Search This Blog

Memahami maksud takwil, ta'lil dan tanzil melalui maqasid syariah



Menurut Imam Abdullah bin Bayyah, sesiapa yang gagal memahami 3 perkara ini, nescaya perlaksanaan syariah pasti tidak akan tercapai tujuannya. Dia berkata;

"Sesiapa yang tidak memahami nas melalui kemahiran mentakwil, kemahiran mengenal pasti illah, dan kemahiran menurunkan hukum kepada realiti yang berbeza-beza sebenarnya berada dalam bahaya besar. Bahaya itu menjadi lebih besar sekiranya dia mendakwa dia memihak kepada kebenaran kemudian memaksa manusia untuk menerima pendapatnya,"

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengkaji dan memahami serba sedikit tentang maksud takwil, ta'lil dan tanzil...

1) Takwil - dari sudut usul al-fiqh, takwil bermaksud memindah sesuatu maksud yang zahir kepada sesuatu maksud yang tidak zahir. Maksudnya, memberi lafas maksud yang baru kepada sesuatu ayat atau perkataan yang mungkin mempunyai beberapa tafsiran yang berbeza.

Secara umum, ulama usuli mendefinisikan takwil dalam erti berpaling dari makna yang zahir dari suatu nash kepada makna lain ketika terdapat dalil lain yang membenarkannya. Takwil harus berdasarkan dalil syarak, baik dari nash (al-qur’an dan hadits) atau qiyas. Jika dalil tersebut berupa qiyas, maka qiyas tersebut harus jelas illat-nya.

Contoh; "Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."(QS 20:5)

a) Takwil salaf – maksud ‘bersemayam’ tersebut tidak harus wujud penamaan sifat yang lain dengan nama yang lain bagi menggantikan kalimah istawa’ yang mana telah ditetapkan oleh Allah SWT. Siapakah kita yang mahu menukarkan kalimah istawa’ (bersemayam) kepada istawla’ (tinggi, berkuasa, memiliki)?

b) Takwil khalaf – maksud bersemayam itu ialah memerintah dan menguasai. Maka jadilah makna ayat tersebut Allah itu memerintah dan menguasai arasy.

2) Ta'lil - menerangkan atau memberi penjelasan kepada sesuatu illat (penyebab, tujuan, maqasid). Contohnya; illat tubuh badan yang sihat menjadi lemah ialah 'sakit'. Sakit adalah penyebab (illat) tubuh badan menjadi lemah.

Secara umum, ulama usuli mendefinisikan ta'lil sebagai sesuatu yang menjadi sebab disyaratkannya suatu hukum untuk merealisasikan kemashlahatan. Maksudnya, ta’lil adalah mencari dan menjelaskan sesuatu yang menjadi pra-syarat yang membenarkan sesuatu hukum untuk direalisasikan dalam kerangka maslahah.

Contoh: makan daging babi adalah haram (QS 5:3) tetapi dibenarkan semasa darurat. Darurat (kelaparan sehingga boleh kehilangan nyawa) adalah illat (penyebab) mengapa diharuskan memakan daging babi yang haram pada asalnya.

3) Tanzil - juga bermaksud inzal dan nuzul (di turunkan). Ayat-ayat suci al-Quran ditanzilkan kepada Rasulullah SAW melalui malaikai Jibrail as.

Secara umum, ulama usuli mendefinisikan sebagai meletakkan hukum pada sesuatu perkara berdasarkan keadaan dan situasi setempat.

Contohnya, hukum lizatih memakai purdah bagi perempuan adalah harus. Ia boleh bertukar kepada wajib, jika seseorang perempuan itu tidak memakainya boleh mendatangkan fitnah. Tetapi jika seorang penjenayah memakainya untuk menutup muka untuk kegiatan jenayah, maka hukum lighairih memakai purdah akan menjadi haram.

Asal sesuatu hukum (yang umum) akan berubah jika seseorang itu berada di keadaan daruriyah, hajiyah atau tasiniyah. Contoh bagi maslahah hajiyyat dalam ibadat ialah rukhsah-rukhsah yang diberikan untuk memudahkan kita semua, seperti bertayamum apabila tiada air untuk berwuduk, keharusan jamak dan qasar solat dan sebagainya.

Contoh dalam perkara bukan ibadat pula ialah seperti diharuskan perceraian untuk melepaskan pasangan daripada ikatan perkahwinan yang musnah, persentuhan kulit diantara ajnabi semasa kecemasan dan lain-lain lagi.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.