Search This Blog

Part 10: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (Pengenalan Usul al-Fiqh)



Perbezaan diantara Fiqh dan Usul al-Fiqh

Perkataan usul fiqh terdiri daripada dua kalimah iaitu usul dan juga fiqh. Fiqh ialah hukum-hakam syara' dari sudut wajib, mustahab, mubah, makruh, dan juga haram. Ia terhasil dari dalil-dalil terperinci (dalil tafsili/juzie) yang berkaitan dengan perbuatan amali seorang mukalaf.

Perkataan usul pula bermaksud asas kajian atau pemeriksaan yang teliti dan cermat. Oleh itu, Usul al-Fiqh ialah ilmu kajian dalil-dalil umum (dalil ijmali/kullie) dan kaedah mengeluarkan hukum darinya. Ilmu usul al-fiqh merupakan himpunan kaedah-kaedah dan formula ijtihad yang menjelaskan kepada seorang faqih akan jalan yang wajib untuk dilaziminya ketika mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya.

Fiqh adalah ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam syarak dari sudut wajib, sunat, mubah, makruh, dan juga haram. Dan kesemua hukum-hakam ini diambil daripada dalil-dalil tafsili yang bersumberkan al-Quran dan juga as-Sunnah. Sedangkan usul al-fiqh pula merupakan himpunan kaedah-kaedah dan formula yang menjelaskan kepada seorang faqih akan jalan yang wajib untuk dilaziminya dalam mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya.

Fiqh ialah mengetahui sebenar-benarnya berkenaan hukum hakam syarak berkaitan perbuatan amali seorang mukalaf (baligh berakal) drpd dalil-dalil terperinci (dalil tafsili/juzie). Usul bermaksud asas, dalil atau ilmu-ilmu mengetahui (fikir dan memahami) sesuatu. Manakala, Usul al-Fiqh ialah pemahaman dalil-dalil umum (dalil ijmali/kullie) dan cara mengeluarkan hukum darinya serta keadaan orang yang mengeluarkan (istinbat) hukum. Ilmu usul fiqh adalah ilmu yang membahaskan keadah yg digunakan oleh seorang mujtadid ketika berijtihad.

Oleh itu, Fiqh adalah hukum-hakam dari nas syara', manakala Usul al-Fiqh adalah methodology atau formula yang digunakan untuk mengeluarkan hukum dari nas syara' oleh para ulama mujtahid. Pelajaran Usul al-Fiqh boleh dibahagikan kepada 4 perkara, iaitu:

1) Hukum Syarak (hukum taklifi - wajib, sunat, harus, makruh, haram dan juga hukum wadie - sah, batal)
2) Dalil (4 yg sepakat - Al-Quran, Sunnah, Ijma', Qiyas....dan 8 yang khilaf - istihsan, masalih, uruf, syara man qablana, qaul sahabi, istishab, sad al zaraie, amal ahlu madinah)
3) Taarud tarjih (dalil yg bercanggah dan penyelesaiannya)
4) Ijtihad dan taqlid (pembahasan mujtahid - ijtihad, muttabi'k - ittiba, muqallid - taqlid)

Pelajaran dan kajian usul fiqh merangkumi perbahasan hukum syarak, kajian dan pemeriksaan dalil syarak - (ibadat & muamalat, qati' & zanni, sumber syara spt quran & sunnah), methodologi ijtihad dan formula istinbat hukum (ijma' qiyas, maslahah, istihsan, sadd al dhari'a, qawaid al-fiqhiyyah dll), manhaj ijtihad, fatwa & taqlid.

Ibn Nujaim dan juga al-Mahlawi mentakrifkan usul fiqh sebagai: "Ilmu berkenaan kaedah-kaedah dan dalil-dalil yang bersifat ijmali (kulli) yang digunakan dengannya untuk sampai kepada proses istinbat hukum fiqh. (lihat Fath al-Ghaffar, Ibn Nujaim. Hlm. 7)

Pada zaman Rasulullah SAW, hukum-hakam diambil terus dari wahyu Allah SWT (al-Quran) yang masih diturunkan dengan penjelasan dari Baginda SAW (as-Sunnah). Segala permasalahan yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah SAW dan akan dijawab secara terus berdasarkan wahyu Allah SWT.

