Search This Blog

Part 21: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (Ijtiza dan tidak memahami nas)




"Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul." (QS 33:4)

Apabila kamu salah tafsir atau silap takwil ayat2 al-Quran dan al-Hadith kerana kecuaian atau kerana hawa nafsu, yang rugi bukan Allah SWT atau Islam, yang rugi hanyalah engkau sendiri.



Ijtiza' berlaku dalam dua keadaan: Anda mengambil sebahagian nas, dan mengabaikan nas yang lain. Ijtiza' juga berlaku apabila anda mengambil hal-hal yang juz-i (cabang) dan mengabaikan yang kulli (pokok).

- Sebagai contoh: Terdapat sepotong hadith "AKU DIPERINTAHKAN supaya MEMERANGI MANUSIA, sehingga mereka bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah". Sebahagian orang mengambil hadith ini dan menjadikannya sebagai dalil untuk memerangi dunia keseluruhannya.

- Pertamanya: Adakah di sana terdapat "AKU DIPERINTAHKAN" yang lain? Ya, terdapat nas al-Quran "SESUNGGUHNYA AKU HANYALAH DIPERINTAHKAN supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya), Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran". (al-Naml, 91)

- "SESUNGGUHNYA AKU HANYALAH DIPERINTAHKAN" apabila dibandingkan dengan "AKU DIPERINTAHKAN", maka setiap lafaznya ("AKU DIPERINTAHKAN") boleh ditakwilkan.

- "AKU DIPERINTAHKAN", siapa yang diperintahkan? Rasulullah s.a.w. atas kapasiti baginda seorang pemerintah, bukan atas kapasiti baginda sebagai penyampai wahyu. Oleh itu yang dipertanggung-jawabkan untuk memerangi ialah pemerintah negara, bukannya individu.

- Perkataan seterusnya, "MEMERANGI", sebahagian ulamak yang mensyarahkan Soheh al-Bukhari mengatakan bahawa 'MEMERANGI' dalam hadith tersebut adalah sinonim kepada 'MEMPERTAHANKAN', seperti hadith yang mengarahkan supaya MEMERANGI mereka yang lalu di hadapan kita ketika solat (dengan maksud mempertahankan).

- Perkataan "MANUSIA", siapa MANUSIA dalam hadith tersebut? Berdasarkan nas al-Quran, bukan semua manusia. Perang berhenti sama ada mereka membayar (i) Jizyah, atau (ii) mereka cenderung kepada keamanan, tanpa perlu mengucapkan syahadah.

- Bahkan jika lihat dalam Sahifah Madinah, masyarakat yang berbilang agama dan bangsa di Madinah disatukan tanpa Jizyah, seperti apa yang disebutkan oleh al-Syafi'i.

- Jika anda ingin keluarkan hukum daripada al-Quran, al-Quran keseluruhannya seperti satu surah yang sama. Ini kerana terkadang terdapat soalan pada surah yang lain, kemudian dijawab oleh Allah s.w.t. pada surah yang lain. Sebagai contoh cemuhan Musyrikin kepada Rasulullah s.a.w. dalam surah al-Hijr, ayat 6: "Wahai orang yang diturunkan al-Quran padanya, sesungguhnya kau seorang yang gila". Ia dijawab dalam surah al-Qalam, ayat kedua: "Sesungguhnya kau bukanlah seorang yang gila disebabkan oleh nikmat Tuhanmu".

- Kesalahan ketiga: Tidak memahami Bahasa Arab, seperti 'Siyaq' (konteks ayat) dan juga Majaz (Metafora).

- Dalam Ibn Ishaq, ketika mengagih-agihkan harta rampasan perang Hunain, Nabi s.a.w. memberikan kepada Abbas bin Mirdas kurang daripada sahabat-sahabat yang lain. Beliau bersyair mohon ditambah, Nabi s.a.w. mengarahkan kepada sahabat-sahabatnya, "Potonglah lidahnya untukku".

- Apakah Nabi s.a.w. memaksudkan supaya lidah Abbas dipotong, secara literal? Tidak. Ia bermaksud "Muliakanlah dia". Lalu bahagian Abbas ditambah sehingga sama dengan yang lain.

- Namun apabila ada seorang wanita (Laila al-Akhyaliyyah) mengalunkan syair memuji al-Hajjaj al-Thaqafi, dia mengarahkan kepada pegawainya supaya 'memotong lidahnya'. Pegawai tersebut hampir-hampir memotong lidah penyair tersebut disebabkan salah faham.

- Banyak masalah berlaku disebabkan tidak memahami bahasa Arab, ia membawa kepada perselisihan di antara sekolah-sekolah pemikiran, sehingga sebahagiannya mengkafirkan sebahagian yang lain.

- Tidak memahami al-Khitab; iaitu nas tersebut ditujukan kepada siapa.

- Arahan-arahan dalam al-Quran dan al-Sunnah mesti diperhalusi kepada siapa ia ditujukan. Sebahagian nas ditujukan kepada penguasa, maka selain daripada penguasa tiada hak untuk menggunakannya, begitu juga jika ditujukan kepada Baginda atas kapasiti sebagai seorang hakim.

- Merupakan suatu kecelaruan jika seorang rakyat biasa merasakan semua perintah dalam nas peperangan ditujukan kepadanya, sedangkan peperangan adalah hak pemerintah tertinggi.

Oleh : Syeikh ِAbdullah Ben Bayyah sempena Muntada Ta'ziz al-Silm (Forum Mempromosikan Keamanan), 28 April 2015, Abu Dhabi.

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=Bp-HPY1fYXg

Translated by: Shahir Arifin Ahmad Fadzil
Source:https://www.facebook.com/Paracletos/posts/10206449379143923



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.