Search This Blog

Siapakah Kafir Harbi?



Isu kafir harbi kadang-kala disebut oleh sesetengah pihak tanpa memahami maksud sebenar istilah berkenaan. Istilah harb merujuk kepada peperangan. Dalam pembahagian silam tentang jenis-jenis negara; disebut Dar al-Islam dan Dar al-Harb. Juga ditambah oleh sebahagian penulis pembahagian ketiga Dar al- ‘Ahd.

Secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; kekuasaan politik berada di tangan muslimin, zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja dan kaum muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah aman berdasarkan perjanjian mereka. Manakala negara-negara yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam maka mereka adalah Dar al-‘Ahd.

Atas asas ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah Dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia. Sementara kesemua negara bukan Dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah Dar al-‘Ahd termasuklah Amerika. Hanya dikategori sebagai Dar al-Harb pada masa ini ialah Negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah, ms 888-908)

Setelah memahami hal tersebut, maka dalam istilah awal, warga non-muslim yang hidup dalam masyarakat muslim ataupun bawah Dar al-Islam(negara Islam) dengan mengikat perjanjian kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah. Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam Dar al-Islam itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya. Walaupun begitu, istilah ahl-al-zimmah itu boleh elakkan di zaman kini dengan menyebut rakyat atau warga negara non-muslim.

Sementara kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah non-muslim yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan Dar al-Islam dan mereka tinggal di negara mereka Dar al-Harb (Lihat: ibid, ms 912).

Maka non-muslim yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang negara muslim, tidak dinamakan dengan kafir harbi. Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam. Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan muslim tidak boleh dikatagorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!

Sumber: Dr Asri


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.