Search This Blog

Kisah Mutim ibn Adi



Selepas kematian Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW, kaum Quraisy mula menentang dakwah baginda SAW di Mekkah. Oleh itu, Rasulullah SAW ingin memperkembangkan dakwahnya ke kota lain.

Kota Taif merupakan salah satu kota yang terbesar di Hijaz selain dari Mekkah. Rasulullah SAW berharap agar dapat berdakwah di sana kepada kaum Bani Thaqif dan berhasrat menjadikan Kota Taif sebagai pusat penyebaran dakwahnya.

Malangnya, dakwah Rasulullah ditolak dan baginda dihina, diejek dan dilempar dengan batu sehingga berdarah oleh penduduk Kota Taif. Ketika Rasulullah SAW pulang dari berdakwah di Kota Taif, baginda SAW telah disekat dari memasuki Kota Mekkah.

Rasulullah SAW pun pergi berlindung di Gua Hira' dan cuba berbagai-bagai cara untuk memasuki Kota Mekkah tetapi gagal. Baginda SAW cuba hubungi ketua-ketua kabilah kafir Quraisy untuk meminta perlindungan (tholabun nusrah) tetapi semua ditolak kecuali satu, seorang ketua kabilah kafir Quraisy yang bernama Al Mut’in Ibni Adi.

Dalam masyarakat Arab jahilia, memberi perlindungan kepada seseorang adalah suatu kebanggaan. Jika seorang ketua kabilah memberi perlindungan kepada seseorang, nyawa orang yang dilindunginya itu adalah lebih penting daripada ahli keluarganya sendiri (juga disebut sebagai 'jiwar').

Jiwar adalah satu amalan musyrikin Arab yang bererti memberi perlindungan atau suaka politik. Amalan ini menegaskan bahwa seorang ketua kabilah boleh menyatakan dengan bebas untuk memberikan perlindungan kepada seseorang, sehingga siapapun tidak boleh menyakiti orang itu sebagai penghormatan kepada orang yang melindunginya dan pengakuan terhadap ketokohan, kehormatan dan pengaruhnya.

Al Mut’in Ibni Adi adalah seorang tokoh musyrikin Arab dan dia adalah seorang yang gentleman. Dia telah memberi perlindungan kepada Rasulullah SAW untuk memasuki Kota Mekkah. Mutim ibn Adi bersama 4 orang lain telah membatalkan boikot musyrikin Arab terhadap Rasulullah SAW.

Diriwayatkan bahwa Abu Jahal sempat bertanya kepada Al-Mut’im bin Adi, seperti yang tertera di Sirah Ibnu Hisyam, Bab “Kaifa Ajara Al-Muth’im Rasulallah” (bagaimana Al-Muth’im melindungi Rasulullah saw):

Ketika Al-Mut’im bin Adi, keluarga dan kabilahnya menghunuskan anak panah dan melindungi pergerakan Rasulullah SAW, dia berkata:

“Aku lindung Muhammad, hangpa jangan dok kacau dia pasal nak masuk Mekah”

Orang-orang kafir Quraisyh terkejut mendengar kata-kata Mut’in itu kerana dia adalah orang ternama, orang besar dalam kalangan mereka. Lalu Abu Jahal pun tanya dia:

"Kau ni nak lindungi dia sahaja atau nak ikut dia sekali ni? Jawab Mutim, "Aku hanya memberi 'jiwar' (perlindungan) kepadanya, aku tak ikut dia."

Akhirnya Abu Jahal pun berkata, “Kami melindungi siapa sahaja yang engkau lindungi.” (ruj: Ar-Rahiq Al-Makhtum)

Selepas itu, mereka pun menuju ke Masjidil Haram. Rasulullah SAW tawaf di Ka'abah dan menunaikan solat di sana. Selepas itu, Rasulullah SAW pun pulang ke rumahnya. Baginda SAW telah berjaya kembali ke Kota Mekkah dengan jiwar (suaka/perlindungan) Al Mut’in Ibni Adi.

Dipendekkan cerita, setelah Mutim bin Adi meninggal dunia, peristiwa Perang Badr pun berlaku di mana umat Islam menang dan mendapat ramai tawanan perang. Setelah mendapat tawanan perang yang ramai, Rasulullah SAW bersabda:

"Sekiranya Mutim bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan bebaskan dia." (HR Bukhari 4023)

Inilah kisah bagaimana seorang non-Muslim menolong Rasulullah SAW dan dakwah Islam. Mengambil perlindungan dari orang kafir untuk menolak bahaya dengan cara yang tidak bercanggah dengan hukum Islam adalah harus.

Al-Quran menjelaskan kedudukan Islam mengenai hubungan diantara orang Islam dan bukan Islam dengan amat terperinci dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 yang bermaksud:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (QS 60: 8-9)

Ungkapan 'Allah SWT tidak melarang kamu' dalam ayat ini membawa maksud bahwa umat Islam perlu hidup secara damai, harmoni dan sejahtera bersama mereka yang belum Islam selagi mereka tidak memerangi, memusuhi, menzalimi atau mengusir umat Islam dari kampung halaman kita.

Malah, Muslim diwajibkan untuk berdakwah dan mengajak mereka yang bukan Islam agar menerima ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT sebagaimana Rasulullah SAW menyeru kaum Quraisy, kaum Ansar dan bani Thagif untuk menerima Islam.

Islam mengajar kita berakhlak mulia dan menjalin hubungan baik diantara satu dengan yang lain agar kita dapat hidup dalam suasana yang baik dan sejahtera. Inilah keindahan agama Islam yang bersifat Rahmatan lil Alamin.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.