam hadis tersebut bukan merujuk kepada Abdullah bin Abd al-Muttalib, sebalik ditujukan kepada Bapa saudaranya yang mengetahui kebenaran dan menolak kebenaran tersebut .

Terutama, terdapat dalam hadis bahawa Nabi saw pernah memanggil bapa saudaranya dengan panggilan “abi” yang diterjemah sebagai bapaku. Iaitu, dalam hadis bahawa dalam sejarah sebelum Fath Makkah, al-Abbas yang merupakan bapa saudara Nabi ke Mekah. Ketika itu, baginda amat bimbang kerana bapa saudaranya itu lambat pulang ke Madinah. Kebimbangan itu, menyebabkan nabi saw menyebut, hantar balik kepadaku “Abi” (arab : Abi)” .

رُدُّوا عَلَيَّ أَبِي , رُدُّوا عَلَيَّ أَبِي

Jelas bahawa ayah Nabi saw tidak beragama islam, tetapi dia dikira sebagai ahli neraka. Ini kerana, ia boleh dikatakan sebagai kufur di sisi manusia, tetapi muslim di sisi Allah, sepertimana ahli fatrah dan kanak-kanak kepada ibu bapa yang tidak beragama islam.

Begitujuga dengan dunia pada hari ini. Sebagai orang Malaysia, kita tinggal di pendalaman yang tinggal sesama muslim, kadangkala amat jarang berjumpa dengan orang bukan islam. Dengan itu, tidak hairan tidak pernah tahu pun berkenaan dengan agama non Muslim. 

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada manusia yang duduk di negara bukan islam, seperti Jepun, thailand dan sebagainya yang mereka tidak pernah pun mengetahui berkenaan agama islam. Sudah pasti, keadaan mereka ini, sama ada tidak pernah mendengar tentang agama Islam, malahan jika dengar pun, kadangkala dalam bentuk yang tidak sebenar. Tidak salah jika mahu dianggap mereka ini sebagai non Muslim yang tidak kafir; muslim di sisi Allah, tetapi tidak muslim di sisi manusia.


Sumber: Ustaz Wanji 
Blog: Bakistani

Wallahu'alam 




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.