Search This Blog

Cara dakwah Rasulullah SAW




Rakyat Malaysia ada wahabi, ada syiah, ada lgbt, ada anti-hadith, ada liberal, ada feminist, ada pengikut ajaran sesat, ada non-muslim dan sebagainya. Perlukah kita bermusuh dan menentang mereka semua dalam golongan ini?

Jika jawapan kamu adalah 'YA', maka kamu juga adalah salah seorang daripada golongan ini.

Sebagai seorang Muslim, tanggungjawab kita adalah menunaikan kewajipan dakwah ke atas golongan ini agar mereka dapat diselamatkan dari api neraka dan bukannya menentang atau bermusuh dengan mereka.

Mereka yang disebut di atas adalah golongan yang telah kehilangan pedoman. Mereka memerlukan bantuan dan bimbingan kita untuk kembali ke pangkal jalan. Oleh itu, janganlah kecam atau hina mereka kerana perbuatan ini hanya akan menjauhkan mereka dari Islam.

Maksud dakwah adalah mengajak atau menyeru manusia agar menerima ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Tanggungjawab seorang Muslim adalah mengajak dan mendorong mereka untuk beriman dan beribadah kepada Allah SWT dengan cara berhikmah.

Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (QS 16:125)

Ini merupakan landasan yang paling penting yang wajib dipegang oleh setiap Muslim pada zaman ini. Hikmah bermaksud kebijaksanaan menyelesaikan setiap masalah dengan ilmu dan kaedah yang benar tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Menyelesaikan masalah dengan menimbulkan kebencian terhadap Islam adalah bukti berdakwah tanpa hikmah. Islam tidak pernah mengajar umatnya menyeru manusia kepada Islam dengan sikap angkuh dan congkak. Sikap buruk hanya akan mempersulitkan kerja dakwah.

Kewajipan kita adalah dakwah, memberi nasihat dan membimbing dengan hikmah dan sopan-santun. Kita perlu mempamerkan akhlak yang mulia agar orang ramai akan tertarik dengan sifat-sifat keindahan Islam. Sunnah Rasulullah SAW adalah berdakwah dengan akhlak mulia.

Baginda berjaya menawan hati orang-orang Arab jahilia dengan akhlak mulianya sehinggalah mereka menerima Islam dan beriman kepada Allah SWT. Kalangan sahabat-sahabat Nabi SAW adalah terdiri dari pembunuh, perompak, penzina, penyembah patung, yahudi dll. Mereka semua telah memeluk agama Islam kerana tersentuh dengan akhlak mulia Nabi SAW.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.