Search This Blog

Kisah Suwaibah al-Islamiah



Rasulullah SAW dilahirkan di Mekkah dalam keadaan yatim setelah ayahnya, Abdullah Abdul Mutalib meninggal dunia di Madinah ketika beliau di dalam kandungan ibunya, Aminah Wahab.

Kelahiran Rasulullah SAW telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh keluarga datuknya Abdul Mutalib. Ketika baginda SAW berumur 7 hari, datuknya bawa Rasulullah SAW ke Masjidil Haram dan tawaf mengelilingi Kaabah untuk menunjukkan kesyukurannya ke atas kelahiran baginda SAW.

Kegembiraan itu turut disambut dan diraikan oleh salah seorang dari bapa saudara baginda SAW, iaitu Abdul Uzza Abdul Mutalib, atau lebih dikenali sebagai Abu Lahab. Sebagai tanda kesyukuran Abu Lahab keatas kelahiran Rasulullah SAW, beliau telah memerdekakan seorang hamba yang bernama Suwaibah.

Suwaibah adalah kakak ipar kepada Aminah, ibu Rasulullah SAW. Dia merupakan seorang hamba yang berkulit cerah dan berwajah menawan. Bukan mudah bagi seorang tuan untuk memerdekakan seorang hamba seperti Suwaibah dan ia merupakan satu kerugian besar kepada Abu Lahab.

Walau bagaimanapun, setelah mendengar berita yang dibawa dan disampaikan oleh Suwaibah mengenai adik iparnya Aminah tentang kelahiran Rasulullah SAW, Abu Lahab membebaskan dia. Kemudian Suwaibah telah diamanahkan untuk menjadi ibu susuan pertama Rasulullah SAW.

Memang menjadi adat di kalangan bangsawan Arab menyerahkan bayi mereka untuk disusukan oleh ibu susuan yang tinggal di desa. Tujuan penyusuan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada bayi mereka terhadap kehidupan desa yang dipenuhi nilai murni. Anak-anak akan dibesarkan dalam suasana desa yang tidak tercemar daripada unsur negatif masyarakat Arab jahiliah dan wabak penyakit di Makkah.

Suwaibah menjadi ibu susuan pertama Rasulullah SAW bersama anak lelakinya yang bernama Masrah. Suwaibah juga merupakan ibu susuan kepada Hamza ibn Abd al-Muttalib, pakcik kepada baginda SAW. Hamza hanya 4 tahun lebih tua dari baginda SAW. Rasulullah SAW pernah memanggil anak perempuan Hamza sebagai, "Anak perempuan abang ibu susuan ku..."

Tempoh menyusu Suwaibah hanyalah beberapa hari sahaja, selepas itu tugas menyusu Rasulullah SAW telah diberi kepada Halimah bint 'Abdullah sehingga baginda SAW cerai susu. Suwaibah juga merupakan salah seorang dari sahabat Rasulullah SAW yang terawal memeluk agama Islam (Suwaibah meninggal 7 A.H).

Diriwayatkan oleh Bukhari, selepas kematian Abu Lahab, salah seorang dari saudaranya, Abbas ibnu Mutalib telah bermimpi nampak dia di neraka dalam keadaan yang teruk dan sensara. Lalu Abbas pun menanya khabarnya, Abu Lahab menjawab, "Keadaan aku teruk dan teramat siksa sepertimana yg kamu lihat kecuali aku telah diberi air untuk diminum (sebanyak ibu jari ke jari yang lain) kerana aku telah memerdekakan Suwaibah ketika aku mendapat berita gembira tentang kelahiran baginda SAW melaluinya."

Inilah kisah Suwaibah al-Islamiah, hamba yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab ketika kelahiran Rasulullah SAW. Kisah ini telah mengajar kita bahwa setiap kebaikan akan dibayar dengan kebaikan dan setiap keburukan akan dibalas dengan azab yang telah dijanjikan oleh Allah SWT, walaupun sebesar biji sawi. Islam adalah agama yang adil yang tidak akan menzalimi sesiapa pun, di dunia ini dan di akhirat kelak.

Wallahu'alam
ref: Beacons of Light - al-Islam.org
ref: Wikipedia - Thuwaybah
ref: Sahih al-Bukhari, Volume 7, Book 62, Number 38

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.