Search This Blog

Part 26: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (hadith ahad sebagai sumber hukum)




Boleh tak hadith ahad dijadikan sebagai hujah dalam masalah feqah, terutamanya dalam bab ibadah/akidah?

Pada suatu ketika dahulu, saya berpendapat bahwa hadith ahad tidak boleh dijadikan sebagai sumber hujah dalam permasalahan akidah kerana didalamnya terkandung zanni (keraguan). Setelah dikaji dengan lebih teliti dan mendalam, rupa-rupanya saya telah tersilap faham dengan apa yang telah saya pelajari dahulu.

Hadith ahad merupakan hadith yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi dari seorang hingga tiga orang (atau lebih) dan keatas tetapi tidak mencapai darjat mutawatir. Hadith ahad yang sahih pula telah dibahagikan kepada dua kategori, iaitu:

a) Hadith ahad sahih lizatih - hadith yang sahih dengan sendirinya tanpa diperkuat dengan keterangan lain. Contoh, "Tangan di atas (memberi) lebih baik dari tangan di bawah (menerima)." (HR Bukhari dan Muslim).

b) Hadith ahad sahih lighairihi - hadith yang sahihnya kerana diperkuat dengan keterangan lain. Contohnya, “Seandainya tidak kerana risau akan memberatkan umatku, sesungguhnya akan ku perintahkan mereka bersiwak setiap kali solat.” (HR at-Tirmidzi dalam kitab ath-Thaharah bab Maa Jaa-a fii as-Siwak no. 22 yang dinilai hasan)

Hadith ini telah diperkuatkan oleh jalan periwayatan yang lain dari Imam al-Bukhari yang meriwayatkannya melalui jalur Abi az-Zinad dari al-A’raj dari Abi Hurairah. Oleh yang demikian, ia telah dinilai sahih (sahih lighairihi) oleh para ulama hadith. Hadith lighairih termasuk dalam hadith maqbul yang boleh dijadikan hujah dalam feqah bab muamalat.

Hadith ahad sahih lizatih pula telah digolongkan dalam 2 bahagian, iaitu:

a) Hadith ahad sahih lizatih yang bersifat dharuri, iaitu ilmu/pengetahuan yang dapat diperoleh secara langsung tanpa memerlukan penelitian dan dalil, seperti pengetahuan bahwa api itu panas.

b) Hadith ahad sahih lizatih yang bersifat nazhari iaitu ilmu/pengetahuan yang hanya boleh diperolehi dengan cara melakukan penelitian dan dengan dalil, misalnya pengetahuan tentang wajibnya niat dalam berwudhu’.

Apa yang dimaksudkan sebagai hadith ahad yang boleh dijadikan sebagai hujah dalam bab akidah adalah hadith ahad sahih lizatih yang bersifat dharuri kerana ia telah dinisbatkan sebagai zann al-ghalib (keraguan yang tidak dapat ditolak). Contohnya; hadith ahad yang dikhabarkan dari satu jalur sahaja, iaitu dari Umar bin Kattab:

“Sesungguhnya amal itu tergantung pada niatnya”(Muttafaq Alaih)

Para ulama silam seperti ibnu Tamiyah, ibnu Hajar dll telah menetapkan hadith ahad ini sebagai hujah dalam ijtihad feqah mereka, baik dalam bab muamalat ataupun dalam masalah ibadah/akidah. Hadith ahad selain dari golongan zann al-gharib seperti hadith sahih lighairihi tidak boleh dijadikan sebagai hujah dalam bab ibadah/akidah.

Dalil dari sumber zann al-ghalib juga telah digunakan oleh Mahkamah Syariah sebagai bukti penetapan hukum kepada penjenayah dengan pengambilan bukti dari 2 orang saksi (selain zina yang memerlukan 4 orang saksi) yang adil, walaupun bukti dari 2 orang saksi yang adil itu tidak mencapai keyakinan mutawatir.



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.