Search This Blog

Memahami konsep al-tasyabbuh melalui Maqasid Syariah - Part 2




Ilmu Maqasid Syariah memainkan peranan penting dalam memahami teks hadits. Begitu juga menafsirkan hadits dengan tafsiran yang munasabah mengikut tujuan dan objektif yang dituntut dalam Islam.

Tujuan utama syariat Islam diturunkan oleh Allah SWT adalah untuk menjaga maslahah hambaNya dan menjauhkan kerosakan daripadanya di dunia dan di akhirat.

Tidak ada hukum syara’ yang disyariatkan oleh Islam melainkan untuk menjaga dua objektif besar ini. Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari golongan mereka”. (Hadits Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Hadis ini secara umumnya memberi maksud; Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum yang baik dan terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji.

Sementara itu, sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk dan zalim maka dia dianggap dalam kalangan mereka yang sentiasa membuat kejahatan dan kemudharatan.

Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatah lagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat.

Daripada Anas bin Malik, katanya:
“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak.

Kata Anas: "Seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad Rasulullah”. (Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadits ini jelas menunjukkan baginda Nabi SAW meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

Walau bagaimanapun, umat Islam adalah dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut.

Contohnya; jika terdapat sekumpulan orang yang memakai baju kursus warna merah yang berkelakuan buruk macam samseng, penyamun, penjenayah, penipu, pemfitnah, pengkhianat dll, maka umat Islam adalah dilarang meniru sikap dan perangai mereka.

Umat Islam adalah dilarang dari meniru fesyen mahupun pakaian mereka yang melakukan kemudharatan secara mutlak. Kita adalah dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus dari sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.