Search This Blog

Part 16: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)




Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-15-memahami-hukum-syariat-dalam.html



D) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (Hardship begets facility)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya..."(QS 6:152)

Setiap umat Islam beramal dengan tahap keimanan dan pembawaan jiwanya sendiri mengikut kemampuan masing2. Oleh itu, kita perlu mengetahui bahawa tahap kemampuan amalan setiap individu adalah berbeza-beza mengikut tempat, situasi dan tahap keimanan seseorang itu.

Contohnya, hukum syariat pada umat yang berada dalam keadaan darurat adalah berbeza dengan umat yang berada dalam maslahah tasiniyat. Apa yang haram kepada mereka yang berada dalam maslahah tasiniyat akan berubah menjadi harus apabila berada dalam keadaan darurat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (QS 94:5-6)

Begitu juga dengan perbezaan hukum pada tahap keimanan seseorang itu, contohnya hukum syariat kepada seorang mukallaf adalah berbeza dengan hukum syariat pada seorang muallaf. Allah SWT tidak membebankan seseorang muallaf dengan segala pensyariatanNya, sebagaimana Allah tidak membebani Nabi SAW dan para sahabat dengan hukum hakamNya semasa wahyu diturunkan.

Allah SWT telah menggunakan jangka masa 23 tahun untuk menurunkan Al Quran kepada Nabi SAW. Dalam 23 tahun itu pula, hukum hakam dan syariat Islam seperti halal haram makanan, aurat dan hijab, arak dll hanya diturunkan selepas 12 tahun perlantikan Rasulullah SAW.

Ini adalah kerana Allah SWT ingin menetapkan dan memperkukuhkan keimanan yang ada dalam jiwa Baginda SAW dan para sahabat dengan tauhid dan makrifatullah (mengenal Allah) sebelum syariat diturunkan secara beransur-ansur agar senang dipelajari dan diamali. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu."(QS 25:32)

Inilah diantara kemuliaan rukhsah2 (keringanan) yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada umatNya. Begitu juga dengan kemaafan dan pengampunan yang diberi oleh Allah kepada orang2 yang belum disampaikan syariat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya." (QS 10:47)

"Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran." (QS 35:24)

Hukum taklifi adalah hukum umum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada setiap umat Islam yang mukalaf. Ia adalah arahan dari Allah SWT berkaitan dengan perbuatan mukalaf samada berbentuk permintaan, pilihan, atau wadhie. Hukum taklifi mengandungi 5 hukum iaitu, wajib, haram, makruh, harus dan sunat.

Hukum khusus pula adalah hukum yang bergantung kepada kemampuan dan keadaan seseorang itu. Hukum khusus bagi orang yang berada dalam keadaan maslahah daruriyyat dan tasiniyyat adalah berbeza dengan hukum orang yang berada dalam keadaan hajiyyat atau darurat.

Apabila seseorang kehilangan maslahah daruriyyat dan berada dalam keadaan hajiyyat atau darurat, maka perkara2 haram akan menukar menjadi harus bagi mereka.

Contohnya, hukum asal memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah SWT adalah haram tetapi jika seseorang dalam keadaan darurat, maka hukum bagi mereka adalah harus (QS 2:173).

Begitu juga dengan amalan-amalan lain seperti solat fardhu dan puasa dalam bulan ramadhan, di mana tedapat rukhsah2 tertentu bagi mereka yang bermusafir atau sakit. Contoh lain adalah seperti sentuhan kulit antara ajnabi. Jika seorang wanita dalam keadaan kecemasan, wajib bagi seorang lelaki (mahram atau non mahram) membantunya walaupun terpaksa bersentuhan kulit.

Hukum memakai purdah bagi perempuan adalah harus. Ia boleh bertukar kepada wajib, jika seseorang perempuan itu tidak memakainya boleh mendatangkan fitnah. Tetapi jika seorang penjenayah memakainya untuk menutup muka untuk kegiatan jenayah, maka hukum memakai purdah akan menjadi haram.

Semua Muslim tahu hukum minum arak adalah haram tetapi jika seseorang berada di tempat yang teramat sejuk sehingga boleh mengugat nyawa, maka hukum meminum arak untuk memanaskan badan adalah harus. Walhal, hukum mengucap kalimah kufur juga akan menjadi harus jika nyawa seorang Muslim diugut dengan sebilah pedang.

Hukum dalam Islam adalah bersifat flexible dan ia tidak bersifat rigid. Hukum Islam tidak boleh diapplikasikan dengan kadar yang sama kepada semua orang secara pukal. Amalan seorang muallaf adalah berbeza dengan seorang mulakaf. Amalan seorang insan yang uzur adalah berbeza dengan amalan seorang yang sihat.

Begitu juga amalan seseorang yang berada dalam maslahah hajiyyat atau darurat adalah berbeza dengan amalan orang-orang yang berada dalam keadaan tasiniyyat dan daruriyyat. Pendek kata, apa yang haram bagi kamu tidak semestinya haram bagi orang lain.

Inilah keindahan agama Islam yang selari dengan fitrah manusia. Allah SWT tidak memaksa umatNya melakukan sesuatu melainkan dalam kemampuannya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..." (QS 23:62)

(bersambung...)

E) Adat (Urf) sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.