Search This Blog

Part 13: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (al-Yaqin la yuzalu bish-shakk)



Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-12-memahami-hukum-syariat-dalam.html



B) Keyakinan tidak hilang dengan keraguan (certainty is not overruled by doubt)


Ilmu Fiqh adalah satu cabang ilmu pemikiran mendalam (deep understanding) dalam bidang pensyariatan Islam yang secara khusus membahas persoalan hukum hakam yang mengatur berbagai aspek kehidupan manusia, baik kehidupan peribadi, kekeluargaan, masyarakat maupun hubungan manusia dengan Allah SWT.

Ilmu Fiqh terbahagi kepada 2 kategori utama iaitu fiqh muamalat dan fiqh ibadat. Qawaid al Fiqhiyyah pula adalah kaedah2 fikih (juristic interpretation of Islamic law) dalam bab pengistinbatan hukum hakam feqah bagi kedua-dua cabang feqah ini, iaitu permasalahan muamalat dan juga bab ibadah.

Hukum asal bagi perkara muamalat (interaksi sesama manusia) adalah segala sesuatu adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan larangan atau keharamannya. Manakala hukum asal perkara ibadah adalah segala adalah dilarang atau tidak sah sehingga ada dalil yang membenarkannya.

Para ulama fuquha telah merumuskan kaedah al-Yaqin la yuzalu bish-shakk yang bermaksud keyakinan tidak hilang dengan keraguan untuk menyelaraskan dan memudahkan pengistinbatan segala hukum hakam fekah yang bersifat tiada penentuan diantara keyakinan dan keraguan. Ia bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada.

Kaedah ini telah memberi jaminan bahwa keyakinan yang asal tidak boleh ditinggalkan hanya disebabkan keraguan atau syak yang timbul kemudian. Syak atau keraguan (was-was) adalah suatu perasaan dalam jiwa dan hati manusia yang kekadang terhasil dari hasutan dan bisikan syaitan sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT yang bermaksud:

"Dari kejahatan pembisik penghasut (syaitan) yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia..." (QS 114:4-5)

Kaedah ini mengajar kita cara2 mengatasi keraguan yang timbul apabila berlaku pertembungan di antara perasaan yakin dan syak. Kita diwajibkan mendahulukan keyakinan yang ada dan abaikan keraguan yang timbul kemudian. Kaedah ini adalah berasaskan dalil dari:

“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan, sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.” (QS. Surah Yunus : 10:36)

Dari Abbad bin Tamim dari pamannya berkata : “Bahawasanya ada seseorang yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahwa dia merasakan seakan-akan kentut dalam solatnya. Maka Rasulullah SAW bersabda : “Janganlah dia batalkan solatnya sampai dia mendengar bunyi atau mencium bau.” (HR. Bukhari : 137, Muslim : 361)

Imam Al Khathabi berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa keraguan tidak boleh mengalahkan sesuatu yang yakin.” (Lihat Ma’alimus Sunan 1/129)

Hadith ini adalah salah satu pokok islam dan sebuah kaedah yang besar dalam masalah fiqh, iaitu bahawa keyakinan yang asal tidak dihilangkan oleh keraguan. Kaedah ini mempunyai kedudukan yang sangat agung dalam islam. Bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kaedah ini merangkumi tiga perempat masalah fiqh atau lebih.

(bersambung...)

C) Membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan (al-Dararu yuzal)

D) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)

E) Adat (Urf) sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.