Search This Blog

Memahami peringkat-peringkat hukum kenajisan anjing dalam Islam



Islam adalah agama yang bukan sahaja menjaga hak-hak manusia tetapi juga hak-hak haiwan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa memerhatikan sikap kita terhadap haiwan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (QS 6:38)

Namun, kekurangan dalam penghayatan ilmu fiqh oleh segelintir 'tenaga ajar' dan umat Islam, telah terjadi suatu polemik penyebaran kejumudan dan kejahilan dalam masyarakat kita terutamanya mengenai perkara-perkara khilaf seperti hukum kenajisan anjing.

Oleh kerana terlalu banyak pencemaran tentang hukum kenajisan anjing dalam masyarakat kita, marilah kita bersama-sama menilai semula, sejauh manakah pendapat yang mengatakan anjing itu adalah najis berat.

Kita perlu ketahui bahwa anjing adalah binatang yang mulia dalam Islam sepertimana yang disebut dalam al-Quran:

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing (pemeliharaan) mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua..." (QS 18:18)

1) Membela anjing telah menjadi suatu budaya pada zaman Rasulullah SAW untuk mengangkat darjat/status seseorang. Budaya ini ditiru dari masyarakat Yahudi dimana si pembela anjing dilihat sebagai seorang 'Tuan' yang mempunyai harta, hamba dan binatang peliharaan. (seperti orang Arab yang membela singa atau harimau pada hari ini)

2) Anjing-anjing telah membiak dengan cepat dan banyak sehingga menjadi masalah anjing liar dalam masyarakat Islam. Pelbagai jenis penyakit dan gigitan anjing menjadi ancaman kesihatan dan keselamatan penduduk-penduduk kota Madinah.

3) Oleh itu, Rasulullah SAW memerintah agar bekas minuman/bejana yang telah terkena jilatan anjing dicuci sebanyak 7 kali (sekali dengan tanah) sebelum diguna pakai oleh orang (ruj: hadis riwayat Bukhari, Muslim dll - Sahih al-Bukhari – hadis no: 172 - Kitab Wudhu, Bab jika anjing minum daripada bekas air...).

4) Rasulullah SAW juga telah mengarah agar anjing-anjing liar yang mengancam keselamatan orang dibunuh. Setelah ancaman anjing liar telah berkurangan, Rasulullah SAW mengarahkan agar anjing liar yang berwarna hitam sahaja dibunuh.

Apabila masalah anjing liar makin berkurangan, Rasulullah SAW mengarahkan agar anjing liar yang berwarna hitam dan bertompok dibahagian kepala anjing sahaja yang perlu dibunuh. (jenis anjing liar ini amat garang dan suka gigit orang)

5) Setelah populasi anjing liar telah berkurangan, dan ancaman penyakit dan gigitan dari anjing-anjing liar ini telah berkurangan, Rasulullah SAW telah mengeluarkan arahan supaya anjing liar tidak perlu dibunuh lagi dan bekas minuman yang terkena jilatan anjing hanya perlu dibasuh 3 kali sahaja.

"Nabi SAW menyuruh membasuh bekas dari jilatannya (anjing) sebanyak tiga kali." (Abdullah bin Mahmood bin Maudud al-Mawsili al-Baldaji, Majd al-Din Abu Fadhal al-hanafi - meninggal 683H, al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar, jld 1, hlmn 19, Matbaah al-halabi, Kaherah. Tarikh : 1937 M)

6) Untuk membendung ulangan ancaman anjing liar dalam masyarakat Islam, Nabi SAW melarang membela anjing selain dari tujuan memburu dan penjagaan dan pengawasan rumah/harta:

“Daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang membela anjing kecuali anjing buruan atau anjing menjaga binatang ternakan, mengurangkan daripada amalnnya pada setiap hari dua qirat” (muwatta’, bab menyatakan berkaitan dengan anjing, hadis no.13)

“Barangsiapa yang bela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan” (al-Bukhari, bab membela anjing untuk kerja pembajakan, hadis no : 2322)

Kata Al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim;
"Telah sepakat kalangan kami (ulama mazhab syafie) dan selainnya (selain ulama dalam mazhab syafie) bahawa haram membela anjing tanpa keperluan, sepertimana membela anjing kerana berbangga dengan bentuknya atau kerana untuk membesar diri dengannya, maka ia adalah haram tanpa khilaf."

"Adapun kerana ada keperluan yang mengharuskan membelanya, sesungguhnya telah datang hadis tentang keizinan pada salah satu dari tiga perkara, iaitu bertanaman, menjaga binatang ternakan. Ia adalah harus, tanpa khilaf lagi". (Abu Zakaria Muhy al-Din bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Jld 3, hlmn 186, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut. Tarikh : 1392)

Anjing adalah haiwan yang sedia wujud pada zaman Rasulullah SAW. Apabila tiada ketentuan hukum yang diturunkan dalam persoalan najis atau tidaknya anjing, bererti hukum anjing kembali kepada yang asal, iaitu ia adalah haiwan yang tidak najis.

Kaedah qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh anjing sebagai najis adalah qiyas yang lemah. Ini adalah kerana asal pengusulan kaedah qiyas adalah bagi mencari hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya wahyu – al-Qur’an dan al-Sunnah.

‘Illat atau sebab bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.

Menggunakan qiyas untuk menghukum keseluruhan anjing sebagai najis dianggap lemah kerana anjing pada asalnya sudah wujud pada zaman turunnya wahyu. Ini bererti ia bukanlah kes yang baru.

Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.

Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada kedudukan yang asal, iaitu halal/harus/bersih. Firman Allah SWT yang bewmaksud:

"Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi." (al-Baqarah 2:29)

"Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti." (al-Jatsiyah 45:13)

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin?" (Surah Luqman QS31:20)

Oleh itu, pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah pendapat yang mengatakan anjing tidak najis keseluruhnya. Mazhab Maliki berpendapat bahwa suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang telah diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tersebut tetapi disebabkan kepada ketaatan kita kepada Allah SWT semata-mata (ta’abudi).

Ini adalah kerana Islam membenarkan penggunaan anjing untuk berburu dan tiadalah seekor anjing yang memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan adalah suci untuk dimakan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu..." (QS 5:04)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita mencuci jilatan anjing, maka kita mencucinya kerana ketaatan kita pada perintah Rasulullah SAW dan bukan kerana anjing itu najis. Lagipun, anjing yang lalu-lalang di dalam halaman masjid pada zaman Rasulullah SAW tidak menajiskan;

`Abdullah (Ibnu Umar) berkata,
“Anjing datang dan pergi (mundar-mandir) di masjid pada zaman Rasulullah SAW dan mereka tidak menyiramkan air padanya.” (HR al-Bukhari)

Apabila tersentuh jilatan atau air liur anjing, para ulama fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan bahawa sebahagian fuqaha Syafi‘iyyah dan Hanabilah kontemporer membolehkan penggunaan sabun. Bahkan Mazhab Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib, ia sunnah sahaja.


Wallahu'alam

Maulana Asri :Peringkat-peringkat hukum kenajisan anjing 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.