Search This Blog

Memahami hukum ucapan salam kepada non Muslim dalam Islam - Part 2



Maksud perkataan bigot adalah pentaksub, iaitu orang yang berpegang teguh kepada sesuatu fahaman atau fikiran dengan tidak menghiraukan kebenaran. Mereka ini terdiri dari spesis yang tidak boleh berlapang dada (tasamuh/open mindedness) langsung.

Mereka akan membenci dan menentang sesiapa sahaja yang tidak bersefahaman dengan cara pemikiran mereka. Mereka tidak boleh terima teguran dan mereka berfikiran sempit.

Bigot akan sentiasa bersikap berego-centric dan mereka hanya mementingkan diri sendiri sahaja (narcissism). Mereka yang taksub ini hanya akan rasa dirinya sahaja yang paling benar dan orang lain semua salah. Mereka akan sentiasa berfikiran kolot dan berprasangka.
Mereka tidak boleh hidup bertoleransi dan penuh dengan was-was dan pra-sangka. Mereka akan lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran.

Pandangan yang bertentangan dengan fahaman mereka yang taksub ini akan dilabel ajaran sesat, bid'ah, ahli neraka dan sebagainya. Biasanya, mereka akan tuduh pandangan berlawanan sebagai sebagai fahaman syiah, wahhabi, kafir, extremist, terrorist dll.

Fenomena ketaksuban ini juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan suatu kaum dalam masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip yang sama dengan mereka atau menganggotai kumpulan mereka sahaja.

Islam mengajar umatNya taat dan takwa kepada Allah SWT dan RasulNya, bukan taksub. Taat dan takwa memerlukan ilmul yakin, manakala taksub hanyalah ikutan membuta tuli. Ilmul yakin bermaksud keyakinan yang diperolehi berdasarkan pelajaran ilmu dan bukannya sekadar taklid buta.

Taksub dalam agama seringkali berlaku apabila kita mengamal sesuatu ajaran tanpa memahami maksud, tujuan dan sejarah amalan tersebut. Contohnya amalan mendahului memberi salam kepada mereka yang bukan Islam.

Walaupun peristiwa penaklukan Kota Mekah telah lama berlalu, hakikatnya adalah masih ramai lagi Muslim pada hari ini yang masih memegang kepada hadits yang melarang memberi salam kepada non Muslim.

Larangan ini adalah kerana terdapat sekumpulan Yahudi memberi ucapan 'as-sam alaikum' (maut ke atas kamu) kepada Nabi SAW ketika peristiwa penaklukan Kota Mekah.

Oleh kerana ketaksuban segelintir umat Islam pada hari ini, amalan memberi salam kepada mereka yang bukan Islam telah diabaikan. Padahal ajaran Nabi SAW adalah sebarkan salam sesama manusia agar kita saling kasih mengasihi sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadits yang bermaksud;

"Maukah kamu aku tunjukan sesuatu yang apabila kamu mengerjakannya, maka kamu sekalian akan saling mengasihi? Iaitu sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR. Muslim no. 54)

Tahukah kamu bahwa ucapan 'assalamualaikum' berasal dari mereka yang bukan Islam? Ia adalah amalan uruf masyarakat Arab jahilia sebelum ketibaan Nabi SAW. Ucapan ini merupakan Syar’u Man Qablana (syariat sebelum Islam) yang dibenarkan dalam Islam selepas ketibaan Rasulullah SAW.

Ucapan 'assalamualaikum' juga telah digunakan oleh masyarakat Kristian di Timur Tengah sehingga ke hari ini yang mempunyai erti "kedamaian dan kesejahteraan" bagi yang mengucapkan salam dan penerima salam tersebut. Begitu juga dengan kaum Yahudi yang mengucap 'shalom aleichem' dalam bahasa Ibrani.

Oleh kerana ketaksuban yang membabi buta, ucapan yang berasal dari mereka yang bukan Islam ini telah dilarang keatas mereka yang bukan Islam oleh umat Islam pada hari ini. Padahal larangan ini hanya berlaku semasa dalam keadaan peperangan ketika peristiwa penaklukan Kota Mekah.

Jika kita masih memegang pada larangan pemberian salam ini ketika aman damai, bagaimana manusia nak saling kasih mengasihi sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW? Bukankah ini sejenis talbis iblis untuk memecah-belahkan perpaduan dan kasih sayang umat manusia?


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.