Search This Blog

Bukan semua Muslim orang baik dan bukan semua non-Muslim orang jahat



Islam tidak menganggap semua yang bukan Islam adalah orang jahat. Sebagaimana Islam juga tidak menganggap semua orang Muslim adalah baik dan adil.

Dalam semua lapisan masyarakat, tak kiralah Muslim atau non-Muslim, akan wujudnya orang baik dan jujur, dan di dalamnya juga akan terdapat orang2 jahat dan zalim. Firman Allah SWT:

"Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu..." (QS 3:75)

"Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang tetap (benar)..." (QS 3:113)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (QS 2:62)

Allah SWT juga memberi amaran bahwa akan wujudnya orang yang jahat dan zalim dalam masyarakat Muslim:

"Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."

"Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya."

"Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)."

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".(QS 2:8-11)

Islam tidak menilai seseorang itu baik atau jahat hanya kerana mereka itu Islam atau bukan Islam. Orang Islam tidak secara automatik orang baik dan orang bukan Islam tidak secara automatiknya jahat. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (QS 4:58)

Islam mengajar kita supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya, iaitu yang berhak menerimanya, tidak kira Muslim atau non-Muslim. Dan apabila kita mengadili, hukumlah dengan adil, benar dan jujur. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa..." (QS 5:8)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.