Search This Blog

Part 5: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (dharuriyat al-khamsah - hifz al-din)




Tujuan Allah SWT mencipta Syariat menurut pandangan Imam al-Syatibi, adalah bertujuan untuk merealisasikan maqasidNya untuk sekelian manusia, iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan atau keburukan (mafsadah) dalam kehidupan manusia.

Maqasid Syariah adalah salah satu cabang ilmu yang amat penting dalam bidang fiqh Islam kerana ilmu ini merungkai rahsia dan hikmah Allah SWT menetapkan sesuatu hukum/syariat daripada wahyuNya. Ia akan mengajar kita memahami tujuan sebenar dibelakang penetapan syariat Islam.

Di antara kepentingan memahami maqasid syariah adalah untuk melahirkan fiqh yang hidup atau 'fiqh al-hayyi' berasaskan nas atau dalil melalui usul al-fiqh. Kelahiran konsep maqasid syariah adalah berasaskan kepada pemerhatian ke atas ayat-ayat al-Quran yang menyentuh secara langsung kemaslahatan umum manusia sebagai maqasid syariah. Di antaranya:

1) Pemeliharaan ugama (hifz al-din)

a) - Islam ialah agama Allah SWT yang diwahyukan kepada Rasul-Nya untuk menjamin keselamatan penganutnya (dunia dan akhirat) sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Allah telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu; Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah–belah mengenainya." (QS 42:13)

b) - Islam adalah agama tauhid yang menolak kesyirikan. Oleh itu, seseorang Muslim mestilah berpegang teguh kepada rukun Islam yang lima, iaitu:

i) Penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah
ii) Menunaikan solat fardu lima waktu
iii) Berpuasa pada bulan Ramadan
iv) Membayar zakat
v) Mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu

c) - Bagi menjamin terpeliharanya agama, seseorang Muslim perlu beriman kepada enam perkara, iaitu:

i) Beriman kepada Allah
ii) Beriman kepada sekalian malaikat
iii) Beriman kepada kitab-kitab Allah
iv) Beriman kepada para rasul
v) Beriman kepada hari akhirat
vi) Beriman kepada qada’ dan qadar

d) - Memperkembangkan Islam melalui dakwah. Islam telah disebarkan melalui dakwah oleh Nabi SAW. Tanggungjawab ini jatuh ke tangan setiap Muslim setelah kewafatan Baginda SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Serulah manusia ke jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik serta berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik”
(QS 16:125)

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah..."(QS 41:33)

e) - Tiada paksaan dalam agama. Islam memberi kebebasan beragama, keimanan seseorang tidak boleh dipaksa-paksa kerana yang dipaksa ini bukanlah iman yang ikhlas kepada Allah SWT. Ini juga merupakan suatu ujian dari Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Untuk mu agamamu, dan untuk ku agamaku” (QS 109:6)

"Kebenaran itu datangnya dari tuhanmu, maka barangsiapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman dan barangsiapa yang ingin kafir biarlah ia kafir." (QS 18: 29)

"Tidak ada paksaaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kebatilan." (QS 2:256)  - Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi.

Kata Ibn ‘Abbas: “Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: “ (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula orang lain. Iman tidak boleh dipaksa kerana yang dipaksa itu bukanlah iman yang ikhlas kepada Allah SWT. Ia masuk ke dalam dada insan dengan rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia mengambil tempat dalam dada insan dengan pilihannya. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.

Inilah diantara kaedah2 atau methodology yang terkandung dalam al-Quran agar kita dapat memelihara agama yang mulia ini. Tanpa agama Islam, manusia akan hidup dalam kegelapan jahilia. Jika kita tidak memelihara agama Islam yang mulia ini, kita akan dikembalikan ke zaman jahilia dimana akan sentiasa berlaku dan tercetusnya peperangan dimana-mana saje, jenayah akan berleluasa, pengabdian kepada manusia zalim, pelacuran, pembunuhan merata-rata, fitnah dan dusta diantara manusia, penindasan terhadap kaum yang lemah dan macam-macam lagi.

Tamadun manusia hanya dapat berkembang dengan maju dan jaya apabila tercapainya maslahah kesejahteraan dan keamanan kehidupan manusia sejagat. Inilah matlamat utama mengapa agama Islam diturunkan oleh Allah SWT. Oleh itu, peliharalah agama kamu, demi kemaslahatan kita dan juga keturunan kita semua di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

(bersambung)

2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.