Search This Blog

Aurat Kubra and Aurat Sugra




Dalam Ilmu Islam, aurat terbahagi kepada 2 kategori, iaitu aurat kubra dan aurat sugra. Aurat kubra bermaksud 2 kemaluan (depan dan belakang) bagi lelaki dan 3 untuk perempuan (depan, belakang dan payudara). Manakala aurat sugra pula bermaksud seluruh badan kecuali tapak tangan dan kaki untuk perempuan dan dari pusat hingga lutut untuk lelaki. (terdapat khilaf tentang pembahagian aurat)

Apabila seseorang berada dalam keadaan yang sempit (hajiyat), Muslim adalah dibenarkan untuk mendedahkan aurat sugra seperti (penutup) kepala, lengan, peha, betis dll. Ini adalah kerana aurat sugra wanita adalah dikategorikan sebagai keperluan hajiyat dan tasiniyat. Oleh itu, jika seseorang dalam keadaan sempit (hajiyat), tidak berdosa jika mereka mendedahkannya. Contohnya, keharusan pesakit wanita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki bukan mahram sekiranya tiada doktor wanita.

Apabila seseorang berada dalam keadaan darurat (emergency state), Muslim adalah dibenarkan mendedahkan aurat kubra (total nakedness). Contohnya ketika nyawa mereka terancam atau pakaiannya terkena bahan kimia yang melecuh.

Apabila seseorang Muslim berada di sesuatu negara yang melarang jilbab seperti France, mereka wajib mengikut hukum uruf di sana kerana ia melibatkan National Security terhadap keganasan (terrorism) yang telah berlaku baru-baru ini. Hukum berjilbab di tempat sebegini adalah haram kerana nyawa atau keselamatnya mungkin terancam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS 33:59)

Jilbab secara istilah bermaksud pakaian lebar dalam bentuk rida' atau selendang yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepala, bahagian depan (dada) dan bahagian belakang tubuhnya. Menurut Imam al Qurthuby: "Jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh tubuh." Tetapi dalam masyarakat Malaysia, jilbab secara umumnya bererti tudung yang menutupi kepala sampai leher dan dada.

Asbabun-nuzul surah al-Ahzab ayat 59 adalah, “Saat itu, kaum wanita pada zaman Nabi SAW sering keluar ke padang pasir untuk buang hajat (air besar). Sehingga banyak kaum laki-laki yang menyakini mereka sebagai pekerja seks (pelacur), kerana tidak adanya tanda-tanda khusus bagi perempuan merdeka dalam hal pakaian.

Maka sebahagian dari mereka mengadukan hal ini kepada Rasulullah SAW. Maka, turunlah Wahyu ayat berjilbab ini. Jelas dalam ayat ini, illat yang menyebabkan turunnya ayat ini adalah untuk melindungi wanita-wanita zaman itu yang sering diganggu oleh kaum lelaki jahilia.

Wanita-wanita tersebut diganggu kerana kaum lelaki jahilia tidak dapat membezakan wanita-wanita itu dengan pelacur. Wanita-wanita tersebut biasanya terdiri dari hamba-hamba, oleh itu pakaian mereka tidak jauh berbeza dengan para pekerja seks (pakaian tidak tutup aurat).

Oleh itu, Allah SWT turunkan ayat 59 surah al-Ahzab agar muslimah pada zaman ini menutup aurat dengan melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuhnya untuk membezakan diri dari pekerja-pekerja seks pada zaman itu.

Menurut Muhammad Sa'id al-'Ashmawi (1932 - 2013, Egyptian Supreme Court justice, Head of Court of State Security - specialist in Islamic law and comparative law) dalam kitabnya Haqiqat al-Hijjab wa Hujjiyyat al-Hadits;

"Perintah wajib berjilbab bagi perempuan adalah bersifat sementara. Beliau berpendapat bahwa jilbab itu tak wajib kerana ia adalah satu bentuk pakaian yang dituntut oleh kehidupan bermasyarakat. (apabila hilangnya illat, maka hilanglah hukumnya)

Tradisi bertudung di kalangan sahabat dan tabi’in lebih cenderung kepada keharusan budaya daripada keharusan agama. Bahkan, Ashmawi mengatakan bahwa ayat tentang hijab itu tidak mengandungi ketetapan hukum qat’i' dan hadis-hadis yang menjadi rujukan tentang kewajiban berjilbab itu adalah Hadis Ahad yang tak boleh dijadikan landasan hukum tetap.

