Search This Blog

Memahami konsep tawakal melalui maqasid syariah.




Penyerahan dan kebergantungan (tawakal) kepada Allah SWT ialah salah satu konsep yang penting dalam ajaran Islam, tetapi ia juga adalah konsep yang paling ramai orang salah faham, terutamanya oleh para Muslim aliran sufi. Iaitu salah faham yang berlaku apabila mereka mencampur adukkan konsep tawakal dengan sikap tidak ambil peduli (apathy).

Apa yang akan terjadi jika semua Muslim memegang pada konsep tawakal yang tidak mengambil peduli tentang hal-ehwal keduniaan yang kononnya dikaitkan dengan zuhud. Kerja mereka tiada lain kecuali hanya bermunajat, berzikir dan berwirid, bertafakur dll sepanjang hari dalam pondok atau masjid.

Mereka mengabaikan urusan pentadbiran, urusan kewangan, urusan akedemik, urusan kebajikan dll yang berkaitan dengan keduniaan. Nescaya, tidak lama kemudian mereka akan dikuasai dan diperintah oleh kuasa yang kufur kepada perintah Allah dan kehidupan mereka akan jadi sengsara dan amalan ibadah mereka akan tergugat.

Sikap tidak mengambil peduli hal ehwal keduniaan bukanlah suatu tuntutan dalam konsep tawakal (the concept of surrendering and relying only to God) dalam Islam. Malah, konsep tawakal dalam Islam berkait rapat dengan istilah tadbir (urus atau menyelia). Konsep tawakal kepada Allah SWT hanya akan wujud setelah urusan pentadbiran kehidupan peribadi dan masyarakat terpelihara dan terjaga.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (QS 3:159)

Jelas maksud dalam ayat ini bahwa konsep tawakal kepada Allah SWT dilakukan setelah hal ehwal dan urusan pentadbiran sesama manusia (keduniaan) diurus dan ditadbir terlebih dahulu sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Apabila perkara2 keduniaan ini telah diselesaikan, maka berserahlah (tawakal) kepada Allah SWT untuk memberi keputusanNya.

Islam tidak pernah mengajar kita bermunajat dan berzikir 24 jam siang dan malam di pondok atau masjid tanpa menghiraukan kerjaya dan pentadbiran negara. Islam mengajar kita menegakkan keadilan, buat kebajikan, berzakat dan bersedekah dll agar kehidupan orang lain yang memerlukannya terpelihara. Apabila kehidupan masyarakat terpelihara, maka agama juga turut terpelihara.

Dari Umar bin Kattab ra berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan benar-benar tawakkal, nescaya Allah kurniakan rezeki kepada kamu seperti DIA beri rezeki kepada burung yang keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang” (HR Ahmad dan Tirmizi)

Maksud tawakal dalam hadits ini juga mengambarkan anjuran penyerahan kepada Allah SWT (tawakal) berlaku setelah kita berusaha untuk mencari rezki seperti burung yang keluar lapar. Allah SWT tidak suruh burung itu bermunajat dan berzikir 24 jam atas dahan atau dalam sangkarnya dan tunggu rezki jatuh dari langit.

Ini juga bermaksud, apabila tuntutan lain yang disebut dalam al Quran seperti tanggungjawab memelihara nyawa (QS 2:195, 4:29), memelihara agama (QS 42:13, 41:33), memelihara akal (QS 16:65, 5:90), memelihara nasab (QS 30:21, 17:32), memelihara harta (QS 2:282, 2:188) diabaikan, kehidupan manusia akan sengsara seperti burung yang bermunajat 24 jam siang malam dalam sangkarnya.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.