Search This Blog

Syirik Besar



Syirik besar dapat dibahagikan kepada 3 kategori :


1) Syirik dalam bentuk Ar Rububiyyah

- Iaitu jika seseorang meyakini bahawa ada selain Allah yang mampu menciptakan, memberi rezeki, menghidupkan atau mematikan dan lain-lain dari sifat-sifat ar rububiyyah. Orang-orang seperti ini keadaannya lebih sesat daripada orang-orang kafir terdahulu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Wahai manusia, sembahlah Rabb-mu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. Dia-lah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai bumbung. Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu, Maka, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui” (Surah Al-Baqarah: ayat 21-22)

Tauhid rububiyyah ini diakui oleh semua orang sama ada Muslim, ataupun Non-Muslim. Pengingkaran tauhid rububiyyah oleh segelintir manusia hanyalah kerana kesombongan dan keengganan mereka untuk akur terhadap apa yang telah tertanam dalam hati mereka (fitrah). Dengan hanya akur terhadap tauhid Rububiyah tidak dianggap telah mentauhidkan Allah tanpa tauhid uluhiyyah (ibadah).


2) Syirik dalam bentuk Al Uluhiyyah

- Iaitu melakukan mana-mana jenis-jenis ibadah bukan kepada Allah s.w.t. seperti menyembah berhala atau menyembah kuburan dengan tujuan meminta rezeki atau pertolongan dari si mati dll.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Hanya Engkau yang Kami sembah, dan hanya kepada Engkau Kami meminta pertolongan” (Surah al-Fatihah: ayat 5)

Kaum musyrikin selain dari beribadah kepada Allah mereka juga memohon, berdoa, beristighathah kepada selain Allah. Dan inilah yang diperangi Rasulullah SAW dan ia adalah inti ajaran para Nabi dan Rasul seluruhnya, mendakwahkan tauhid uluhiyyah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sungguh telah kami utus Rasul untuk setiap umat dengan tujuan untuk mengatakan: ‘Sembahlah Allah saja dan jauhilah thagut‘” (Surah An Nahl: ayat 36)


3) Syirik dalam bentuk Asma’ wal Sifat

- Iaitu kalau seseorang menyifatkan sebahagian makhluk Allah dengan sebahagian sifat-sifat Allah yang khusus bagi-Nya. Contohnya, menyakini bahawa ada makhluk Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Hanya milik Allah nama-nama yang husna, maka memohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama-Nya” (Surah Al A’raf: ayat 180)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Katakanlah; tidak ada yang mengetahui perkara gaib di langit maupun di bumi selain Allah.” (QS. an-Naml: 65)


Bentuk-bentuk penyelewengan (syirik) dalam asma’ wal sifat

"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan." (QS 7:180)

Jelas dalam ayat ini, Allah SWT memberi dua amaran keras bagi orang-orang yang menyimpang dalam memahami nama-nama-Nya:

1) Amaran pertama: “Tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran) dalam (menyebut dan memahami) nama-nama-Nya."

2. Amaran kedua: “Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan." Maksudnya, mereka akan mendapat balasan azab dan siksaan yang pedih di dalam neraka.

Penyelewengan dalam bentuk asma wal sifat boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu:

1. Tahrif (التحريف - distortion or alteration) adalah mengubah makna ayat atau hadis tentang nama atau sifat Allah dari makna zahirnya kepada suatu makna yang lain. Sebagai contoh kata ‘istiwa’ yang ertinya ‘bersemayam’ dipalingkan menjadi ‘menguasai’. Kebiasaannya disebut sebagai “ta’wil” walaupun makna ta’wil yang sebenar bukanlah demikian

2. Tafwidh ( التفويض - relegation of matters to God) iaitu tidak menolak lafaz nama atau sifat Allah namun enggan menerima maknanya yang zahir dengan cara tidak memberikan makna pada lafaz tersebut.

3. Ta’thil (التعطيل) menurut erti bahasa ialah mengosongkan. Adapun menurut istilah, tathil ialah mengingkari apa yang wajib ditetapkan untuk Allah dari asma’ dan sifat-Nya seperti menjadikan sesuatu lafaz nama-nama dan sifat-sifat Allah tidak berfungsi. Sama ada meletakkan makna yang lain kepada lafaz tersebut (tahrif) atau mengatakan tiada yang memahami maknanya hanya Allah s.w.t (tafwidh). Istilah Ta’thil lebih umum merangkumi tahrif dan tafwidh.

4. Takyif (التكييف) adalah menggambarkan hakikat bentuk sifat-sifatNya, sedangkan tidak ada sesiapapun yang mampu membayangkan hakikat kewujudan Allah s,w,t. . Contohnya sebahagian orang berusaha menggambarkan bentuk tangan Allah, bentuk wajah Allah, dan lain-lain.

5. Tasybih (التشبيه) adalah menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat makhluk-Nya, dengan menyatakan sifat-sifat Allah adalah sama dengan makhluk.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatupun yang menyerupai Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat” (Surah Asy Syura: ayat 11)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.