Search This Blog

Part 18: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)





Bersambung dari:https://www.facebook.com/KURAUKING/posts/10154324542827488




E) Urf sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (Custom as the basis of judgement)


Urf merupakan salah satu daripada sumber keputusan Syariat Islam apabila tiada penjelasan yang jelas dalam al-Quran dan Sunnah. Urf adalah amalan dan adat-adat kebiasaan yang berupa ucapan atau perbuatan yang diulang-ulang sehingga menjadi masyur dalam sebuah masyarakat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apa saja yang dipandang kaum muslimin merupakan kebaikan maka ia di sisi Allah juga merupakan kebaikan. Dan apa saja yang dipandang kaum muslimin merupakan keburukan maka ia di sisi Allah juga merupakan keburukan” (HR. Ahmad, Bazar, Thabrani dalam Kitab Al-Kabiir dari Ibnu Mas'ud)

Islam tidak pernah mengetepikan urf yang mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Urf yang telah diamalkan secara menyeluruh menjadi suatu ijma, contohnya seperti amalan penduduk Medina dan konsep umum al-balwa yang tidak bercanggah dengan nas dan dalil syarak.

Contohnya, memakai kain sarung pergi ke masjid untuk solat berjemaah adalah suatu kebiasaan dalam masyarakat kita tetapi jika memakai kain sarung untuk solat jemaah di Nigeria pula, kita akan dihalau keluar dari masjid kerana Muslim disana beranggapan memakai kain sarung adalah menyerupai pakaian perempuan.

Syariat Islam merupakan suatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia. Syariah tidak akan berubah dari zaman Nabi SAW sehingga ke hari kiamat. Hukum fiqh pula yang terhasil daripada ijtihad para ulama fuquha dari zaman ke zaman akan berubah bersesuai dengan realiti dan kemaslahatan masyarakat pada zaman mereka.

Justeru itu, perubahan dalam penetapan hukum fiqh adalah berasaskan kepada perubahan masa, situasi dan keadaan setempat berdasarkan kemaslahatan manusia. Dari prinsip ini, seseorang dapat menetapkan hukum atau melakukan perubahan bersesuai dengan perubahan waktu, situasi dan keadaan urf setempat untuk dirinya tanpa mencanggahi prinsip2 asal syariat Islam jika mereka mempunyai asas ilmu usul al-fiqh dan maqasid syariah.

Akhirkata, kita akan dipertanggungjawabkan untuk menjawab setiap amalan dan perbuatan kita kepada Allah SWT di hari akhirat kelak dan bukannya pihak ketiga yang menyuruh kita ikut pendapat dan pandangan dia untuk amal begini dan berbuat begitu. Oleh itu, berusahalah mendalami ilmu Islam agar kita dapat menjadi seorang Muslim yang berdikari dengan berjaya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang bodoh (yang degil dengan kejahilannya)." (QS 7:199)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.