Search This Blog

Memahami konsep Qada Solat Fardhu dalam Islam



Saya terasa berat hati nak tulis article ini tapi kalau tak tulis, saya terasa berdosa pula kerana telah menyembunyikan kebenaran. Bacalah article ini dengan hati yang terbuka kerana bukan semua orang yang akan memahami apa yang tersirat disini...

Kita semua tahu bahwa bukan semua orang Melayu dalam masyarakat kita adalah 'umat Islam'. Ada diantara mereka hanya 'Islam' dalam IC sahaja. Ramai umat Islam yang lahir dalam keluarga Islam ingat mereka telah 'mewarisi' agama ibubapa mereka tetapi bolehkah agama itu diwarisi?

Semua umat Islam perlu melalui peringkat 'muallaf' sebelum mereka jadi seorang mukallaf, termasuk Nabi SAW dan para sahabat. Nabi SAW telah didatangi Jibrail as sebagai penyampai wahyu dan para sahabat pula telah mengenali Islam melalui Nabi SAW. Kali pertama Nabi SAW jumpa Jibrail as, baginda telah lari balik rumah dalam keadaan ketakutan.

Keyakinan baginda hanya kembali setelah beberapa kali Nabi SAW jumpa Malaikat Jibrail as. "Bacalah (ulangilah/iqra')"... kata Malaikat Jibrail as kepada Nabi SAW dan baginda telah mengulangi dan menghafal ayat-ayat surah yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Jibrail as.

Inilah peringkat Nabi SAW mengaji Islam seperti seorang muallaf. Contoh ayat-ayat dakwah yang telah disampaikan kepada baginga melalui Jibrail as adalah:

"Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu. Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu." (QS 10:94)

Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah semua orang mesti dan perlu melalui peringkat muallaf sebelum mereka jadi seorang Muslim yang mukallaf, termasuk Nabi SAW dan para sahabat.

Jika Nabi SAW dan para sahabat juga perlu melalui peringkat ini, bagaimana dengan kamu? Bagaimana pula dengan mereka yang lahir dalam keluarga Islam?

Soalannya ialah, bilakah kamu benar-benar menjadi seorang Muslim yang mukallaf? Apakah bezanya seorang yang lahir dalam keluarga bukan Islam dengan seorang yang lahir dalam keluarga Islam?

Sebenarnya tiada apa-apa perbezaan yang ketara, cuma yang lahir dalam keluarga Islam itu mempunyai kelebihan hidup bersama ahli-ahli keluarganya yang telah beriman.

Yang lahir dalam keluarga bukan Islam pula mempunyai kelebihan mengenali agama lain sebelum mereka kembali kepada agama fitrahnya. Apa yang berbeza adalah 'masa' yang telah diambil untuk jadi seorang Muslim yang mukallaf.

Ada dikalangan mereka yang lahir dalam keluarga Islam telah beriman dan beramal sewaktu mereka baligh dan mereka menjalani hidup mereka sebagai seorang Muslim yang mukallaf dari baligh hinggalah ke ajal.

Ada pula yang kembali kepada fitrah setelah mereka menerima ujian Allah SWT diperingkat dewasanya. Ada pula yang hanya benar-benar beriman dan beramal di waktu umurnya yang telah lanjut. Semua orang jadi seorang Muslim yang mukallaf di waktu dan masa yang berbeza-beza, setuju tak?

Oleh itu, jika seseorang yang menjadi mukallaf semasa dia berumur 25 tahun, adakah beliau perlu Qada solat yang tertinggal dari umur baligh hingga umurnya 25 tahun? Dan jika seorang itu yang hanya kembali kepada fitrah pada umur 50 tahun, perlukah beliau Qada solat fardhunya dari umur baligh hingga umur 50 tahun? Mampukah?

Jika benar perlu qada' solat, mengapa Nabi SAW tidak melakukannya kerana perintah solat fardhu hanya diturunkan setelah baginda hijrah ke Medinah, iaitu 11 tahun setelah Nabi SAW jadi seorang muslim.

Dikalangan para sahabat pula, ada diantara mereka yang minum arak sehingga dirotan oleh Nabi SAW. Orang-orang yang telah minum arak adalah dilarang untuk bersolat. Ada tak Nabi SAW suruh mereka qada solat setelah mereka tinggalkan tabiat minum arak itu? Tak ada kan?

Semua orang beramal dengan kadar dan peringkat yang berbeza-beza. Janganlah kita ambil kadar amalan kita sebagai kayu pengukur untuk ukur amalan orang lain. Permudahkanlah untuk mereka yang 'iman datang lambat' itu untuk kembali kepada Islam. Bukalah pintu Islam untuk mereka dan kepada sesiapa saje yang ingin kembali kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkokterpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Ankabut: QS 29:46)

Qada solat fardhu adalah perkara khilaf dalam Islam. Oleh itu, berlapang dadalah jika ada orang yang berbeza pendapat dengan kamu. Kepada mereka yang nak Qada, dipersilakan. Dan kepada mereka yang berpendapat tak payah Qada, silakan. Janganlah kita mempertikaikan amalan orang lain sehingga agama murni ini nampak sempit.

"Everyone is fighting their own evil, please don't make things difficult for others."

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.