Search This Blog

Hukum Pertandingan Memancing dalam Islam



Pertandingan memancing dimana peserta dikenakan bayaran dan jika gagal dalam suatu tempoh masa maka wang penyertaan akan hangus. Perkara seperti ini sebenarnya berasaskan prinsip perjudian. Untuk itu beberapa perkara berikut perlu diingatkan penganjur & orang ramai;

Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar. Qimar atau judi bermaksud ‘setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. 

Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan seperti memancing, teka jumlah benda dan lain-lain dalam negara ini. Wang pertaruhan yang dinamakan ‘yuran penyertaan’ yang diambil itu akan dijadikan sebagai hadiah untuk pemenang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta. Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan. 

Ini terbukti seperti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan joran pancing yang digunakan. Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan bagi pihak penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas berunsurkan perjudian. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah.

Sebenarnya, yuran penyertaan itu jika sekadar caj khidmat atas yang disediakan seperti makan minum, sewaan dan seumpamanya, maka itu bukan judi dan pertaruhan. Namun, apabila ia menjadi keuntungan penganjur atas 'kekalahan' peserta, maka itu adalah satu perjudian.

Firman Allah: (maksudnya): Wahai mereka yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: ayat 90).

Firman Allah:(maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah).” (Surah al-Nisa: ayat 29)




Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.