Search This Blog

al-Ukhuwah al-Insaniyah (human inter-relationship)




"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (QS 60:8)

Ungkapan 'Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil' dalam ayat ini bermaksud umat Islam perlulah hidup secara harmoni dan sejahtera sesama manusia terutamanya dengan mereka yang bukan Islam, selagi mereka tidak memusuhi, menzalimi atau mengusir kamu dari tempat tinggal anda.

Islam adalah agama yang syumul dan adil yang mengajar umatNya hidup sesama manusia secara bersaudara dan toleransi tanpa memandang perbezaan ras, suku, bangsa dan agama. Islam amat menitik beratkan al-ukhuwah al-insaniyah, iaitu talian persaudaraan sesama manusia.

Maksud al-ukhuwah al-insaniyah adalah semua manusia tanpa melihat bangsa atau agama, adalah bersaudara. Ini adalah kerana kita semua berasal dari keturunan dan sumber nasab yang sama, iaitu Nabi Adam dan Hawa. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)." (QS 49:13)

Islam mengajar umatNya agar mengamalkan ta'aruf dan tafahum. Ta’aruf adalah saling kenal mengenali sesama manusia, manakala tafahum adalah saling memahami sesama manusia. Apabila manusia telah saling kenal mengenali dan memahami sesama mereka, maka timbullah perasaan ta'awun.

Ta'awun adalah perasaan saling kasih mengasihi, saling bantu membantu, saling doa mendoakan sehingga wujud perasaan takaful, iaitu perasaan saling cinta mencintai seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang diantaramu sehingga kamu mencintai saudaramu seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (HR. Bukhari-Muslim)

Salah faham yang sering berlaku dikalangan umat Islam pada hari ini adalah maksud mencintai saudara mu yang hanya tertakluk pada saudara seagama. Islam tidak pernah ajar umatNya untuk berpaling atau membenci mereka yang tidak seagama dengan kita.

Islam mengajar umatNya yang telah atau lebih awal memperolehi iman untuk membantu dan tarbiyah mereka yang belum beriman agar mereka dapat keimanan sepertimana yang telah diperolehi oleh semua umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan orang-orang (Ansar) yang telah beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka (Madinah) dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat..." (QS 59:9)

Islam mengajar umatNya yang telah beriman agar saling bantu membantu dan memberi nasihat sesama sendiri dan juga kepada mereka yang belum beriman. Malah, kita mesti mengutamakan kebajikan dan keperluan mereka lebih dari diri kita sendiri. Kita wajib seru, dakwah dan tarbiyah mereka supaya beriman hanya kepada Allah SWT.

Inilah diantara sebab mengapa umat Islam terdahulu amat menitik beratkan akhlak yang mulia. Mereka lihat orang-orang yang belum Islam itu sebagai 'customer' kepada perniagaan mereka dengan Allah SWT. Perniagaan jenis ini telah disebut dalam al Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (QS 61:10-11)

Malangnya umat Islam pada hari ini tidak lagi berniaga dengan Allah SWT. Mereka yang belum Islam dibiarkan tanpa hirau, malah ditindas dan dimusuhi sehingga mereka lari dari Islam. Golongan yang telah berhijrah kepada Islam (muallaf) pula dianak-tirikan sehingga digelar penipu wang bantuan zakat. Pemimpin yang kononnya digelar ulil amri pula menjadi lanun kleptocrat yang terhebat didunia.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dan bertaubat kepada Allah SWT. Marilah kita berazam agar dapat membantu dan dakwah lebih ramai manusia kearah Islam dalam tahun 2017 yang baru ini. Marilah kita bersama-sama memperbaiki dan memperkukuhkan al-ukhuwah al-insaniyah, iaitu talian persaudaraan sesama manusia.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.