Search This Blog

Jangan hina dan menindas mereka yang belum Islam



Muslim menindas, cerca dan menghina non-Muslim di Malaysia serta menjauhkan mereka dari agama suci ini dengan menakut-nakutkan mereka dengan Hududullah demi kepentingan diri dan kuasa pemerintahan. Hudud Allah SWT dijadikan alat politic yang dimain-mainkan setiap kali ada pilihanraya dan non-Muslim disalahkan kerana tidak menyokong pelaksanaannya padahal kuasa pemerintah ada ditangan orang Islam sendiri.

Di luar negara pula, Muslim dihina, ditindas, malah diserang dan dibunuh diserata dunia kerana mereka yang belum Islam takut kepada Muslim. Muslimah yang bertudung dan berhijab dibenci dan dicaci. Muslim di Palestine dan Myanmar dizalimi dan dibunuh oleh non-Muslim. Sukakah kamu dan relakah kamu jika kamu dan ahli keluarga kamu dilayan sebegitu ketika berada di luar negara? Jika tidak, mengapa kamu melakukannya keatas mereka di tahan air sendiri?

Janganlah melakukan sesuatu yang akan mencemarkan nama baik Islam. Berdakwahlah dan sebarkan syiar Islam kepada mereka yang belum Islam agar agama Islam dapat berkembang dengan berjaya. Janganlah kamu melakukan kezaliman, penindasan dan kelakuan tidak adil keatas mereka, kerana kelak mereka akan membalasnya dengan lebih dasyat lagi keatas kamu dan keturunan kamu.

Begitu juga dengan Syiah. Diantara jawapan-jawapan yg paling rajih dan munasabah yang pernah saya terima untuk soalan, "Adakah Syiah Islam?" adalah dari Ustaz Mohd Khairil Anwar, katanya...

"Kita Ahli Sunnah Wal Jemaah tidak menghukum secara pukal (generalizing). Jika ada dikalangan mereka yg melakukan perkara kufur, maka kafirlah mereka..."

Ini adalah kerana ramai dikalangan mereka yang lahir saje sudah Syiah, tak ada pilihan lain seperti kamu juga yang lahir saje sudah Islam, Ahli Sunnah Wal Jemaah, mazhab Shafii dll...

Samalah seperti mereka yang lahir dalam keluarga non-Muslim seperti saya. Dari pengalaman saya sendiri, saya tahu betapa susahnya untuk mendapat ilmu pengetahuan mengenai Islam yang sebenar (tanpa kepercayaan khurafat, tanpa ajaran sesat, tanpa hadits palsu, tanpa budaya nenek moyang) dalam masyarakat kita.

Dari saya lahir sehingga saya memeluk Islam, tidak ada seorang Muslim pun yang datang memberi dakwah atau mengajak saya masuk Islam. Tidak pernah sekalipun seorang Muslim mengajak saya berbicara mengenai Islam. Yang ada ialah larangan suruh saya jangan cakap pasal Islam sebab saya ialah non-Muslim.

Saya juga pernah dimaki-hamun dalam satu forum memancing ikan oleh Muslim sebab saya ingin 'sedekah' bacaan al Fatihah kepada arwah seorang sahabat pancing aku yang telah meninggal dunia. Inilah hakikat, sikap dan perangai seorang Muslim ASWJ dalam masyarakat kita.

Tugas seorang Muslim yang beraliran ASWJ ialah sebarkan dakwah Islam yang sebenarnya kepada mereka dan bukannya memusuhi mereka sehingga hina-menghina dan kafir-mengkafirkan diantara satu sama lain. Janganlah kita memburuk-burukkan imej Islam sehingga mereka semua benci dan lari dari ajaran suci ini...

Apabila Islam jadi beku dan tidak dapat berkembang dalam sesebuah masyarakat akibat kelakuan buruk orang Islam, maka Allah SWT akan menghilangkan agama suci ini dari tanah air mereka seperti apa yang berlaku di India dan Sepanyol. Allah SWT akan mengantikan kaum yang berakhlak buruk dengan kaum yang lain sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:

Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan bertaqwa) Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (QS 47:38)

Insaflah wahai Muslim, kembalilah kepada ajaran Allah SWT jika kamu tidak mahu kehilangan rahmatNya...


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.