Search This Blog

Part 6: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (dharuriyat al-khamsah - hifz al-nafs)





Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-5-memahami-hukum-syariat-dalam.html



2. Pemeliharaan jiwa

a) - Memelihara nyawa bermaksud menjamin kesejahteraan dan keselamatan nyawa dan melarang keras perbuatan yang dapat mengancam keselamatan diri dan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"...janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..." (QS 2:195)

"...janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri." (QS 4:29)

"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)." (QS 17:33)

b) - Allah SWT bersifat adil dan cintakan keadilan dan kasihkan orang yang bersifat adil. Menegakkan keadilan akan menghasilkan kebaikan kepada sesiapapun, manakala pelanggaran terhadapnya akan mengakibatkan mala petaka. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa." (QS 2:179)

Persengketaan dan perselisihan manusia jika tidak dipadamkan dengan keadilan, ia akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan dendam. Sifat dendam ini adalah ibarat api yang membara, yang sedang ditiup angin hawa nafsu. Biasanya jika emosi tidak dikawal, ia akan mengakibatkan seseorang yang tidak puas hati itu untuk membalas dendam dengan melampau.

Contohnya: Ali telah bunuh adik kepada si Ahmad. Oleh kerana Ahmad kehilangan adiknya yang tunggal itu, dia nekad berbalas dendam atas Ali dengan membunuh 3 orang adiknya kerana nak Ali rasa hidup tanpa adik seperti dia. Kemudian, Ali pula rasa tidak puas hati kerana Ahmad bunuh 3 orang adiknya berbanding dengan adik ahmad yang seorang. Ali pula nekad bunuh seluruh keluarga Ahmad sebagai balasan. Ahmad pula panggil geng2 dia untuk bunuh seluruh keluarga Ali dan jiran2 yang tinggal berdekatan. Ali pula berkomplot dengan jiran tetangganya untuk bunuh seluruh penduduk2 di kampung Ahmad. Lama-kelamaan, ia akan jadi peperangan...

Inilah sebabnya Islam mensyiriatkan hukum Qisas. Keadilan yang dibawa dalam hukum Qisas adalah adil sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"...jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (QS 5:45)

Apabila keadilan telah tercapai, maka tidak perlulah bagi seseorang untuk menuntut pembalasan dendam. Inilah yang dimaksudkan dengan; "dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu" (QS 2:179).

c) - Sebagaimana yang telah disebut dalam QS 5:45, melepaskan hak menuntut keadilan adalah penyelesaian yang paling baik ia dapat dijadikan sebagai penebus dosa. Darjat kasih sayang dan belas kasihan dengan memberi kemaafan dan keampunan adalah lebih tinggi dari darjat menuntut keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (QS 42:40)

Imam Muhammad Thahir ibn A’syur pernah berkata: "Hukuman qisas itu sendiri adalah kaedah yang terlemah dalam memelihara nyawa kerana menyebabkan kehilangan nyawa yang lain. Malah, kaedah pemeliharaan yang terpenting adalah dengan memeliharanya sebelum berlaku kebinasaan."

d) - Islam menuntut umatnya untuk menjaga kesihatan diri sama ada dalam aspek kebersihan mahupun penjagaan tubuh badan. Kesihatan dan kebersihan fizikal ini merupakan lambang keimanan bagi seseorang muslim. Contohnya Islam mensyariatkan ibadah mandi hadas, wuduk, bersiwak (berus gigi), memotong kuku dan bulu, menyucikan kemaluan setelah membuang air, memastikan pakaian dalam keadaan bersih daripada najis, berkhatan dan sebagainya lagi.

Sesungguhnya muslim yang sihat itu mampu melakukan amalan-amalan soleh yang sama sekali tidak mampu dilakukan oleh mereka ketika sakit. Apabila seseorang muslim itu sakit, maka beliau tidak akan mampu melaksanakan ibadah2 seperti solat, puasa, haji dan sebagainya secara sempurna. Lantaran itu setiap umat Islam perlu memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat dan jika diserang penyakit maka berubatlah secepat mungkin supaya ianya tidak menjadi semakin parah.

e) Islam menggalakkan perkahwinan dan melarang manusia daripada melakukan maksiat dan zina demi melahirkan generasi muslim untuk memakmurkan alam, dan mengembangkan benih-benih Islam yang murni melalui ikatan suci perkahwinan yang sah. Maqasid utama dalam perkahwinan adalah melahirkan zuriat yang sihat dan soleh agar tamadun manusia terus berkembang.

Secara ringkas, inilah diantara pensyariatan Islam yang telah diturunkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW untuk pemeliharaan jiwa/nyawa manusia. Pemeliharaan nyawa adalah salah satu dasar yang utama dalam ajaran Islam kerana kehidupan di dunia ini adalah jambatan kita menuju ke akhirat.

(bersambung)

3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.