Walau bagaimanapun, pendapat Ashmawi ini ditolak oleh para ulama Mesir seperti Muhammad Sayyid Tantawy (1928-2010, Mufti Mesir dari 1986 hingga 1996). Beliau mengatakan penafsiran Ashmawy tentang jilbab merupakan penafsiran yang jauh dari kebenaran, kerana ayat suci jelas memerintahkan isteri-isteri dan anak-anak Nabi SAW serta wanita mukminah agar sentiasa memperhatikan al-Himsyah (sopan, rasa malu).

Pendapat 4 mazhab juga mewajibkan jilbab yang berasaskan dari dalil yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, bahwa adiknya yang bernama Asma binti Abu Bakar pernah datang menghadap Rasulullah dengan berpakaian agak tipis, lalu Rasulullah berpaling dan bersabda, 'Wahai Asma, bila seorang wanita telah baligh tidak boleh lagi terlihat kecuali ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan pada muka dan tapak tangan beliau." (H.R. Abu Dawud)

footnote:
-hadits dari Aisyah: "janganlah para wanita menampakkan bahagian tubuhnya, melainkan wajah dan tapak tangannya." adalah hadith mursal (terputus perawinya) tetapi dikuatkan oleh hadith yang lain. Rujuk perbahasan selanjutnya berkenaan hadis ini oleh al-Albani, Jilbab al-Mar’atil Muslimah fii Kitabi wa as-Sunnah, 1412H, m/s. 67-68.


Maka, jelas dapat dilihat dan difahami disini adalah hukum menutupi tubuh (aurat) wanita adalah wajib tetapi telah berlaku khilaf dikalangan ulama tentang hukum berjilbab (bertudung). Tidak ada dalil yang Qati' yang menyebut bahwa rambut itu adalah aurat. Oleh itu, para ulama khilaf tentang hukum kewajipan menutup rambut dan kepala.

Para ulama yang tidak mewajibkan tudung berpendapat bahwa ayat 59 surah al-Ahzab tidak memerintahkan wanita muslimah memakai tudung kerana pada zaman itu kebanyakkan dari mereka telah memakainya, cuma cara memakainya belum sesuai dengan apa yang dituntut dalam syariat Islam sebagaimana yang disebut di dalam ayat tersebut.

Bahkan, kaum lelaki pada zaman itu juga memakai jilbab dalam bentuk qina' (penutup muka). Sejumlah besar kaum lelaki yang pergi perang pada zaman itu juga gemar memakai jilbab yang disebut sebagai dzu-khimar. Pada zaman itu, jika ada orang cedera dalam peperangan dan ditanya, "Siapakah yang menyerangmu, maka akan dijawab, "Orang yang berjilbab itu".

Oleh yang demikian, maka dapat difahami dalam konteks ini bahwa berjilbab adalah tradisi budaya orang Arab. Menurut Ibnu Asyur, adat kebiasaan satu kaum tidak boleh dipaksakan terhadap kaum lain atas nama agama, bahkan tidak dapat dipaksakan pula terhadap kaum itu. Beliau memberi contoh;

Di dalam Al-Quran dinyatakan, "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin; hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal sehingga tidak diganggu."

Menurut Ibnu Asyur, "Ini adalah ajaran yang mempertimbangkan adat orang-orang Arab, sehingga bangsa-bangsa lain yang tidak menggunakan jilbab, tidak memperolehi bahagiannya (tidak berlaku bagi mereka) bagi ketentuan ini." (ruj: Jilbab pakaian wanita muslimah, pandangan ulama’ masa lalu dan cendekiawan kontemporer, h 188-189)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.