Namun, terdapat sebahagian sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi SAW kerana berada di tempat yang jauh, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda SAW membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab “saya akan memutuskan hukum berdasarkan Kitab Allah”

Nabi bertanya lagi, “Sekiranya kamu tidak dapati dalam Kitab Allah?” Jawab Muaz “Saya akan memutuskan berdasarkan sunnah Rasul-Nya”

Tanya Nabi lagi “Sekiranya engkau tidak menemuinya dalam Sunnah?” Muaz menjawab “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasullullah. (Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Melalui ilmu usul fiqh, pensyariatan Islam terus berkembang luas, bersesuaian dengan keadaan tempat, masa dan situasi semasa. Dalam menyelesaikan masalah baru yang timbul selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat telah menggunakan methodologi ijtihad yang berlandaskan dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah.

Diantara methodologi yang dipergunakan oleh para sahabat adalah seperti Qiyas dan Ijma'. Tujuan utama mereka ialah menjaga kemashalatan umum berdasarkan pensyariatan Islam.

Contoh hasil ijtihad para sahabat ialah: Umar bin Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seseorang yang mencuri kerana kelaparan (darurat/terpaksa). Utsman bin Affan pula telah menetapkan azan kedua ketika solat jumaat dan Ali bin Abi Thalib telah menetapkan 80 kali sebatan kepada peminum khamar.

Generasi selepas para sahabat yang digelar tabiin telah memikul tanggungjawab penyebaran syariat Islam. Mereka adalah anak murid para sahabat. Diantara para tabiin yang masyur adalah Hasan al-Bashri dan Abu Hanifah, iaitu pengasas Mazhab Hanafi yang pernah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik dan sahabat yang lain. Abu Hanifah telah menghasilkan beberapa methodologi yang baru seperti teori Istihsan (juristic preference).

Tabi'ut tabi'in pula adalah gelaran kepada pendokong Islam selepas generasi tabiin. Diantara Imam besar era tabi'ut tabi'in adalah Malik bin Anas, iaitu pengasas Mazhab Maliki, Muhammad bin Idris Asy-Syafi'i, pengasas Mazhab Shafi'i dan Ahmad bin Hanbal, pengasas Mazhab Hambali. Methodologi Ijtihad keempat-empat Imam besar (termasuk Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi) inilah yang telah menjadi ikutan para muslimin di seluruh dunia untuk menyelesaikan permasalahan baru sehingga ke hari ini.

Berikut disertakan beberapa kelebihan dan juga faedah mempelajari ilmu usul fiqh:

i) Menjaga syariah islamiah. Ini kerana ilmu usul fiqh memelihara dalil-dalil pensyariatan daripada disalahguna oleh orang ramai. Sebagaimana ia juga turut menjaga hujah-hujah dan juga sandaran bagi hukum-hakam.

ii) Menyusun secara tepat usul-usul pendalilan. Dengan menjelaskan dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan membezakan dalil-dalil Sunnah yang sahih dengan yang dhaif.

iii) Memudahkan proses ijtihad serta memberikan hukum yang bersesuaian bagi setiap kejadian semasa yang berlaku.

iv) Menghalang daripada berlakunya pentafsiran nas-nas al-Quran dan juga al-Sunnah hanya semata-mata berpandukan akal dan juga hawa nafsu.

v) Membantu memberikan penjelasan tentang cara menghimpunkan di antara dalil-dalil yang dilihat terdapat percanggahan di antara satu sama lain pada zahirnya.

vi) Dapat mengetahui sebab-sebab yang membawa kepada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama seterusnya dapat menjauhkan kita daripada sifat taksub kepada satu pendapat dan tokoh tertentu.

(bersambung, next chapter; Manhaj atau methodologi Ijtihad 4 mazhab)


Wallahu'alam




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.