Search This Blog

Part 17: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)





Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-15-memahami-hukum-syariat-dalam.html



D) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (Hardship begets facility)


Islam ialah agama yang mudah yang tidak membebankan umatnya dengan perkara-perkara yang sukar. Dengan adanya kaedah fiqh (qawaid al-fiqhiyyah), maka ia dapat menarik umat Islam untuk mendalami ilmu fiqh dengan lebih mudah dalam bentuk baru kerana tiada makna jika suatu agama itu susah difahami oleh masyarakat umum.

Manusia zaman kini amat memerlukan kemudahan fiqh untuk menjawab pertanyaan masyarakat umum kerana setiap permasalahan yang timbul dalam kehidupan pasti mempunyai aturan hukumnya dalam syariat Islam. Tetapi malangnya, Muslim pada hari ini terlalu bergantung kepada jawapan segera yang disuapkan oleh pihak ketiga tanpa memahami manhaj fiqh dan dalil syar'i yang terlibat.

Setiap Muslim yang mengambil berat tentang masalah halal haram dalam kehidupannya biasanya akan merujuk kepada ustaz atau ustazah untuk menyelesaikan persoalan yang timbul dalam kehidupannya. Jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi lemah sebagaimana seorang akan kehilangan keupayaan untuk berkira-kira dalam ilmu mathematik apabila terlalu kerap menggunakan kalkulator.

Jadilah seorang Muslim yang memahami manhaj pensyariatan Islam dengan menguasai ilmu usul al-fiqh dan maqasid syariah. Oleh itu, jika ilmu ini dapat dipermudahkan sehingga senang difahami oleh masyarakat umum, matlamat kaedah fiqh al-Dararu yuzal (membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan) dan al-Mashaqqat tujlab al-taysir (kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan) akan tercapai.

Diantara perkara2 yang diperlukan untuk memudahkan pemahaman yang sulit ini adalah:

1) Menulis dengan bahasa yang mudah difahami, menghindari istilah-istilah yang membingungkan.

2) Berbicara mengikut kesesuaian akal fikiran semasa zaman ini dan membuang perkara yang tidak relevant seperti masalah perhambaan pada zaman Rasulullah SAW.

3) Menjelaskan hikmah syariat sehingga akal manusia menjadi puas dan hatinya menjadi tenang. Setiap ibadat itu mempunyai hikmat yang tersirat seperti hikmah bersolat, hikmah mengeluarkan zakat dll.

4) Bebas dari fanatik Mazhab. Menghapuskan sikap taksub pada sesuatu mazhab. Mengambil pendapat dari semua ulama tersohor yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah agar setiap muslim dapat menghayati dan mempunyai kebebasan untuk memilih dalil yang paling kuat (rajih) dan yang paling unggul.

5) Menulis buku-buku fiqh dengan tingkatan-tingkatan intelektual yang berbeza supaya mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

6) Ahli fiqh dituntut untuk mengunakan cadangan dan contoh perbahasan yang moden agar pemahaman syariat bertambah jelas.

7) Melihat aspek keringanan (rukhsah) dalam syariat dan tidak harus melayani kesemua manusia dengan satu tahap. Kita tidak boleh meminta kepada orang yang lemah sepertimana tuntutan terhadap orang yang kuat atau orang yang baru masuk Islam atau orang yang baru bertaubat dengan tuntutan seperti yang kita berikan kepada orang yang tekun menjalankan ajaran agama.

8) Memilih yang termudah selagi mana ia tidak termasuk dalam perkara yang haram. Mempermudahkan dalam hal-hal yang terjadi secara umum (Umum al-balwa). Faktor agama yang sememangnya adalah sederhana dan seimbang dalam semua hal dan melarang daripada melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam apa jua keadaan.

9) Memperhatikan objektif syariat (maqasid syariah) dan perubahan hukum pada kemaslahatan dharuriyat al-khamsah jika tergugat.

10) Memahami nas yang juz’iy dalam kerangka maksud dan tujuan syariah yang menyeluruh. Menolak hadis-hadis maudhu yang tidak wajar diterima kecuali yang sahih atau hasan sahaja untuk dijadikan sebagai dalil syar’i.

Inilah diantara perkara2 yang dapat kita lakukan untuk memudahkan fahaman pensyariatan Islam agar masyarakat umum dapat memahami dan menguasai ilmu ini. Penjelasan ini hanyalaqh ringkasan sahaja dan ia tidak hanya tertakluk kepada 10 perkara ini sahaja, malah Dr Yusuf al-Qaradawi telah membahasnya secara terperinci dan mempunyai penjelasan yang panjang lebar dalam bab ini.



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.