Search This Blog

Hukum kenajisan babi



Dalam isu kenajisan babi ini, para ulama sepakat bahawa daging babi haram dimakan, tetapi mereka berbeza pendapat tentang beberapa isu yang lain, diantaranya adakah perlukah disertu/disamak 7 kali setelah bersentuhan dengan babi seperti anjing?

Dalam hal ini ulama besar dalam mazhab syafie, Imam Al Nawawi memilih pendapat tidak perlu samak/sertu dengan air tanah jika memegang babi. Dalam kitab al majmu karangan ulama besar mazhab syafie iaitu Al Imam Al Nawawi dinyatakan:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa yang rajih dari sudut dalil, (kenajisan babi) memadai dengan sekali basuhan tanpa perlu tanah. Inilah pandangan kebanyakan ulama yang berkata tentang kenajisan babi. Inilah pandangan yang terpilih. Hal ini kerana hukum asal ialah tidak wajib (sertu/samak) sehinggalah ada bukti dari syara’, terutama dalam persoalan seperti ini yang dibina di atas dasar menjadikan ibadah.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/604)

Dalam Syarh Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyebut: Kebanyakan ulama berpendapat bahawa khinzir tidak memerlukan tujuh kali basuhan seperti pendapat al-Syafii. Ia (pendapat tidak perlu tujuh kali basuh) pendapat yang kuat dari segi dalil. (3/185, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-'Arabi)

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman (seorang ilmuwan dalam mazhab al-Syafi’i, meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i."

Kata Imam al-Nawawi: "Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”. (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Hukumnya cukup kita basuh sahaja perkakas itu dengan air berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Tha`labah al-Khusyani yang bertanya kepada Baginda SAW:

“Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.” (Hadis Riwayat Imam Abi Daud dalam Sunan-nya #3839)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.