Search This Blog

Budaya kafir-mengkafir di Malaysia



Sikap dan perangai yang suka melakukan takfir seharusnya dihapuskan dalam masyarakat kita. Budaya kafir-mengkafirkan dalam masyarakat kita bukanlah sesuatu perkara baru di negara ini, ia telah bermula semenjak dulu-dulu lagi.

Pada awal tahun 1961, isu kafir-mengkafir menjadi masalah besar di negara ini berikutan pengedaran buku 'Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah' oleh Sheikh Abdul Qadir al-Mandili. Penulis berkenaan mengharamkan perkongsian kuasa dengan orang bukan Islam dalam kehidupan bernegara.

Seterusnya pada tahun 1963, Tuan Guru terkenal dari Pasir Mas, Haji Omar Daud (seorang ahli Jawatankuasa Ulama PAS) dan beberapa ulama pondok lainnya mengharamkan pakatan politik dengan orang bukan Islam dalam pemerintahan negara Islam.

Pendirian tokoh-tokoh agama tersebut memberi implikasi ke atas kehidupan beragama dan sosial masyarakat Melayu seperti haram memakan sembelihan orang Perikatan atau UMNO, tidak sah pernikahan dengan ahli parti tersebut dan menjadi kesalahan menyembahyangkan mayat anggota parti tersebut.

Pengaruh kafir-mengkafir merebak di kalangan masyarakat Melayu, terutamanya di Terengganu, Kedah dan Perak Utara. Daerah Besut di Terengganu adalah daerah yang paling terkenal dengan isu kafir-mengkafir.

Oleh itu, sebagai langkah membendung perpecahan terus merebak dalam masyarakat Melayu, maka Jawatan Kuasa Tetap Agama bagi Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan fatwa melarang kafir-mengkafir sesama umat Islam.

Namun demikian, isu takfir berkembang semula pada tahun 1964 dan 1969, kemudian isu tersebut dipolemikkan oleh kalangan parti politik Melayu, terutamanya menjelang pilihan raya pada tahun 1978, 1981, 1985, 1990, 1995 dan 1999.

Oleh itu, jelas terbukti bahawa fenomena kafir-mengkafir ini giat dipolemikkan untuk tujuan kepentingan politik. Keadaan ini bertambah buruk apabila ia diperbesar-besarkan oleh media massa.

Isu kafir-mengkafir menimbulkan pelbagai fitnah yang membawa implikasi kepada krisis aqidah, amalan dan akhlak umat Islam. Fitnah kafir-mengkafir mungkin berpunca sebilangan dari tafsiran yang tidak tepat terhadap ajaran Islam itu sendiri.

Di antara fitnah kafir-mengkafir ialah; pertama; kafir kerana terikat dengan orang kafir yang memerintah negara. Kedua; kafir kerana tidak menjalankan hukum Allah sepenuhnya. Ketiga; kafir kerana memisahkan agama dengan kehidupan. Keempat; kafir kerana kerajaan sekarang tdghut. Kelima; kafir kerana perjuangan kebangsaan Melayu (Nabi tidak mengaku umat).

Pada dekad 1980-an, dimensi takfir disebabkan oleh kegagalan pemerintah melaksanakan hukum hudud. Pemerintah menghayati ideologi sekular, perlembagaan negara disifatkan sebagai thaghut dan istilah mustakbirin diberi gelaran kepada pemerintah yang menentang tertubuhnya negara Islam.

Isu Amanat Haji Hadi Awang dituduh sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya gejala takfir yang kemudiannya dituduh pula sebagai punca perpecahan masyarakat Melayu dalam politik. Malah tragedi berdarah di Memali pada penghujung tahun 1986 disebabkan oleh Amanat Haji Hadi Awang.

Diantara sedutan ucapan Amanat Haji Hadi Awang adalah seperti berikut:

"Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.

Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.

Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'."

Dulu mereka kafir-mengkafirkan sesama kaum sendiri. Sekarang mereka mengkafirkan mereka yang belum Islam pula. Budaya takfir ini bukanlah ajaran dari Islam. Malah, Islam menegaskan bahwa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT perintah umatnya supaya tidak berpecah-pecah kepada bahagian atau puak tertentu tetapi sebaliknya bersatu-padu di bawah satu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)." (QS 6:159)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.