Search This Blog

Part 15: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (al-Dararu yuzal)




Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-14-memahami-hukum-syariat-dalam.html



C) Membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan (Harm must be eliminated)

Kehadiran Syariat Islam adalah untuk menghasilkan maslahah kepada manusia keseluruhannya. Dari segi bahasa maslahah bererti kepentingan awam atau kebaikan umum yang berfaedah yang meraihkan manfaat dan menolak kemudaratan.

Tuhan mencipta manusia dengan dua sebab utama, iaitu mengabdikan diri kepadaNya ( QS 51:56, 98:5) dan hidup makmur dalam dunia ini sebagai kalifah (QS 2:30, 7:74).

Dengan kata lain, Islam diturunkan kepada manusia untuk mengubati jiwa-jiwa yang telah dicemar oleh nafsu, kelalaian, kurafat, syirik dll agar mereka dapat memperbetulkan iman mereka dari ajaran, kepercayaan dan penyembahan palsu.

Setelah memperbetulkan diri sendiri, mereka akan diberi satu gelaran yang dipanggil Muslim. Maksud perkataan Muslim adalah orang-orang yang telah berserah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sebagai seorang Muslim, selain dari beribadat kepada Allah SWT, mereka juga adalah 'leader' atau kalifah diatas muka bumi ini yang menjaga kemakmuran kehidupan manusia dengan mengamalkan 'amar makruf nahi mungkar'.

Maksud amar makruf nahi mungkar adalah menjaga maslahah dan mencegah mafsadah atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemudaratan. Tugas seorang Muslim adalah membawa kemaslahatan kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT.

Segala keburukkan dan kemudaratan perlulah dihapuskan serta-merta. Menurut imam al-Ghazali maslahah boleh ditakrifkan sebagai manfaat yang berlandaskan hukum syara' untuk pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mengikut peringkat. Syariat Islam adalah dibina di atas asas untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan.

Demi menjaga maslahah (kepentingan umum) manusia, Islam memberi ruang kemashalatan yang cukup luas kepada umatnya sehingga membenarkan ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam, asalkan hatinya tetap dalam keimanan (rujuk QS 16:106).

Islam adalah agama yang membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan kepada umat manusia. Inilah sebabnya mengapa hukum-hakam syariah cenderunng kepada mengharamkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Oleh yang demikian, para ulama fuquha telah mentaklifkan kaedah fiqh Al-Dhararu Yuzal (semua kemudaratan mesti dihapuskan) yang berlandaskankan dari sebuah hadith Nabi SAW yang bermaksud:

"Tiada mudarat dan tidak memudaratkan." (HR Bukhari dan Muslim).

Kaedah ini dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu:

1) Keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram. Demi menjaga kemaslahatan manusia, Islam memberi ruang kemashalatan yang cukup luas kepada umatnya sehingga membenarkan ucapan kalimah kufur ketika nyawanya terancam, asalkan hatinya tetap dalam keimanan (rujuk QS 16:106).

Contoh lain adalah seperti keharusan memakan makanan yang haram, sekadar melepaskan keadaannya ketika darurat dan tidak berlebih-lebihan. (rujuk QS 2:173 dan QS 5:3).

Ini semua merupakan rukhsah (kemudahan/keringanan) yang dikurniakan oleh Allah SWT demi menjaga kemaslahatan umatNya. Begitu juga dengan rukhsah2 lain seperti solat jama dan qasar serta meninggalkan puasa bagi musaffir, bertayammum jika tiada air untuk berwuduk dll.

2) Apa yang diharuskan dalam keadaan darurat dikira mengikut kadar keperluannya sahaja. Hukum keharusan pada perkara haram itu bertempoh dan tidak selama-lamanya. Apabila terkeluar dari keadaan darurat, maka keharusannya terhapus dan ia kembali kepada hukum asalnya, iaitu haram.

Contohnya, keharusan pesakit wanita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki bukan mahram sekiranya tiada doktor wanita. Setelah pesakit wanita itu sihat, ia akan kembali kepada hukum asal, iaitu haram membuka aurat atau bersentuhan dengan lelaki bukan mahram.

3) Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan. Ini bermakna umat Islam tidak boleh menolak sesuatu kemudaratan dengan menggunakan mudarat yang lain. Contohnya, seseorang itu tidak boleh binasakan kehidupan orang lain demi menyelamatkan kehidupan sendiri.

4) Apabila terdapat pertentangan di antara dua kemudaratan, dihindarkan yang lebih berat dengan mengambil yang lebih ringan (choose lesser of the two evils). Apabila berlaku pertentangan atau percanggahan, maka perlu mengikut garis panduan berikut;

i) menolak mafsadah adalah lebih utama daripada mendatang maslahah.

ii) apabila bercanggah diantara 2 maslahah maka gunakanlah maslahah yang lebih tinggi.

iii) apabila bercanggah diantara 2 mafsadah maka gunakanlah yang lebih sedikit mafsadahnya.


Kesimpulannya, walaupun fiqh maalat (fiqh melihat kepada kesan) itu ialah sebahagian daripada kaedah ijtihad yang hanya dikhususkan kepada ahlinya, namun syarat itu hanya jika melibatkan hukum-hakam.

Hakikatnya, mempertimbangkan kesan yang terhasil daripada perbuatan ialah prinsip islam itu sendiri yang bersifat rahmatan lil alamin. Justeru itu, menjadi kewajipan buat setiap umat islam agar sentiasa mempertimbangkan kesan yang terhasil daripada tindakan mereka samada ke atas diri, masyarakat, dan agama islam itu sendiri.

Dalam bidang economik Islam, para ulama fuquha banyak menggunakan kaedah fiqh ini untuk menangani situasi yang ada pada hari ini. Contohnya dalam isu Profit Equalization Reserve (PER) bagi hasil akad mudharabah, perkongsian risiko dengan reinsurans konvensional, mengambil modal daripada sumber yang haram, mekanisme caj ke atas kelewatan bayaran dan sebagainya.

Mereka yang memahami konsep al-Dararu yuzal akan berasa kagum dengan rahmat Allah SWT dan keindahan ajaran Islam serta hukum-hakamnya.

(bersambung...)

D) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)

E) Adat (Urf) sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.